"Orang ramai harus berhenti dari membandingkan saya dengan ibu." - Kayda

“Orang ramai harus berhenti dari membandingkan saya dengan ibu.” – Kayda

Glam 82762
 
Pengembaraan minatnya dalam lapangan muzik hadir sejak kecil lagi. Membesar dalam persekitaran muzik mungkin menjadi kelebihan buat dirinya. Anak kepada Ratu Jazz negara ini terus berkayuh sendiri dalam meneruskan legasi kedua orang tuanya dengan suntikan muzik yang langsung berbeza. “Saya membesar dengan muzik sejak lahir. Malah mereka sudah berkecimpung dalam industri muzik sebelum saya dilahirkan lagi. Langsung di dalam dua bidang yang berbeza.
 
Dari menyanyi hingga ke produksi di studio, semuanya lengkap tercatat dalam diari kehidupan saya. Ibu mendedahkan saya kepada segala macam irama dan lagu, tidak hanya cenderung pada satu. Melihat ibu beraksi di pentas untuk soundcheck mahupun rakaman album di studio adalah antara rencana hidup. Juga dikenalkan dengan ahli muzik baik dari dalam mahupun luar negara. Secara lumrahnya hidup saya terus berbalut nafas muzik sehingga ke hari ini. Sedari itu saya punya perancangan dan persepsi yang tersendiri mengenai muzik dan terus mengorak langkah untuk turut sama mewarnai dunia muzik tanah air.”
 
Tidak terlepas dipukul badai kontroversi yang menghiasi laman-laman media elektronik mahupun cetak, Kayda Aziz akui dirinya sudah jelak bila dikaitkan dengan ibunya. “Bukan tidak suka dikenali sebagai anak Sheila Majid bahkan saya rasa sangat bangga membawa namanya bersama. Tetapi orang ramai harus berhenti dari membandingkan saya dengan ibu. Lantas hakis tanggapan yang mengharapkan saya untuk menjadi sehebatnya. Saya masih baru dalam dunia seni biarpun membesar dalam persekitarannya. My mom has been in the industry for over 30 years. Ia adalah satu penghormatan untuk dibandingkan dengan seorang legenda tetapi ia tidak adil untuk ibu dibandingkan dengan artis baru seperti saya. Saya punya bakat yang tersendiri dan muzik yang dipertaruhkan jauh lebih berbeza. Tidak pernah sekali pun terdetik di hati untuk menumpang populariti ibu. Cerita ini harus dihentikan dari terus menular dan memberi pandangan buruk pada saya.”
 
“Muzik yang diperdengarkan oleh saya mungkin boleh dilabelkan sebagai muzik era baru. Gabungan antara Hip-Hop yang bersulamkan elemen tradisional atau klasik dan rentak Elektronika. Saya gemarkan muzik klasik dan benar-benar menghargainya. Malah pernah mengikuti kelas sehingga gred 8 dan saya rasa muzik saya perlu ada sedikit sentuhan tradisional dan itulah yang membuatkan saya berbeza dari yang lain, mungkin. Ramai yang bertanya apakah yang membuatkan saya berbeza dari rapper yang sedia ada. Pada dasarnya saya ingin menampilkan aneka ritma tetapi tidak keterlaluan. Saya hanya mahu mengajak orang ramai untuk menghargai muzik tradisional lantas diberi sentuhan era baru dalam mengangkat warisan budaya kita. Be proud of what we have and at the same time we keep up with the current music that is emerging.”
 
“Buat perencanaan akan datang, kini saya sedang merakam beberapa buah lagu untuk dimuatkan dalam album saya tetapi tidak tergesa-gesa untuk mengeluarkannya. Lebih fokus untuk mengeluarkan single baru terlebih dahulu. So for now, it is just working with different people, different producers, musicians and songwriters and getting involved with whatever ideas I have. Ia melibatkan proses yang sangat panjang dalam memerah idea dan mengambil masa yang lama untuk disempurnakan. Tetapi proses ini mematangkan saya sebagai anak seni dan tentunya berbaloi!”
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
Pendapat Naomi Campbell Tentang Kendall Jenner Diterangkan Dengan Dua Perkataan Sahaja