GLAM Alter Ego: Sebuah Analogi Seni Solekan

GLAM Alter Ego: Sebuah Analogi Seni Solekan

GLAM membawa transformasi karisma pada 12 wanita yang melontarkan definisi kecantikan mengikut tafsiran sendiri. Saksikan sisi wajah-wajah selebriti selepas disuntik roh Alter Ego.

 
[envira-gallery id=”83298″]

Che Puan Juliana Evans

 

Che Puan Juliana Evans, 29, hadir dengan persalinan serba putih berpotongan polos. Tanpa secalit mekap membuatkan saya terpegun dengan kecantikan wajah aslinya dan kulitnya cantik sekata serta sihat bermaya. Dari sinar matanya dapat saya rasakan yang dia lebih bahagia setelah mendirikan rumah tangga. Siapa sangka bergelar pelakon dan pengacara sebagai karier dan hari ini namanya sudahpun ada gelaran Che Puan melalui pernikahannya bersama kerabat diRaja Johor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj. Pun begitu sifat merendah dirinya masih sama seperti dulu. Dan dia lebih senang jika disapa Jue, berbanding Che Puan Juliana. Setiap bait-baitnya disusuli dengan senyuman yang manis membuatkan saya begitu senang bersembang dengannya. Setelah wajahnya dirias dengan imej alter ego, dia sepertikan tidak puas berswafoto kerana baginya bukan selalu dapat percikan solekan yang penuh seni.

 

Juliana mula menjadi buah mulut ramai setelah membintangi filem ‘Kami The Movie’ pada 2008. Meski kini dia telah berkahwin, Juliana masih meneruskan aktiviti seni seperti biasa. Ditanya apakah sang suami tidak cemburu jika dia digandingkan dengan hero dalam sesebuah filem atau drama, jawabnya dia tidak disekat untuk berkarya di industri seni, tetapi tentunya sebagai isteri dia perlu menjaga batas-batas tertentu sebagai tanda hormat. “Suami sokong kerjaya saya sebagai anak seni, dia tidak meletakkan sebarang syarat, cuma sebagai isteri saya sendiri yang akan ambil peduli batas-batas pergaulan selayaknya sebagai seorang isteri ,” jelas pelakon filem Hantu Bonceng ini.

 

Tahun ini merupakan tahun kedua Juliana bekas pelajar lulusan Western Michigan University, Amerika Syarikat ini menyambut Ramadan serta Hari Raya sebagai seorang isteri. Kata Juliana dia seperti tidak sangka yang ini adalah tahun keduanya sebagai isteri kerana berasa dia masih di fasa bulan madu lagi. “Rasanya baru saja kami bernikah, sedar tak sedar sudah dua tahun! Persiapan Raya sederhana sahaja seperti tahun lalu, tetapi paling penting semua kelengkapan untuk suami akan saya utamakan terlebih dahulu.”

See also
Jurugambar Lagenda, Bill Cunningham Meninggal Dunia

 

Pelakon Mata Cinta ini juga sempat berkongsi yang jika ada waktu terluang, dia dan suami akan pergi bercuti berdua walaupun sekejap. Ini penting sebagai satu terapi untuk mereka berdua meluangkan masa bersama tanpa sebarang gangguan kerja. Juliana juga percaya perkahwinan yang bahagia memerlukan kerja keras daripada dua pihak serta saling menghargai usaha pasangan dalam perhubungan. “Ia bukan bicara I love you sahaja tetapi sebagai isteri saya banyak belajar mengenai pengorbanan, tolak ansur dan paling penting saling mempercayai. Menerusi perkahwinan, kita akan memperlihatkan kedua sisi kita- baik dan buruk tetapi bagaimana kita mengimbanginya amatlah penting. Justeru itu kami suka bercuti berdua kerana daripada situ banyak perkara kami belajar tentang diri masing-masing,” ujarnya.

 

cantik dari dalam Juliana yang juga Pengasas kepada jenama aksesori Jevans by Juliana Evans ini sempat berkongsi rahsia kecantikannya. Baginya kecantikan sebenar terletak pada budi pekerti seseorang itu. Kalau muka cantik tetapi hati penuh hasad dengki, bersarang dendam kesumat tentunya tidak bermakna. Saya berteman dengan sesiapa sahaja yang baik sahsiah dirinya, tidak kira rupa paras atau pangkat. Bagi saya kebaikan itulah cerminan kecantikan yang sebenar baik lelaki atau wanita. Sementara untuk rutin kecantikan Juliana suka manjakan kulit wajahnya. “Setiap malam saya akan pastikan untuk memakai mask, jadi pada keesokan hari kulit wajah nampak segar dan anjal. Saya percaya jika kita merawat wajah dengan betul dan menghindari stress, ia mampu melambatkan proses penuaan. Hidup ini hanya sementara sahaja, percayalah semua masalah ada jalan penyelesaian. Selain itu pemakanan yang sihat mampu melepaskan hormon yang sihat pada tubuh. Kalau nak tahu, saya ini cukup suka melihat wanita yang berambut lebat dan sihat bermaya. Dan kerana itu saya amalkan penjagaan rambut. Bukan hanya rambut tetapi juga kening lebat seperti Lily Collins dan Cara Delevingne.”

See also
Retorik: Jenayah Peculikan Kanak-Kanak - oleh Low Ngai Yuen

 
[envira-gallery id=”83299″]

Whulandary Herman

 

Whulandary, 29, peragawati jelita dari negara seberang ini telah mengikat tali perkahwinan bersama orang Malaysia. Whulan kini aktif dalam dunia peragaan tempatan. Berdiskusi soal cantik, Whulan akui dia amat pentingkan penjagaan kulit kerana sebagai peragawati memiliki kulit yang cantik amat penting. “Saya orangnya aktif dan tidak boleh duduk lama-lama di spa. Jadi selalunya untuk penjagaan muka, kulit, rambut semuanya saya lakukan sendiri. Dan yang pasti semuanya daripada bahan organik. Saya juga membuat masker saya sendiri daripada bahan-bahan tradisional. Saya juga tidak akan pernah lupa untuk mengoles losyen pada tubuh, kerana saya benci jika kulit saya kering.”

 
[envira-gallery id=”83300″]

Kaka Azraff

 

Kaka Azraff, 29, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu ‘Bukan Hal Aku’ ini amat teliti dengan pemakanannya. Kaka menyifatkan kecantikan seseorang itu terletak pada bentuk wajah seseorang itu. Kerana baginya jika wanita itu mempunyai strong features mereka tidak perlukan solekan untuk tampil cantik. Kaka juga berkongsi tip kecantikannya. “Saya tidak ambil sebarang supplement tetapi saya amalkan memakan buah tomato sejak kecil kerana khasiatnya yang begitu tinggi terutama untuk kulit yang mulus. Untuk mencegah penuaan awal, saya sudah mula memakai krim mata sejak awal 20-an lagi kerana usia perempuan akan dilihat tua pada bahagian mata terlebih dahulu.”

 
[envira-gallery id=”83301″]

Nelydia Senrose

 

Nelydia Senrose, 24, pelakon yang meningkat naik selepas drama bersiri box office Spa Q pada 2007 dengan watak Melissa ini masih aktif hingga hari ini. Terbaru Nelydia membintangi drama Lafazkan Cintamu sebagai Tengku Aqilah. Ditanya soal kecantikan, Nelydia akui dia mempunyai kulit yang amat sensitif, jadi dia tidak akan sama sekali abaikan kulit wajahnya. “Memandangkan saya selalu di set penggambaran, kulit saya sering dilitupi mekap tebal, jadi bila ada waktu terluang saya akan cari masa untuk rawatan facial dan keluar rumah bebas dari mekap tetapi dilapisi dengan produk penjagaan kulit. Saya juga memiliki habit suka dengan gel mandian yang baunya bertahan lama di tubuh. Jenama sabun mandian kegemaran saya adalah Tom Ford.”

See also
Lady Gaga Menceritakan Pengalaman Hidup Dengan PTSD

 
[envira-gallery id=”83302″]

Scha Alyahya

 

Scha Al Yahya, nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air. Bagi Scha mempunyai suami dan anak dalam industri yang sama akan mengukuhkan lagi perhubungan mereka sekeluarga. Penghargaan yang ditunjuk oleh peminat padanya sekeluarga membuatkan dia mahu terus menyumbang dalam bidang seni tanah air. Sebagai selebriti, Scha akui dia harus menjaga penampilan. “Selama ini saya tidak punya masalah berat badan, tetapi setelah melahirkan Lara Alanaa, 5, saya akui berat agak lambat untuk kembali kepada bentuk asal. Sejak itu sehingga hari ini saya mengawal diet saya dengan pemakanan yang sihat dan senaman di gimnasium untuk dapatkan tubuh yang toned. Lebih seronok apabila suami bersama-sama mahu menjalani gaya hidup sihat. Jadi lebih semangat.”

 
[envira-gallery id=”83303″]

Izara Aishah

 

Izara berpegang teguh kepada pepatah ‘beauty is pain’ kerana baginya, kecantikan tidak akan datang bergolek, melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mencapainya. Jika mahu muka yang bersih dan mulus, perlu selalu membuat rawatan facial juga menjaga regim kecantikan di waktu pagi dan sebelum tidur. Begitu juga dalam menjaga bentuk badan. Tidak boleh ikutkan hawa nafsu untuk makan apa sahaja yang dihajati. Definisi kecantikan dalaman bagi Izara ialah apabila dia mengenali hati budi seseorang itu dan dari segi luaran pula adalah apabila dia melihat fizikal seseorang itu bersih dan kemas dari kanta matanya.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Julai 2018