GLAM Profil: Jeany Amir - Glam Malaysia
GLAM Profil, Jeany Amir 01

GLAM Profil: Jeany Amir

Mendewasa bersama-sama alam pembikinan filem dan komersial lebih sedasawarsa yang lalu menitip kesedaran Jeany Amir, 33, untuk merangkakan perjalanan hidupnya sebagai pengkarya filem.

THE new FLAME on FILM

Bermula daripada situ, laluan kerjayanya menjadi semakin rapi – dan kini dia terpilih untuk bernaung di bawah Directors Think Tank.

pengarang rencana ZUHAIRIE SAHROM penulis ARDI IDEWANI penata gaya MUZAMMIN MUZLAN arahan seni AMIRUL ARIFIN gambar EDMUND LEE/ONE3FOUR STUDIO solekan SAHIR SABRI dandanan MIEDY DANIEL

If you feel like you need a break, just take a break,” salah satu pesanan Jeany Amir kepada kami. “I took a break. Sewaktu saya ke Los Angeles, untuk belajar dan tinggal di sana selama lima tahun, itulah break saya. Saya pergi ke sana kerana perlu untuk saya ‘keluar’ sekejap dan melihat dunia yang berbeza. Apalagi ke Los Angeles, pangkalan utama industri perfileman.” Bukan bermaksud jauh hati dengan bumi sendiri, cuma bila sudah bermukim di bumi orang lain, ia menyingkap hati dan mata. “Ia umpama mengeset semula daya pemikiran kita. Tidak mengapa jika kita hilang dari radar sekejap, pergi berhijrah ke negara orang. Or even balik ke kampung asal kita. Ia mengajar kita untuk menilai semula hidup dan mematangkan diri,” sambungnya lagi.

Azieny Amir atau lebih mesra dengan nama gelaran Jeany ‘mengemudi biduk’ sutradara atau pengarahan dengan bermula menjadi bakat atau model sewaktu dia berusia 15 tahun dahulu. “Saya dikelilingi individu-individu yang bekerja di balik tabir. Saat saya menunggalkan perhatian kepada individu yang bertanggungjawab dalam hal-hal pengarahan, kemudian didedahkan dengan sebuah bod cerita dan diberitahu bagaimana mahu mengialkan sesuatu peranan… then I realised, that is what I wanna be!,” kata Jeany, yang mendewasa bersama-sama alam pembikinan filem.

GLAM Profil, Jeany Amir 02

Baju panas tekstur, Brunello Cucinelli.

Hatinya berkeras untuk menjadi seorang pembikin filem. Angan-angan yang bertunas kepada harapan lalu berkuntum menjadi cita-cita yang menggergasi. Dia terus mahu gigih membenihkan kejayaan dalam bidang perfileman. Bila disoal apakah kuasa dunia perfileman sehingga merangkum jiwanya, balas Jeany, “Semasa muda dahulu, saya jatuh cinta pada bagaimana seseorang pengolah itu bisa memanifestasikan sebuah cerita yang di luar jangkaan kita. Contohnya karya-karya arwah Yasmin Ahmad. Saya menonton filem-filem arwah Yasmin bukan sebab plot, namun saya teramat suka pada kegeligaan akalnya mencungkil sesuatu peristiwa tuk dijadikan sebuah cerita. Like, oh my god, people can actually tells story like this.

BUKAN LAGI LAMUNAN

“Saya bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang tidak membantutkan impian anak-anaknya,” kata Jeany. Jeany, 33 tahun (tahun ini), dibesarkan dalam famili yang berlatarkan bidang pembinaan dan kejuruteraan. Bapanya seorang kontraktor, kakaknya pula seorang pereka hias dalaman dan abangnya adalah seorang jurutera. Dan Jeany? Ligat mengejar cita-citanya dalam bidang pembikinan filem. “I was offered architecture studies in UiTM. But… I didn’t take it! Haha! Saya berganti haluan dan belajar bidang komunikasi massa di UiTM.”

Bukanlah tidak senada dengan ahli keluarga yang lain, cuma Jeany cekal hati untuk ubah selera, mendekatkan dirinya dengan bidang seni yang berbeza pula. Bila Jeany menjangkah kakinya masuk belajar ke dalam bidang komunikasi massa di UiTM, ia menjabarkan ilmu tentang dunia media dan perfileman. Dia menelan ilmu itu, lalu memberanikan diri untuk menghasilkan sebuah cereka pendek ketika masih menuntut di UiTM. Sehinggakan cereka pendeknya itu dipilih menjadi representasi UiTM untuk sebuah pertandingan.

GLAM Profil, Jeany Amir 01

Gaun cetak, Coach.

Secebis kejayaan menjadi seteguk manis pengalaman. Yang akhirnya meyakinkan diri Jeany untuk tidak beranjak daripada bidang yang dia ceburi kini dan mahu mara ke peringkat yang lebih tinggi. “Saya tidak menjangkakan ibu bapa saya untuk membelanjakan duit mereka dan menghantar saya ke luar negara. Saya seorang yang berdikari. Dek mahu menimba lebih banyak ilmu, saya memohon geran untuk menyambung pengajian ke New York Film Institute di Los Angeles menerusi MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation). Kemudiannya saya dihantar oleh kerajaan Malaysia ke sana. Semuanya saya uruskan sendiri,” cerita Jeany.

MAKE MISTAKES AND YOU WOULD KNOW WHAT TO DO — JEANY AMIR

Tersentak mengingat kembali rencana perjalanannya sewaktu ‘menjual’ idea kepada MDEC sebelum menyambung pengajian ke New York Film Academy, “Saya masuk ke sebuah bilik mesyuarat yang besar dan berjumpa dengan beberapa lembaga pengarah. Mereka bertanya mengapa saya layak diberi geran tersebut. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya seorang yang bersifat teori, makanya penting untuk saya untuk belajar tentang praktikal pula. Dan mengapa memilih New York Film Academy secara spesifik? Kerana New York Film Academy-lah gedung ilmu yang menegaskan hal-hal praktikal dalam perfileman.”

GLAM Profil, Jeany Amir 03

Mengendong harapan tinggi, Jeany sedar bahawa dia seorang sahaja wanita yang datang ke temuduga MDEC tersebut (untuk bidang perfileman) dan yang lain-lainnya adalah lelaki. “At that time, I felt like I was just a tiny-22-years-old kid. Berambut perang lagi masa itu. Kemudian bertemu pula dengan lembaga pengarah MDEC. Bayangkan.” Dia memeterai janji dengan MDEC, menzahirkan niatnya untuk menyumbangkan sesuatu kepada industri media dan perfileman Malaysia. Tidak mahu sekadar berludah madu, Jeany benar-benar mengotakan janjinya itu. “Saya balik ke Malaysia, saya menjadi seorang pendidik. Saya mengajar bidang media dan perfileman di universiti-universiti di sini.”

Selepas memperlengkapkan diri, Jeany tahu tanggung jawabnya sebagai pembikin atau pengkarya filem tidak tertunda di situ sahaja. “Menghasilkan sesebuah karya itu adalah cinta pertama saya. Mana mungkin saya membiarkan semuanya terkubur,” jelas Jeany.

Baca lanjut dalam GLAM November 2021

Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Dr. Amanda Elli

 

POST A COMMENT