Retorik: Ketelusan Dalam Kewartawanan - oleh Fiza Sabjahan

Retorik: Ketelusan Dalam Kewartawanan – oleh Fiza Sabjahan

T45674980_MaxGambar: TPGVIP

 
Oleh: Fiza Sabjahan
 
Sejak daripada kecil, saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Obsesi saya untuk menjadi seorang peguam telah menjadikan diri ini seorang individu yang suka membaca. Kisah-kisah Enid Blyton seperti The Famous Five dan Echanted Wood antara yang menjadi kegemaran saya. Siri-siri penyiasatan Sherlock Holmes serta kisah-kisah para nabi, majalah serta surat khabar juga antara bahan bacaan yang amat saya gemari sedari kecil.
 
Ketika belajar di sekolah menengah, waktu itu guru Bahasa Inggeris sangat pelik melihatkan hobi saya yang gemar membaca kamus. Bukan membaca, tetapi saya sebenarnya mempelajari perkataan baharu. Ketika itu surat khabar The News Straits Times menjadi pilihan saya. Dan bermula ketika itulah saya tertanya- tanya bagaimana agaknya penulis ini mendapat berita, tanpa mengetahui tentang apakah definisi sebenar kewartawanan itu.
 
Saya bukanlah pelajar jurusan komunikasi, malah cita-cita untuk menjadi seorang peguam juga tidak terlaksana. Saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan perancangan bandar dan wilayah dan selepas itu terbang di awan biru, berkhidmat bersama syarikat penerbangan MAS selama empat tahun.
 
Namun, minat membaca dan mengetahui perkembangan terkini masih lagi menebal di dalam diri. Secara tidak saya sedari, mungkin bakat menjadi wartawan itu ada di dalam diri. Lalu, bermulalah kisah sekitar 2006, saya menjadi gadis cuaca untuk siaran berita RTM, dan kemudian diberi peluang mengemudi program muzik aktif sebelum saya memasuki pertandingan Pesona Nona anjuran TV3. Syukur terukir apabila saya berjaya mendapat tempat kedua di dalam pertandingan tersebut.
 
Landskap dan pandangan saya terhadap dunia kewartawanan berubah apabila memasuki pertandingan tersebut. Tidak begitu teruja untuk berada di hadapan kaca tv, saya lebih tertarik melihat profesionalisme dan kesungguhan seluruh krew produksi yang bekerjasama. Hakikatnya, baharu saya tahu bukan mudah untuk menjadi seorang wartawan.
 
Satu kerjaya yang mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat. Kerana setiap apa yang disampaikan, akan memberikan kesan yang berterusan kepada individu dan masyarakat. Keterujaan saya untuk menjadi seorang wartawan begitu membuak-buak.
 
Disebalik keterujaan, ketelusan dalam setiap penulisan yang disampaikan sememangnya amat penting. Ada nilai dan norma-norma akhlak yang perlu dititikberatkan agar setiap penyampaian tidak mengguris hati mana-mana pihak ataupun berat sebelah. Iya… hakikatnya tidak mudah kerana mana mungkin kita mampu untuk memuaskan hati setiap insan yang mempunyai perbezaan pandangan dan buah fikiran? Tetapi asalkan kita berpegang kepada apa yang telah digariskan, Insha-Allah semuanya mampu berjalan dengan lancar.
 
Hari ini landskap penulisan mungkin telah banyak bezanya. Untuk melengkapkan diri, saya menyambung pelajaran di dalam bidang komunikasi dan kewartawanan agar kerja saya lebih diiktiraf. Namun, hakikatnya hari ini, penulisan wartawan yang tidak bertauliah dan yang sentiasa menjadi keyboard warrior lah lebih dipercayai berbanding hasil karya wartawan sebenar itu sendiri. Tak salah untuk membaca, tetapi jadilah pembaca yang bijak agar anda tahu untuk menilai mana yang baik dan juga mana yang buruk.
 
Seorang wartawan yang ikhlas dan jujur dalam penulisannya akan memastikan keseimbangan dan keharmonian dalam setiap penulisannya dengan tujuan mendidik dan membentuk masyarakat, waima apa jua bahan ceritanya. Wartawan sememangnya bertanggungjawab sebagai penyelidik, pendidik dan penyebar maklumat, justeru sebelum seorang wartawan itu menulis, pelbagai faktor harus dipertimbangkan.
 
Yang tidak anda ketahui adalah di sebalik setiap baris ayat yang anda baca itu, ada pelbagai pengorbanan yang tidak dapat dinyatakan. Pengorbanan seorang isteri yang pulang lewat malam menemui suami, pengorbanan seorang ayah yang terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri, pengorbanan seorang anak yang tidak dapat pulang bertemu dengan keluarga yang dirindui dan mungkin juga ada air mata yang mengalir ketika jari sedang menekan papan kekunci dikomputer, demi untuk menyiapkan satu cerita yang mahu disampaikan kepada para pembaca. Tidak pernah mereka meminta untuk dipuji segala cerita, tetapi apa salahnya, hargai ketelusan yang disampaikan dalam setiap cerita yang dikongsi. Kerana ianya hasil pengorbanan masa, tenaga dan kesungguhan yang tidak terhingga.
 
Buat pembaca budiman, anda yang memilih setiap fakta yang anda inginkan. Memori juga anda yang ciptakan. Justeru, jadilah pembaca yang berhemah dengan memilih penulisan yang ada ketelusannya. Ini kerana..“But there’s a big difference between, say, reporting on a story and simply making up a story.” –Errol Morris.
 
FIZA SABJAHAN PENGACARA TELEVISYEN YANG GEMAR MEMBACA DAN MEMERHATI KERENAH DUNIA MASA KINI.
 
 

See also
Datin X: Masam Manis Berkongsi Sugar Daddy