GLAM Profil: Dr. Amanda Elli - Glam Malaysia
GLAM Profil, Dr. Amanda Elli 01

GLAM Profil: Dr. Amanda Elli

Dr. Amanda Elli, 29, membintangi lembaran profil isu Oktober. Personanya membayangkan seorang wanita berwibawa.

A WOMAN OF SUBSTANCE

Berpunya imej yang hebat, senang didekati lalu berhemah mendakap simbol wanita kontemporari. Cocok sekali buat mengimbangi isu Most GLAM bagi edisi 2021.

pengarah kreatif NISA’ HALID pengarang rencana ZUHAIRIE SAHROM penata gaya MUZAMMIN MUZLAN gambar ROBIN/ONE3FOUR STUDIO solekan & dandanan FENDI SANI

Jika sebut sahaja doktor, mesti kalian terbayangkan penampilan mereka di usia lewat 30an mahupun dalam usia 40an yang menyarungkan baju kot putih nan polos. Lalu, tidak punya ekspresi gaya yang tersendiri lagi tampak ringkas. Namun, selari peredaran masa terus menelusuri trend semasa; memperlihatkan komuniti perubatan kini tampil lebih presentable. Bukan saja bijak bergaya, malah pandai menyusun lisan kala ditemu bual. Para wanitanya kini berani melangkaui stigma yang berselubung dengan keperibadian seorang doktor konvensional. Ada diantaranya memadukan persalinan scrubs bersama sepatu mahupun aksesori sebagai pelengkap gaya. Membiaskan imej yang hebat, anggun; sekali gus, tampil lebih berkarisma. Para doktor lelakinya pula terlihat menjaga susuk fizikal bak peragawan membayangi gaya hidup sihat masa kini. Tidak hairanlah, kelompok ini menjadi perhatian umum langsung berpunya selautan pengikut di dalam platform sosial. Juga mengimbangi imaginasi drama bersiri kisah dunia perubatan.

GLAM Profil, Dr. Amanda Elli 02

Gaun ropol, tali pinggang dan but Longchamp. Anting-anting dan gelang Happy Hearts Edisi Terhad James Bond 007 digarap dari emas merah bertatahkan berlian citra Chopard. Dipadankan bersama cincin Ice Cube dalam emas putih dan emas merah.

Dari Hollywood ke K-drama, kisah dunia perubatan senantiasa menarik minat penonton sedunia yang menyuntik aspek pendidikan serta kemanusiaan. Secara tidak langsung, menjadi salah satu genre program televisyen yang paling bertahan lama kerana terdapat banyak format yang berbeza untuk diselami rumah produksi. Buat masa ini, terdapat lima drama perubatan paling popular yang berbeza formatnya seperti; House, Grey’s Anatomy, The Good Doctor, New Amsterdam dan yang paling OG antara semuanya adalah ER. Namun, yang menjadi bual bicara umum sedunia hari ini sudah pastinya menerusi watak Dr. Shaun Murphy; seorang pakar bedah muda menghidapi autistik di dalam drama bersiri The Good Doctor. Drama perubatan versi Amerika ini diadaptasi dari siri televisyen Korea Selatan dengan judul yang sama yang menjadi viral.

GLAM Profil, Dr. Amanda Elli 01

Jaket dan skirt genggang, Kate Spade New York but kulit, Longchamp. Cincin himpunan Ice Cube dalam kemasan emas putih dan emas merah. Anting-anting Happy Hearts Edisi Terhad James Bond 007. Kesemuanya kreasi Chopard.

Bercerita mengenai fenomena viral didorong pula rincian dunia perubatan, GLAM menjemput Dr. Amanda Elli, 29, sebagai penghias lembaran Profil isu Oktober. Personanya membayangkan seorang wanita berwibawa. A Woman of Substance, senang kata. Cocok sekali buat mengimbangi isu Most GLAM bagi edisi 2021. Amanda yang berpunya imej yang hebat, senang didekati lalu berhemah mendakap simbol wanita kontemporari. Selain bijak mengolahkan gaya peribadi. “Saya seorang yang berfikiran positif, sekaligus menyokong konsep pemikiran positif. Saya suka menjalani kehidupan tanpa perasaan tekanan. Oleh itu, saya berhasrat untuk menyebarkan aura positif sebanyak mungkin kepada orang ramai, tetapi secara realistik dan logik. Jadi itulah tujuan saya menggunakan platform di media sosial untuk memahami psikologi pemikiran positif. Agar menjadikan kita seorang individu yang aktif lagi proaktif bersama para pengikut,” tutur Amanda memberi perkenalan.

KAMI DOKTOR HANYA DAPAT MEMBANTU DENGAN MEMBERI PERUBATAN UNTUK MENYEMBUHKAN MEREKA. BUKAN PENAWAR. KONSEP ITU SUDAH DISALAH TAFSIR. — DR. AMANDA ELLI

DR. UNIKORN

See also
Neelofa Tampil Glam Dengan Sentuhan Patrick Ta

Tambahnya lagi, “Sedikit latar belakang mengenai diri. Saya baru mendirikan rumah tangga bersama pasangan; M. Syaiful Hisam pada Februari 2020. Kini kami berdua menjalani hubungan suami isteri jarak jauh kerana kerjaya suami sebagai jurutera penggerudian di Schlumberger, Saudi. Disebabkan pandemik, saya sudah tidak berjumpa suami hampir tujuh ke lapan bulan. Ia amatlah sukar, akan tetapi tiada jalan lain untuk kami melangkauinya bersama-sama. Juga merencanakan tanggungjawab harian sebagai doktor, saya sibuk dengan tugas sebagai frontliner. Saya mempunyai enam ekor kucing dirumah, merekalah peneman saya. Di samping, menjalani kehidupan normal sebumbung bersama kedua orang tua dan adik lelaki.”

GLAM Profil, Dr. Amanda Elli 03

Baju turtleneck Longchamp. Rantai leher Ice Cube dalam emas merah dan emas putih berperincian 12 butir berlian. Digayakan bersama cincin Ice Cube dalam emas putih dan emas merah, kesemuanya citra Chopard.

“Saya banyak terlibat dengan jemputan aktiviti sebagai ceramah motivasi di webinar dalam talian kepada pelajar universiti. Antaranya bersama KPMG, Air Selangor dan Bank Negara Malaysia. Kebanyakkan saya memberi ceramah tentang bagaimana ingin menangani tekanan khususnya untuk pelajar dan mereka yang bekerja dari rumah. Saya sangat meminati unikorn dan menjunjung energi haiwan mitologi Yunani ini kerana ia memberi ruang untuk saya bermimpi serta berimaginasi. Saya juga dikenali sebagai Dr. Unikorn dari awal pembabitan kerjaya iaitu sewaktu pengajian perubatan di Ireland selama lima tahun sehingga sekarang. Saya suka melihat pohon-phon kehijauan kerana ia menenangkan saya. As I grow older, much older in life, I do appreciate the little things. Contohnya, pergerakan awan, udara segar yang kita hirup selepas hujan.” Terang wanita jati kelahiran Kuala Lumpur ini.

See also
Trisha Yearwood Alami Kesan Jangka Panjang Covid-19

Baca lanjut dalam GLAM Oktober 2021