Dedah Kelakuan Buruk Kakak Sendiri, Mariah Carey Disaman
Kakak kandung Mariah Carey yang terpisah sekian lama bertindak menyaman penyanyi pop itu kerana membuat tuduhan palsu terhadapnya dalam biografi, The Meaning of Mariah Carey.
Menerusi biografi yang diterbitkan pada September 2020, Mariah berbicara secara terperinci perhubungan buruk dengan kakaknya, Alison Carey dan pengabaian yang dilaluinya sepanjang zaman kanak-kanak.
Justeru Isnin lalu, Alison mengemukakan saman dan meminta ganti rugi tidak kurang dari RM5 juta daripada pelantun lagu Always Be My Baby atas tuduhan “penderitaan emosi dengan niat yang dilakukan melalui kenyataan” dalam buku tersebut. Malah katanya, ia mengundang penghinaan orang sekeliling.
Dalam dokumen mahkamah, Alison memetik bab bertajuk Dandelion Tea di mana Mariah mendakwa Alison memberinya tablet Valium (ubat jenis dadah) ketika dia masih kecil, kemudian cuba menjualnya kepada bapa ayam ketika berusia 12 tahun. Pemenang Grammy ini juga mendakwa, kakaknya pernah melempar secawan teh panas ke arahnya, menyebabkan kulit belakang tubuhnya melecur tahap tiga.
Alison turut menegaskan, adiknya tidak mempunyai sebarang bukti terhadap tuduhan serius ini dan mendakwa Mariah menggunakan bukunya untuk menghina dan memalukan dirinya. Kisah dalam biografi tersebut tersebar di media serata dunia seperti di surat khabar, televisyen dan internet.
Alison yang mewakili diri sendiri dalam kes ini menyelar tindakan Mariah sebagai kejam dan tidak berhati perut, serta mengecamnya kerana menggunakan status selebriti untuk menyerang kakak sendiri yang tidak berduit.
Malah dia menambah, dia menjadi sangat tertekan dan menangis tanpa henti sejak penerbitan buku tersebut dan kini bergelut dengan alkohol, walaupun sebelum ini telah lama bebas daripada ketagihan.
Dia juga didiagnos dengan gangguan stres pasca trauma (PTSD), kegelisahan, kemurungan, dan menderita trauma otak yang memberi kesan kepada memori jangka pendek dan penglihatannya selepas diserang dalam satu rompakan di rumahnya pada 2015.
Sebelum ini sewaktu mempromosikan bukunya, Mariah memberitahu Oprah dalam satu wawancara bahawa dia sering berasa takut semasa kecil dan mengakui kakaknya itu bermasalah dan hidup dalam trauma.
“Kami tidak mengenali satu sama lain dengan baik. Kami tidak dibesarkan bersama, tapi dalam satu rumah yang sama. Mereka ada perjalanan hidup sendiri. Bila saya dilahirkan, mereka sudah pun melalui kehidupan yang teruk, pada pendapat saya. Tapi sekali lagi, saya tidak berada di sana. Saya dilahirkan di dunia ini dengan perasaan seperti orang luar dalam keluarga sendiri.
“Mereka membesar dengan pengalaman tinggal bersama bapa berkulit hitam dan ibu berkulit putih sebagai keluarga, dan sebahagian besar hidup saya pula tinggal bersama ibu. Jadi mereka menganggap hidup saya mudah, namun sebenarnya tidak,” luahnya.
Selain kisah kakaknya, Mariah turut mendedahkan cerita perceraiannya dengan bekas suami, Nick Cannon dalam biografi tersebut.
Foto: Jamie McCarthy/Getty Images
Baca: Hubungan Mariah Carey & James Packer Adalah Satu Kesilapan