4 Trend Kecantikan Untuk Musim Bunga/Panas 2026
Setelah beberapa tahun fokus dengan estetik minimalis, dunia fesyen kini beralih kepada ekspresi yang lebih berani dan kreatif. Pentas fesyen telah menjadi medan eksperimen untuk jurusolek, penggaya rambut dan penggaya kuku yang cuba mendorong batasan kreativiti mereka. Musim ini, kita menyaksikan perubahan paradigma yang ketara – dari penampilan yang dikekang kepada kebebasan bereksperimen dengan warna, tekstur dan aksesori yang tidak konvensional.
Para pereka fesyen tidak lagi memandang kecantikan sebagai elemen sampingan, tetapi sebagai bahagian penting yang melengkapkan visi artistik mereka. Trend kecantikan SS26 ini bukan sekadar mengikut arus, tetapi merupakan penyataan identiti yang kuat dan berani. Mari kita terokai empat trend utama yang akan mendominasi dunia kecantikan pada musim bunga/panas 2026.
1. Bulu Mata Berwarna-warni

Di pertunjukan fesyen Anna Sui dan Collina Strada, model-model memakai bulu mata berwarna terang dan menarik. Mereka menggunakan sambungan bulu mata khas dan maskara berwarna untuk menciptakan penampilan yang berbeza. Anna Sui dan Collina Strada memilih warna-warna cerah seperti hijau dan biru untuk kesan yang berani dan unik.

Trend ini membuktikan bahawa bulu mata boleh menjadi aksesori fesyen yang menarik, bukan sekadar untuk menambah panjang sahaja.
2. Kuku Maksimalis

Foto: OPI
Di New York Fashion Week, model tampil dengan kuku yang sangat kreatif dan mewah. Grace Ling mencipta “futuristic relic nails” yang kelihatan seperti perhiasan dan Kim Shui membuat kuku berbentuk “K” yang berkilauan dengan berlian palsu. Semua reka bentuk kuku ini sangat besar, tebal dan penuh dengan hiasan.

Para pereka kuku kini menghiaskan kuku seperti kanvas kecil, menambah pelbagai tekstur, warna terang dan hiasan 3D untuk menghasilkan karya seni yang benar-benar eye-catching.
3. Butiran Rambut Berwarna

Rambut juga menjadi tempat untuk bereksperimen dengan warna dan hiasan yang menarik. Theophilio menggunakan wig dengan corak lukisan yang rumit, sementara Chopova Lowena dan Ashley Williams menambah tinsel extensions berkilau dan kepingan rambut warna neon yang terang. Warna-warna pelangi ini menjadikan rambut kelihatan seperti karya seni yang hidup. Trend ini sesuai untuk mereka yang ingin mengubah penampilan secara dramatik tanpa perlu mewarnakan rambut secara kekal, kerana kebanyakan aksesori ini boleh dikeluarkan dengan mudah.
4. Aksesori Penjagaan Kulit

Yang paling menarik, penjagaan kulit kini menjadi bahagian daripada fesyen! Sebelum ini, orang segan memakai patch jerawat atau eye mask di tempat awam. Tetapi Ashley Williams dan Eckhaus Latta membawa produk penjagaan kulit terus ke pentas fesyen. Mereka bekerjasama dengan jenama terkenal seperti Starface dan Dieux untuk menjadikan patch jerawat dan produk penjagaan kulit sebagai aksesori fesyen yang cool. Trend ini mengajar kita bahawa menjaga kulit adalah sesuatu yang patut dibanggakan, bukan disembunyikan.
Zahirah Zulkhairi
Zahirah Zulkhairi merupakan Penulis di GLAM Malaysia. Menerusi sentuhan kreatifnya, kandungan yang dihasilkan menyelami dunia kecantikan dengan pendekatan yang segar dan dekat dengan pembaca.

