Pengalaman Manjakan Diri di The Spa, Mandarin Oriental KL
Urutan Deep Sleep di The Spa sememangnya membuatkan kepenatan selama berminggu-minggu hilang begitu sahaja dan badan kembali terasa segar!
Selepas berminggu-minggu menguruskan urusan perkahwinan, akhirnya saya mempunyai masa untuk memanjakan diri dengan mengurut badan di The Spa, Mandarin Oriental Kuala Lumpur. Di sini, terdapat lapan jenis urutan dan saya memilih urutan Deep Sleep selama 2 jam. Pengalaman memanjakan diri di The Spa ini sangat selesa seperti berada di rumah sendiri.
Manjakan diri di Mandarin Oriental
Saya tiba di Mandarin Oriental setengah jam lebih awal dari masa temujanji dan berpeluang untuk menikmati fasiliti lain seperti bilik sauna, bilik stim, jakuzi dan tab panas sebelum melakukan urutan.
Almari loker juga turut disediakan untuk anda menyimpan beg tangan dan barang-barang berharga di satu tempat. Sebelum melakukan urutan, saya sempat menikmati bilik stim selama beberapa minit. Suhunya agak panas dan dinasihatkan untuk tidak berada di dalam bilik stim itu lebih daripada 10 minit.

Jakuzi dan tab panas

Bilik stim
Selepas itu, saya terus menukar ke pakaian robe yang disediakan dan menuju ke The Spa. Di sini, saya disambut dengan minuman hangat dan diminta untuk mengisi borang konsultasi sebelum mengurut. Kemudian, juruterapi akan bertanya beberapa soalan sebelum membawa anda ke bilik urutan. Suasana spa ini sangat menenangkan dengan persekitaran dan muziknya yang lembut.
Selepas sesi konsultasi, pengalaman urutan saya dimulakan dengan warming foot ritual dimana kaki direndam dalam air suam yang dicampur dengan herba aromaterapi, memberikan keselesaan serta-merta. Perlahan-lahan, saya mula berasa tenang sebelum urutan sebenar bermula.
Urutan seluruh badan menggunakan gabungan minyak terapeutik vetiver, chamomile dan sandalwood. Wangian lembut minyak itu memenuhi ruang bilik, manakala teknik urutan yang diaplikasikan oleh juruterapi terasa tepat pada titik-titik ketegangan di tubuh. Setiap tekanan yang diberikan terasa seperti menghantar mesej kepada sistem saraf untuk lebih relaks dan melepaskan segala beban yang terbuku.

Bilik urutan solo
Menariknya, sesi ini turut disertakan dengan Tibetan sound healing ritual iaitu bunyi logam yang bergetar lembut seperti mengalun doa untuk ketenangan jiwa. Gabungan urutan dan bunyi ini membuatkan saya tertidur lena di pertengahan sesi tanpa sedar. Ketika mata dibuka semula, dua jam telah berlalu, dan saya terasa segar seolah-olah baru bangun dari tidur malam yang panjang.
Sebaik sesi tamat, saya dihidangkan dengan minuman sejuk bersama sedikit buah-buahan dan kekacang. Minuman itu terasa menyegarkan, seolah-olah menyempurnakan pengalaman memanjakan diri yang menyeluruh. Dengan langkah yang ringan dan hati yang tenang, saya melangkah keluar dari The Spa dengan senyuman dengan tubuh terasa ringan dan minda terasa lapang. Saya boleh katakan saya sangat berpuas hati dengan urutan tersebut. Sukar untuk saya menggambarkan perasaan itu selepas diurut, anda perlu merasakannya sendiri!
Artikel Berkaitan: Mandarin Oriental Takes Desaru Coast!