Covid-19 Berleluasa, Anugerah Grammy Ke-63 Ditunda - Glam Malaysia

Covid-19 Berleluasa, Anugerah Grammy Ke-63 Ditunda

Penularan coronavirus semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara.

Satu persatu acara antarabangsa terpaksa ditangguhkan. Selepas berita penangguhan Formula 1 Grand Prix Australia diumumkan, kini giliran anugerah muzik tahunan Grammy pula menerima nasib serupa. Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 31 Januari ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur. Selepas perbincangan dengan pakar kesihatan, pengacara dan barisan selebriti, mereka mencapai kata sepakat untuk menunda anugerah Grammy ke tarikh baru iaitu pada 14 Mac.

“Situasi Covid-19 di Los Angeles semakin membimbangkan, di mana pihak hospital ‘tidak cukup tangan’, bilik kecemasan dipenuhi pesakit. Dan berdasarkan panduan terkini daripada pihak berkuasa dan kerajaan, kami telah membuat keputusan untuk menangguhkan majlis anugerah ini, dan ia adalah jalan terbaik.

“Tiada apa yang lebih penting daripada kesihatan dan keselamatan mereka yang berada dalam komuniti muzik kami, juga beratus-ratus orang yang bekerja keras untuk menjayakan acara ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua artis, kakitangan, pihak penaja, dan calon-calon tahun ini terutamanya di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan dalam waktu yang sukar ini,” jelas Presiden Recording Academy, Harvey Mason Jr.

Annual Grammy Awards 2021: Trevor Noah to host 63rd event | Daily Mail  Online
Foto: Getty Images

Anugerah Grammy Ke-63 yang bakal dihoskan oleh Trevor Noah dijadualkan berlangsung di Staple Center di Los Angeles, dan malangnya ia merupakan salah satu bandar yang mencatat kes Covid-19 tertinggi.

See also
Cedera Di Set Penggambaran, Nick Jonas Dikejarkan Ke Hospital

Menurut sumber, penganjuran majlis anugerah tersebut bakal mencatat sejarah. Hanya penyampai dan selebriti undangan sahaja dibenarkan masuk tanpa kehadiran penonton. Para pemenang juga akan diberi trofi secara terkawal.

Anugerah tahun ini menyaksikan pencalonan nama-nama hebat antaranya Billie Eilish, Beyonce, Taylor Swift, Dua Lipa, Post Malone, Doja Cat serta kumpulan K-Pop paling popular, BTS.

Foto: Kevork Djansezian/Getty Images

Baca: JLo Anjur Afterparty Secara Maya Pada Malam Tahun Baru