GLAM Personaliti: Amelia Henderson - Glam Malaysia

GLAM Personaliti: Amelia Henderson

amelia henderson

 

Orangnya manis dengan personaliti menawan. Perwatakannya yang riang membuatkan dia mudah didekati. Gadis kacukan India dan Scottish daripada sebelah bapanya ini sudah melangsungkan pernikahan pada 29 Ogos tahun lalu. Putri Noor Amelia Thripura Henderson Binti Abdullah memeluk Islam dan selamat diijabkabulkan bersama pasangan Tunku Harunnarasheed Putra, anakanda kepada Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Toh Puan Noor Suzanna. Ini bukanlah pertama kali kami bekerja sekali, kali pertama adalah sebagai salah seorang personaliti Most GLAM tahun 2014.

 

“Saya sudah mula bekerja dalam bidang peragaan sejak usia 10 bulan lagi. waktu itu untuk iklan Mothercare dan kemudian mendapat kontrak bersama Nestle bagi produk susu bayi. Biarpun kontrak adalah selama dua tahun tapi kami terpaksa berpindah ke Greece untuk beberapa tahun atas tuntutan kerja ayah sebagai seorang arkitek. Mendapat didikan di sekolah Sri Cempaka di peringkat rendah dan kemudiannya ke Sekolah Alice Smith, Seri Kembangan untuk peringkat menengah. Akan tetapi selepas itu saya belajar secara homeschooling because I couldn’t keep up. Ini kerana saya sudah mula bekerja sebagai pelakon kanak-kanak juga menghadiri kelas balet,” beritahu Amelia mengenai dirinya.

See also
GLAM 101: Giorgio Armani

 

“Saya mula bekerja sejak kecil lagi dan saya menyukainya. Terus terang saya katakan, kesemua himpunan beg atau kasut jenama mewah adalah hasil titik peluh saya. Apabila saya melihat komen-komen negatif di laman sosial menyatakan saya beruntung bersuamikan kerabat dan boleh bergaya mewah itu adalah tidak benar sama sekali.” Saya mengangguk setuju, mengenali dirinya saya percaya dia seorang yang bekerja keras!

 

“Ibu saya doktor gigi dan dia bekerja keras membesarkan kami. Saya turut mahu membantunya. Menghadiri kelas balet sejak usia tiga tahun sedikit sebanyak membentuk keperibadian diri dan menjadikan saya lebih berdisplin. Ibu juga menghantar saya ke kelas lakonan. Balet itu sendiri adalah kesempurnaan bukan kerana saya sebagai penari mahukan yang terbaik. Tetapi kesempurnaan itu adalah dituntut. Pada usia 13 saya memenangi pertandingan dan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di sekolah balet di Australia. Ia lebih kepada summer school dan saya boleh melanjutkan ke peringkat seterusnya tapi memilih untuk pulang ke Malaysia.”

See also
Tidak Rasa Tergugat- Tiz Zaqyah Percaya Kemantapan Lakonan Menjadi Pengukur

 

Amelia juga adalah antara barisan pelakon yang membintangi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Berbicara mengenai Arwah Yasmin, memori yang terbina bersama sutradara itu masih segar di ingatannya biarpun Amelia masih kecil waktu itu.

 

“Kami semua rindukan arwah Yasmin Ahmad. Sewaktu penggambaran filem di Ipoh, ibu memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menjaga saya. Kami seperti sebuah keluarga bahagia tanpa mengira latar belakang dan agama. Hasil dan usahanya dalam membangunkan layar perak tempatan juga mengubah mentaliti rakyat akan senantiasa dikenang,” kata Amelia pilu lalu menutup bicaranya.