Inspirasi Solekan Daripada Bunga Taruhan Chanel
Rujukan dan inspirasi solekan Boleh datang dari mana-mana, namun pada firasat saya unsur alam ciptaan Tuhan itulah yang paling cantik dan menarik. Musim ini Chanel memberi penghargaan kepada kuntuman bunga menerusi himpunan alat solek terbarunya yang jelas banyak dipengaruhi kesegaran flora yang kembang mekar bagaikan di taman fantasi menerusi himpunan yang dinamakan sebagai Les Fleurs De Chanel.
Berpandukan pada namanya sudah terang-terangan dapat diduga ia menceduk inspirasi dari kuntuman bunga sebagai ‘permainan’ Chanel musim ini. Lucia Pica, pereka kreatif mekap dan warna Chanel berkongsi ilham bersama Chanel Makeup Creation Studio dalam menelaah dunia bunga-bungaan dalam mengolah ilham koleksi ini, dari kuntuman camelia yang menjadi kesukaan Coco Chanel hinggalah kepada bunga-bunga lain seperti peoni, iris, carnation, dan sweet peas.
Hasil dari eksplorasi idea Lucia Pica dan studio Chanel, maka terhasillah ton-ton solekan yang lebih panas yang ‘disuamkan’ dengan percikan ton dingin juga efek sedikit berkilau dalam simbahan warna-warna tanah. Lucia yang berketerunan Itali dan menimba pengalaman sebagai jurusolek di kota London turut bermain dengan warna jingga dan koral yang dilihat mencetus wajah polos yang berseri-seri.
Meneliti satu persatu koleksi musim ini, saya cukup tertarik pada maskara dalam warna terracotta yang cuba Chanel popularkan semula musim ini. Jika sudah bosan menyalut bulu mata dengan maskara hitam, saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk anda bereksperimen dengan maskara warna merah bata, mungkin ia akan buat mata tampil lebih berbeza.
“Musim ini bibir tidak semestinya perlu tampil sempurna bagai dilukis, gayakan sedikit comot bagaikan efek lip stain.“- Lucia Pica
Artikel Berkaitan: Rahsia Buah Gardenia Sebagai Bahan Mencerahkan Kulit
Eksplorasi Solekan Musim Ini
Lucia Pica berkongsi lima idea untuk anda bereksperimen dalam solekan.
1- Usah takut untuk bereksperimen atau berkreatif dalam solekan. Jika dalam satu palet pembayang mata anda empat warna, anda boleh gunakan satu, dua, tiga atau kesemuanya. Lapiskan antara satu warna dengan warna yang lain untuk solekan mata yang lebih mampan. Lapiskan pembayang mata metalik di atas pembayang mata lain untuk efek mata lebih sensual.
2- Pembayang mata ton gelap bukan sahaja boleh disapu pada seluruh kelopak mata, ia juga boleh juga dijadikan sebagai penggaris mata. Lembutkannya dengan pembayang mata yang lebih terang dengan sapukan pada hujung mata.
3- Untuk hasil solekan yang membuatkan wajah lebih berseri-seri, Lucia Pica mencadangkan layangan pemerah pipi pada buah pipi dan sapu manja highlighter pada tulang pipi sahaja.
4- Sapukan gincu terus dari batangnya kerana ia memberi efek yang lebih bersahaja. Musim ini bibir tidak semestinya perlu tampil sempurna bagai dilukis, Lucia Pica mencadangkan gaya yang sedikit comot bagaikan efek lip stain.
5- Boleh campurkan warna gincu yang berbeza, misalnya sapukan ton yang lebih terang pada tengah bibir untuk mencipta ton gradient.Usah takut mencuba!