Retorik: Belenggu Budaya Menghukum dan Membenci - Glam Malaysia

Retorik: Belenggu Budaya Menghukum dan Membenci

Suatu masa dulu kita dikenali sebagai bangsa yang tinggi budi bahasa. Pepatah bahasa jiwa bangsa dipergunakan secara umum dengan begitu bangga sekali. Rukun negara dibaca dari hati, menyelami setiap bait katanya membuatkan masyarakat kita kukuh jati diri. Sebagai anak yang membesar di era 70-an memasuki 80-an, saya agak terkesan melihatkan perubahan budaya masyarakat kita hari ini. Dahulu kita semua ibarat ‘satu’, hari semakin kucar-kacir. Budi bahasa dipinggirkan. Masyarakat hari ini kian menerima suatu jenis budaya yang begitu mudah menghukum, mengutuk, memaki, mengeji, dan segala yang sewaktu dengannya. Apa sudah jadi?


Bukan sahaja media sosial dan kita boleh nilai tahap keceluparan masyarakat hari ini. Pantang ada kurang sikit, terus menghentam bertalu-talu. Apa lagi kalau kesnya beskala besar, makanya makin dashyatlah makian dan kejian. Berkongsi pendapat satu hal, tetapi mereka-reka meme sebagai ejekan dan bahan lawak, kemudian mengharapkan ianya bertukar viral adalah suatu sikap yang rendah moralnya. Satu lagi bukti yang menunjukkan tahap pemikiran segelintir masyarakat kita yang makin ke belakang adalah apabila komentar yang dikongsi disulami dengan ayat-ayat carutan yang bunyinya kotor sekali. Kalau melibatkan individu, terus ditelanjanginya hingga segala aibnya dipertonton ramai. Sejak bila kita hilang budi bahasa dan nilai kemanusiaan?

See also
GLAM Expose: In Fashion & In Debt: Dibebani Hutang Kerana Status & Jenama

Inilah yang paling menakutkan saya. Masyarakat kita sudah boleh menerima budaya sebegini yang saya gelar culture of hatred. Situasi ini sebenarnya sudah parah hinggakan perkara yang baik sekalipun dilihat negatif oleh sesetengah pihak. Banyak sudah contoh di sekeliling kita yang berlaku. Lihat sahaja tahun ini apabila negara diuji dengan dugaan besar. Di saat negara memerlukan solongan rakyatnya, ramai pula di antara kita yang memberi belakang, buat tidak faham malah menghentam kembali negara tanah tumpah darahnya. Contohnya bila krisis air berlaku, terus membuta-tuli menyalahkan kerajaan walau sah-sah sedang kemarau. Bukankah itu satu fenomena alam yang berada di luar kuasa manusia?

Selalunya media sosial yang menjadi ‘medan pertarungan’. Begitu galak sekali para keyboard warrior menaip status-status panas dan komen-komen berapi. Apa kata panggil pihak yang ‘lantang bersuara’ ini untuk bersemuka? Pasti kecut perut kerana merekalah manusia yang paling penakut. Baling batu, sembunyi tangan. Pengecut!

Budaya berbudi bahasa yang semakin luntur di kalangan masyarakat kita juga amat jelas. Tidak perlu melihat jauh. Amati sekeliling kita. Sebagai contoh, industri perkhidmatan kita. Sudah amat jarang kita disambut dengan senyuman. Layanan diberi sekadar acuh tak acuh dan kurang mesra.

See also
Fashion Affair: Pembukaan Megah Flagship Store Max Mara di Pavilion

Masuk butik-butik mewah, masih ada yang menghakimi walk- in customer berdasarkan first impression. Kalau kita nampak underdressed sikit, sudah lah tidak disambut dengan hello malah nak sedekah senyuman pun haram. Lagi dihempas-hempaskan hanger di rak baju sebagai ‘pemberitahuan’ yang ‘you’re not welcome here’. Pernah saya mengunjungi sebuah butik barang kemas di Pavilion dan bertanyakan harga seutas jam tangan. Maklum balas yang saya terima? “It’s very expensive.” Mujurlah saya bukan jenis yang merekodkan setiap kejadian di media sosial. Bayangkan kalau orang lain, sudah lama butik tersebut dimaki hamun tanpa belas kasihan!

Sejak bila masyarakat kita berubah menjadi bengis dan penuh kebencian? Kita boleh komplen segala hal sampai benda baik sekalipun sudah tidak nampak apa baiknya. Akibat dari api kebencian ini, masyarakat kita bukan sahaja hilang nilai kemanusiaan malah sedikit demi sedikit berubah menjadi sebuah masyarakat yang dibelenggu paranoia. Kiasu tak bertempat.

Pernah suami saya membantu mengangkat seorang bayi yang jatuh tersembam akibat laju berlari. Ibunya datang mendapatkan bayinya sambil menjeling kepada suami saya seakan suami saya sudah melakukan suatu kesalahan. Minggu lalu saya membantu mengutip barang dapur seorang wanita yang terjatuh bertaburan di lantai akibat beg plastiknya terburai. Bukan terima kasih yang diucapkan, tetapi mimik muka yang menyakitkan. Macamlah saya mengutip barangnya dengan niat mahu dibawa lari.

See also
Fatiha Sharif Tidak Gentar Untuk Mengambil Risiko Dalam Perniagaan

Mana perginya common decency orang kita? Persoalan paling utama bolehkah keadaan ini di-‘reverse‘? Kalau mahu hidup dalam suasana harmoni dalam jangka panjang, bawa-bawalah belajar untuk bersangka baik. Jangan sampai kita perturunkan kepada anak cucu sebuah budaya yang berteraskan kebencian. Kalau macam itu, sampai bila pun tidak akan aman.

oleh: Salena Salehuddin

*Salena Salehuddin yang berkelayakkan dalam bidang komunikasi antarabangsa ini pernah bertugas dalam arena korporat dan kini menyumbang tenaganya dalam sektor kerajaan.