Datin X : Tebus Talak Berjuta - Glam Malaysia

Datin X : Tebus Talak Berjuta

Datin X percaya, wanita muda hari ini lebih celik dan peka dengan hak mereka lebih-lebih lagi di dalam rumah tangga. Sebagai isteri, mereka pasti lebih arif dengan apa yang sepatutnya menjadi milik mereka dan serba tahu dengan sebarang tuntutan; zahir mahupun batin. Saban bulan, suami wajib bagi wang poket. Nafkah sara hidup untuk anak-anak sudah pasti, tetapi Datin X menekankan pada yang bernama isteri. Datin X membayangkan dalam konteks wanita-wanita elit yang bersosial dalam kelompok tertentu di mana kehormatan itu bukan sekadar mampu membimbing keluarga ke arah kebaikan tetapi ia juga terletak pada harta dan wang ringgit.

Namun Datin X masih mengenali sebilangan wanita yang masih dicengkam dengan ketakutan meskipun sudah bertahun dianiaya. Ya, ramai lagi wanita di luar sana yang terlebih lembut hati. Sebagai isteri, sanggup terima apa sahaja penderaan mental dan fizikal oleh sang suami yang tidak bertanggungjawab. Demi kasih sayang yang tidak bertempat, tidak hiraukan diri sendiri dan hanya berdiam diri menerima segala maki hamun suami. Atas alasan pengorbanan, akhirnya memakan diri sampaikan anak-anak terbiar tidak berjaga tatkala si ibu asyik bermuram durja, bersusah hati.

Hidup Datin Zura tampak sempurna secara zahirnya. Anak sepasang, comel-comel belaka. Suami orang korporat, segak pula. Shopping semuanya yang berjenama sampaikan anak-anak pun semua hanya pakai Gucci sahaja. Dan anak-anak mereka jugalah yang paling bertuah gamaknya, setiap tahun ada sahaja percutian keluarga...summer holiday di Maldives, winter holiday di London. Dan sebagaimana kita semua boleh ringkaskan, hubungannya bersama suami tidak semanis gambar-gambar yang dimuat turun di laman Instagram. Situasi sebegini sudah banyak berlaku. Lagi banyak foto romantik di media sosial, selalunya memang banyak masalah dalam kain sebenarnya.

See also
Lifestyle Guru: Linda Uzir

Datin Zura tidak terkecuali. Suaminya memang seperti pijak semut tidak mati. Namun sejak dari tahun kedua perkahwinan, dia sudah mula culas dengan tanggungjawabnya sebagai bapa. Memang benar wang tidak pernah kurang, sebab pembantu peribadi suami yang ditugaskan untuk hulurkan duit belanja setiap bulan. Datuk jarang tidur di rumah. Ada sahaja alasannya terpaksa outstation. Selama ini kami ingatkan Zura tidak tahu yang Datuk itu di luar terkenal dengan sifat womanizer. Rupa-rupanya Zura lebih dari tahu dan sekarang sudah terima hakikat yang dia bukanlah satu-satunya wanita di dalam hati suaminya.

Mereka berkahwin sudah hampir 20 tahun dan rupa-rupanya lebih 17 tahun Datin Zura terseksa batinnya. Bukan sahaja sudah tidak tidur sekatil, Datuk amat gemar merendah-rendahkan isterinya dalam segala segi, di hadapan keluarga dan teman-teman. Memang betullah, suami Zura seorang male chauvinist pig. Dia letak maruah isterinya di bawah tapak kaki. Padanya, isteri hanya tukang masak, tukang jaga rumah, tukang jaga anak-anak. Ramai sudah kawan-kawan yang cuba membantunya keluar dari perkahwinan yang toksik itu, namun Zura terus mempertahankannya demi anak-anak. Ramai juga yang meneka mungkin ada sebab lain namun Zura mempertahankan pendiriannya. Dia seolah-olah termakan dengan hinaan tanpa henti Datuk hampir dua dekad yang seringkali mencacinya sebagai hodoh, gemuk, pemalas dan pengotor. Mungkin Zura dalam tidak sedar benar-benar mempercayai cercaan suaminya lalu mengubahnya dari seorang wanita cantik, berkerjaya dan positif; bertukar menjadi seorang yang takut akan bayang-bayangnya sendiri.

See also
Bernard Chandran Petang Raya

Hendak dijadikan cerita, salah seorang rakan niaga Datuk ada menaruh hati pada Zura. Rakan itu sudah bertahun kematian isteri dan yang paling seronoknya, duda tersebut jauh lebih kaya daripada suaminya sendiri. Dari sekadar bermesej mengucap Selamat Hari Raya, perbualan kemudiannya dipanjangnya apabila lelaki berkenaan mula bertanya khabar. Dari bersoal jawab mengenai politik, situasi berubah menjadi bertambah peribadi. Lalu mulalah bibit-bibit percintaan antara keduanya. Paling lucu apabila mereka hanya bertemu apabila Datuk merai kawan-kawan di kediamannya dan Zuralah yang terpaksa memasak dan menghidang minuman dan makanan. Keduanya cuma bermain mata dari jauh dan kemudian bersambung di laman WhatsApp.

Satu hari, duda berkenaan menyatakan hasratnya mahu menghawini Zura. Ya, dia sedia maklum Zura isteri orang namun dia juga tahu bagaimana temannya menganiaya isterinya sejak bertahun lamanya. It’s an open secret. Ia bukan rahsia, tetapi orang sekeliling mengambil pendekatan pekakkan telinga dan butakan mata – hanya kerana Datuk orang berpengaruh dan ada kuasa. Sebulan kemudiannya, barulah Zura mampu mengumpul kekuatan untuk memberitahu suaminya yang dia ingin berpisah. Maka apa lagi, Datuk mengamuk sepertikan rumah agam mereka mahu runtuh! Zura tahu dalam hati suaminya sudah tiada langsung kasih buatnya. Jadi apa yang keluar dari mulut suaminya hari itu cuma dendam dan amarah tatkala egonya tercalar. Siapa yang berani say no to Datuk? “Yes, I can let you go. But its not going to be easy!” Datuk berjanji akan mencari peguam paling bagus dan akan mencari hakim yang bertanggungjawab dan dia akan pastikan isterinya itu tidak akan dapat lari daripada genggamannya.

See also
Korner Mak Datin: Datuk Galak Berjoli Bila Isteri Murah Hati

Terbaru yang Datin X dengar, rahsia Zura mahu berkahwin dengan duda itu terbongkar. Semakin maraklah api kemarahan Datuk. Dan bagi menambahkan kesukaran Zura, dia mengharapkan wang tebus talak berjumlah RM10 juta. Ya, zaman ini mana ada orang minta tebus talak seribu ringgit lagi kan? Zura garu kepala, namun kekasih menenangkannya dan berkata yang dia mampu untuk membayar harga yang dianjurkan itu. Tetapi sebelum kes ini selesai, dia juga mahu Zura berlawan mati-matian dengan Datuk itu di mahkamah. Oh, percaturannya kian bertambah rumit. Zura kembali hilang semangat. “Itulah, kita semua sudah beritahu, bebaskan diri dari dulu lagi. Sekarang tengok apa sudah jadi?” Datin X harap Zura akan menemui kebahagiaan yang sudah lama diragut daripadanya. Semoga dia senantiasa berada di bawah lindungan Yang Maha Kaya.