Pusat Peranginan Berkonsepkan Istana

Pusat Peranginan Berkonsepkan Istana

Oleh: Yusairi Fitri
 
Pernahkah anda terfikir untuk menyatukan saat indah bersama dalam satu situasi berlainan? Lebih tepat iaitu menikmati kemewahan serta layanan laksana pemerintahan dinasti Diraja. Suasana privasi yang ditemani unggun api, arca berusia ratusan tahun serta hembusan nafas era Renaissance pasti menjadi terindah untuk dinikmati bersama. Kali ini GLAM membawa anda terbang jauh ke pusat peranginan berkonsepkan istana yang indah lagi mewah.
 

[soliloquy id="40493"]

Gambar: Ashford Castle

 
Ashford Castle, Ireland
Tiada yang semewahnya. Itulah kata gambaran yang pertama singgah di fikiran tatkala menatap keindahan seni bina hotel Ashford Castle, barat Ireland. Bersulamkan batu bata berwarna kelabu yang diilhamkan daripada rekaan era pemerintahan  Permaisuri Victoria, hotel ini menawarkan 83 buah bilik dan enam daripadanya ialah suite termewah dalam kelas The Leading Hotels of The World. Bertemankan padang rumput yang luas serta tasik yang tenang hotel ini sering menjadi destinasi pilihan buat pasangan berbulan madu. Keluasan persekitaran seluas 350 ekar, lengkap dengan perkhidmatan golf, lapangan tenis serta aktiviti rekreasi seperti memancing, berlayar dan berpeluang mendekati burung hantu dan helang.
 
Bermalam di hotel bertaraf lima bintang ini umpama mimpi indah yang tiada kesudahan. Kala memasuki ruangan lobi utama, tetamu bakal di jamu dengan dekorasi dalamannya sungguh klasik, dengan siling bumbung kayu sarat motif art deco. Lebih istimewa potret kenangan tetamu kenamaan seperti King George V, Queen Mary; John Lennon, George Harrison, Oscar Wilde, Presiden Ronald Reagan, Prince Edward, Earl of Wessex, Senator Amerika Syarikat, Ted Kennedy, John Wayne, Brad Pitt, Pierce Brosnan. Putera Rainier III Monaco dan Puteri Grace sedia menjamu mata anda.

See also
Konsert Sheila on 7 Menggamit Nostalgia 7000 Peminat di Kuala Lumpur

 

[soliloquy id="40500"]

Gambar: Burghotel schoenburg

 
Castle Hotel Auf Schoenburg, Jerman
Dibina sekitar kurun ke-10 di puncak bukit berhadapan sungai Rhine, Jerman, Hotel Auf Schoenburg menjanjikan kedamaian. Sering menjadi destinasi golongan bangsawan Jerman menghabiskan masa bersama pasangan, nada romantik Hotel Auf Schoenburg kaya dengan hembusan identiti Eropah. Menawarkan 22 bilik peribadi dan rekaan asal yang diilhamkan daripada kisah dongeng masih kekal pada setiap sudut seperti katil, ruang legar, ruang makan, menara tinjau dan balkoni.
 
Lebih istimewa hotel ini turut dianugerahkan pengiktirafan Penubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu istana yang masih mengekalkan warisan dunia. Pejam mata anda seketika dan bayangkan suasana minum petang bersama pasangna tercinta dengan bertemakan panorama silam sambil hanyut dalam keindahan pemandangan kota Rhineland-Palatinate, Jerman. Bermalam di sini laksana kembali ke zaman kegemilangan empayar Diraja Eropah.
 

[soliloquy id="40510"]

Gambar: Chateau de Bagnols

 
Chateau De Bagnols, Perancis
Hotel Chateau De Bagnols nyata istimewa. Istana yang sering bertukar pemiliknya daripada Lady Hamlyn seorang bangsawan dan beralih tangan Jean Claude Lavorel dilihat mengalami diversiti dari segi binaan serta rekaan. Mengangkat seni bina agung Perancis sebagai tunjang rekaan, Chateau De Bagnols dibaluti batu bata berwarna kekuningan yang dikenali sebagai Pierres Doress serta permandangan dramatik istana yang seperti dilihat dalam filem epik. Persekitaran menarik seperti ladang anggur, hutan, serta bukit yang menghijau di wilayah Beaujolais sedia menjamu pemandangan anda.
 
Kala berbicara mengenai gastronomi, restoran La Salledes Gardes mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam seleksi menu lokal yang lazat. Tiada yang lebih istimewa apabila menikmati sarapan pagi, minum petang atau makan malam berdua-duaan di bawah pokok limau yang berusia lebih 100 tahun sambil menyaksikan landskap terbuka. Terletak kira-kira 17 batu daripada Lyon serta lapangan terbang antarabangsa, Hotel Chateau De Bagnols boleh dikunjungi melalui pengangkutan darat dan kereta api dari Paris serta Geneva.

See also
Retorik: Imej Adalah Segala-galanya