Kendall Jenner Inspirasi Fesyen Jane Chuck

Kendall Jenner Inspirasi Fesyen Jane Chuck

Teks & Penyelaras: Amira Azman
 
Jane Chuck
 
Media sosial kini menjadi faktor utama di mana orang ramai mahu melihat perkembangan dunia dengan segera hanya membaca di gajet-gajet mewah yang pelbagai. Segala-galanya berada di hujung jari! GLAM menjemput salah seorang gadis muda yang dikenali sebagai blogger juga vlogger yang semakin mendapat perhatian ramai terutama di kalangan pencinta fesyen tempatan.
 
“Hello, nama saya ialah Jane Chuck. Saya berumur 23 tahun. Selain menulis diari harian, saya juga memiliki kafe kopi yang saya usahakan bersama rakan karib juga banyak menghabiskan masa memutar turn table di majlis-majlis yang berlangsung di sekitar ibu negara,” ujar Jane senyum lebar membuka bicara.
 
Blognya yang difokuskan kepada gaya hidup juga fesyen itu telah diuruskan sejak Jane berusia 14 tahun lagi. “Jika dahulu saya masih tiada panduan arah dalam membuat blog. Saya lebih suka berkongsi apa yang berlaku pada saya setiap hari. Namun kini, saya sudah tahu apa yang ingin dilakukan dengan blog ini.”
 
Pada awal penulisan blog, ia mendapat perhatian daripada rakan-rakan sekolah. Mulanya ia sekadar blog diari harian. Semakin lama, blognya semakin mendapat perhatian. Jane turut menyatakan dia memilih untuk menjadikan blognya sebagai blog fesyen. Tambahan pula, dia amat meminati fesyen dan punya keluarga yang mempunyai latar belakang fesyen. Ini membuatkan dia lebih berkeyakinan ingin lakukannya ini.
 
“Blog sebenarnya sedikit sebanyak membantu orang ramai yang masih mencari-cari identiti diri dalam berfesyen. Bukan sahaja di sini, malah di luar negara juga begitu. Mungkin penerimaan orang ramai adalah kerana mereka menganggap kami ini sebagai wanita biasa dan menanam inspirasi jika saya mampu buat, mengapa tidak mereka,” bual Jane Chuck dengan penuh tekun.
 
Seperti personaliti lain, definisi fesyen berkait rapat dengan personaliti diri. “It is not just about what’s your outside but it is also from the inside,” kata Jane. Bila berbicara soal fesyen, Jane tidak boleh menyembunyikan riak wajahnya. “Saya seorang gadis yang akan menyarung sneakers hampir setiap hari kerana ianya sangat selesa dan mudah digayakan. Saya juga punya banyak koleksi sneakers. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini, saya sudah mula membeli kasut tinggi. Saya juga tidak tahu mengapa, mungkin kerana faktor usia,” seloroh Jane ketawa besar.
 
Jane Chuck menggambarkan dirinya sebagai seorang yang chic apabila bergaya. “Gaya harian saya ialah segalanya yang berwarna hitam!” Memilih Joe Chia sebagai pereka tempatan kegemarannya kerana bagi Jane, Joe Chia mereka pakaian yang sangat memahami dirinya. “I wear lots of black! Dan Joe Chia sentiasa mereka koleksi berwarna hitam. Ada sesuatu mengenai rekaannya yang membuatkan saya gemar akan jenama ini.”
 
Inspirasi fesyennya sudah tentu seorang gadis seksi yang cukup cantik kini menjadi rebutan ramai pereka antarabangsa iaitu Kendall Jenner. “Saya jatuh cinta dengan gaya femininnya dan sekarang ini sudah mula membeli apa sahaja yang Kendall miliki.
 
Pengaruh fesyen di Malaysia boleh dikatakan akibat daripada perkembangan melalui laman media sosial seperti Instagram juga Facebook. “Fesyen amat penting bagi semua orang. Anda tidak perlu bergaya sakan. Walau ringkas, sudah memadai asalkan tampak kemas. Secara jujur, sememangnya masyarakat kita mudah mengenali seseorang itu melalui apa yang disarung pada tubuh,” ujarnya lagi.
 
Daripada seorang penulis blog kemudian menjadi DJ dan kini memiliki perniagaan coffee shop. Tanya saya apakah perancangan Jane di masa hadapan, lantas dia menjawab, “Kecintaan saya pada kopi semakin menjadi-jadi semenjak tahun yang lalu. Namun jika diberi peluang, pelan saya di masa akan datang ialah dengan membuka sebuah lagi kafe santai yang bukan sahaja menjual kopi tetapi juga jus sihat,” terang Jane panjang lebar.
 
Pembantu Penyelaras ZUHAIRIE SAHROM
Penata Gaya AIZAT AIDID
Arahan Seni ZULKIFLI SULAIMAN
Pembantu Arahan Seni ASHURA HAKIM
Gambar AARON LEE/LENSWORK PRODUCTION
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2015
 
 

See also
Who's That Girl? Kenali Siapa Fyza Kadir