Kembara Fesyen Marion Caunter

Personaliti

Kembara Fesyen Marion Caunter

7

marion1
 
Temu janji antara GLAM dengan Marion Caunter untuk penggambaran kulit majalah ini diikat tatkala dia berada di Perancis. Kala itu Marion sedang rancak dengan pesta Minggu Fesyen Paris. Saya antara yang mengikuti perkembangan kembara fesyennya itu melalui laman sosial, Instagram. Cuaca Paris yang agak suram kala itu kerana berganti musim tidak langsung memberi efek kepada Marion yang senantiasa dalam busana indah berlabelkan Chanel, Valentino, Burberry Prorsum sehingga ke ceraian rekaan Nicolas Ghesquiere buat Louis Vuitton. Biar pun sibuk menghadiri pertunjukan fesyen, jemputan untuk dia menghiasi kulit majalah yang dikirimkan melalui Whatsapp di balas laju.
 
Di suatu pagi yang indah dengan sinar mentari yang terik menyapa Kuala Lumpur, sesi penggambaran berlangsung dengan penuh aman. Di sebuah rumah serba putih yang terletak di atas bukit Ampang, terik matahari itu diselindungi rimbun pohon bougainvillea yang tumbuh meliar. Bunga-bunganya kembang dan seri rona merah jambu berbalas dedaunan hijau seakan meniup semangat pada Marion Caunter dan seluruh krew GLAM. Damainya lokasi ini walaupun hanya 10 minit jauh daripada hiruk pikuk pusat Kuala Lumpur. Ibu kepada dua cahaya mata itu duduk dan menyerahkan muka mulusnya dioles dengan barangan alat solek juga daripada Burberry Beauty. Sambil disolek dia ramah bercerita berkongsi pengalaman kembara Minggu Fesyennya.
 
Bagaikan satu magis sakti fesyen, Marion membuka cerita tentang ekspedisi fesyennya yang bermula dari kota London atas jemputan eksklusif Burberry Prorsum sendiri. Dia menjadi selebriti pertama Malaysia yang diterbangkan khas untuk melihat acara yang berlangsung di Kensington Garden. “Saya pernah ke pertunjukan Burberry, namun di undang atas tiket pelanggan. Cuma kali ini pengalamannya amat berbeza kerana saya dijemput untuk melewati puluhan lensa kamera yang merakam gambar sebelum masuk ke dalam khemah pertunjukan fesyen itu,” ujar Marion Caunter membuka bicaranya.
 

 
EKSPEDISI KEMBARA FESYEN Biar pun sebentar saja di London sekadar memenuhi jemputan Christopher Bailey, namun, kenangannya amat manis sekali. Menjadi selebriti pertama dijemput ke pertunjukan fesyen itu memberinya peluang berselisih bahu dengan selebriti antarabangsa yang terkenal. Antara momen indah yang berbekas di hati Marion adalah ketika dia di bawa masuk ke dalam khemah petunjukan fesyen dan diperkenalkan kepada selebriti lain yang turut diundang khas oleh label itu. “Saya cukup meminati penyanyi baru Sam Smith dan kala dipertemukan oleh orang Burberry, hati saya berasa cukup girang. Biarpun dikerumuni media antarabangsa, dia masih tetap menyambut salam tangan saya dan memberi masanya untuk berbual seketika.” Kata Marion lagi, Smith itu merendah diri orangnya dan dia berharap penyanyi yang baru merangkul piala Grammy itu kekal dengan perwatakan sebegitu.
 
Jemputan yang disambut dengan hati terbuka itu menjadi satu momen penting dalam diari fesyen Marion Caunter. “Sebelum ini, saya tidak perlu beratur untuk dirakam gambar oleh pihak media. Kali ini lain pula kisahnya. Saya dilayan bagaikan bintang! Menghiasi barisan hadapan pertunjukan label ikonik ini bersama wajah-wajah antarabangsa yang sering kali kita lihat dalam majalah membuatkan saya tertanya-tanya apa tuahnya saya diberikan layanan sebaik ini.” Wanita berbintang Scorpio ini turut memberitahu yang acara itu cukup gah lebih-lebih lagi ia adalah jenama paling besar dalam rentetan sejarah fesyen di London. Marion yang duduk bersebelahan pelakon Susanne Wuest juga memberitahu ketika menonton pertunjukan yang diserikan oleh kumpulan koir serta penyanyi Claire Maguire mendendangkan lagu Will You Love Me Tomorrow sebagai pembuka acara dia berasa kemegahan kota London itu seolah-olah meresapi ke dalam dirinya.
 
Usai pertunjukan fesyen Marion dijemput untuk bertemu dengan Presiden dan Pengarah Kreatif Burberry Prorsum yakni Christopher Bailey. Ujar Marion, Bailey adalah antara orang fesyen yang punya keperibadian yang menyenangkan. Dia seorang yang merendah diri. “Saya berasa berbangga dapat meluangkan masa seketika dengannya. Ketika diperkenalkan padanya dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi meluangkan masa menghadiri pertunjukkan fesyennya.” Marion juga memuji koleksi serta pertunjukkan fesyen yang baginya satu produksi yang hebat. Malahan dalam benaknya sudah memasang angan-angan untuk mendapatkan item daripada koleksi musim luruh itu. “Mata saya terpana melihat but yang punyai perincian patchwork! Ia seksi sekali. Mungkin saya juga mahu dapatkan jaket berambu yang sedang hangat trendnya sekarang.”
 
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun Clanhouseonline.com
Gambar: Micky Wong
Teks & Penyelaras: Aizat Aidid
 
*Dipetik dari GLAM edisi Mei 2015
 
 

Your email address will not be published. Required fields are marked *