L’Oreal Foundation dan UNESCO Menjulang Saintis Wanita di Seluruh Dunia - Glam Malaysia

L’Oreal Foundation dan UNESCO Menjulang Saintis Wanita di Seluruh Dunia

Di Kuala Lumpur baru-baru ini, L’Oreal Foundation dan UNESCO sekali lagi meraikan pencapaian tiga saintis wanita terkemuka di Malaysia dengan menganugerahkan mereka sebuah perlantikan berprestij L’Oreal-UNESCO Fellowship for Women in Science (FWIS). Dengan tema yang bermotokan “The world needs science, and science needs women”, L’Oreal Foundation telah menyediakan sejumlah dana sebanyak RM90,000 untuk membantu ketiga-tiga saintis wanita ini membiayai projek penyelidikan mereka. 

Pada tahun ini, L’Oreal-UNESCO telah memilih Shivaani Mariapun dari Universiti Nottingham Malaysia, untuk penyelidikannya yang melibatkan kepadatan mammografi dan risiko kanser payudara di kalangan wanita Asia. Oleh kerana kadar kematian daripada kanser payudara di Malaysia adalah 50 peratus lebih tinggi daripada kadar global, Shivaani berusaha untuk menyelidik dan membangunkan model ramalan risiko yang lebih tepat dan merangka strategi penapisan yang berkesan untuk pengesanan awal serta berpotensi untuk menyelamatkan lebih ramai lagi nyawa.

Pemenang yang seterusnya pada tahun ini adalah Dr. Lim Way Foong dari Universiti Sains Malaysia. Penyelidikan Dr. Lim bertujuan untuk membangunkan versi alternatif cahaya LED. Menurut Dr. Lim, pencahayaan tiruan dari LED biasa memancarkan cahaya biru yang berbahaya, dan pendedahan yang lebih mendalam terhadap cahaya ini dapat membahayakan kesihatan. Ciptaan lampu tanpa sinaran cahaya biru adalah tidak mustahil dengan cahaya violet, tetapi kaedah ini masih memerlukan banyak lagi ujian dan kajian untuk menentukan kepanjangan gelombang yang bersesuaian untuk mata manusia.

See also
GLAM Exposé: Rich Kids of Malaysia

Selain dari Shivaani dan Dr. Lim, L’Oreal-UNESCO telah menganugerahkan kemenangan ini kepada Dr. Wan Iryani Wan Ismail dari Universiti Malaysia Terengganu, di mana kajian luar biasa ini adalah mengenai kawalan obesiti menggunakan madu. Hasil kajian Dr. Wan Iryani pada asasnya berpusat pada laluan isyarat insulin dan fungsi kritikal aktiviti metabolik manusia. Sistem metabolik yang rosak sering menjadi punca utama penyakit seperti obesiti, diabetes, dan komplikasi kardiovaskular. Kajian ini telah dilakukan terhadap model dan juga telah menunjukkan bahawa pengambilan madu asli dapat mengurangkan berat badan berlebihan dan juga biomarker obesiti yang lebih rendah.

Oleh itu, syabas diucapkan kepada Shivaani Mariapun, Dr. Lim Way Foong, Dr. Wan Iryani Wan Ismail kerana telah berjaya dipilih oleh pihak L’Oreal dan UNESCO sebagai pemenang yang mewakili saintis wanita di Malaysia. Majlis perlantikan “For Women In Science” ini juga telah disempurnakan lagi dengan ucapan dan penyampaian anugerah daripada Puteri Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai ikon pemberdayaan wanita kebangsaan. Turut disertai oleh Mr. Frédéric Laplanche (Duta Besar dari Perancis), Malek Bekdache (Pengarah Urusan L’Oreal Malaysia dan Singapura), dan juga Mohammad Sanusi Abdul Karim (Setiausaha Agung Suruhanjaya Malaysia untuk UNESCO).

See also
Retorik: Bahagian 2 – Lelaki Player Tarikan Wanita?