Korner Mak Datin: Datin Lari Dengan Teman Lelaki Bila Suami Gantungnya Tak Bertali

Korner Mak Datin

Korner Mak Datin: Datin Lari Dengan Teman Lelaki Bila Suami Gantungnya Tak Bertali

283
DatinX8

Gambar: Arkib GLAM


 
Seperti yang diceritakan kepada Nurul Syuhada
 
Lisa selalu menyamakan kisah cintanya bak dongengan Cinderella. Kalau orang kata, angan-angan tidak membawa ke mana, Lisa membuktikan yang mimpi ada kalanya boleh bertukar menjadi nyata. Sebab dulunya dia cuma kerja makan gaji sebagai jurujual di sebuah kedai baju di tengah kota. Menanti wang gaji masuk akhir bulan yang jumlahnya pun tidak seberapa, Lisa menyimpan angan kosong mahu bertemu dengan dengan putera idaman yang suatu hari nanti akan menyelamatkannya dari kehidupannya yang diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kain petang, makan petang.
 
Lisa tidak pernah terfikir yang dia suatu hari nanti akan hidup senang-lenang. Tetapi itulah hakikatnya. Lisa bertemu dan bercinta dengan seorang Datuk yang mampu memberikannya hampir segala-galanya. Malah kawan-kawan yang selalu mentertawakannya juga seakan tidak percaya yang teman mereka yang dahulunya sengkek, kini sudah mampu menjinjing beg berjenama dan menyarung kasut-kasut mahal.
 
Jodoh Lisa dan lelaki itu sangat kuat. Mereka diijab kabulkan kurang dari setahun usai perkenalan. Di majlis resepsi, tidak semua kawan lama Lisa dijemput oleh kerana majlis eksklusif dengan senarai tetamu VVIP. Bulan madu pula punyalah lama. Hampir sebulan melompat dari satu bandar ke satu bandar lain sekitar Eropah. Lisa pula ambil kesempatan shopping sakan. Kalau dulu, dia cuma mampu melihat di luar dinding kaca kedai berjenama. Sekarang dia sudah mampu masuk dan membeli apa saja yang hatinya hajati. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
 
Lisa tidak perlu lagi memikirkan masalah duit. Dia sudah cukup selesa menjadi mem besar di rumah agam besar, lengkap serba-serbi dengan bilik wardrobe besar yang masih kosong menunggu untuk diisi. Kisah Cinderella versi Lisa tidak terhenti di situ sahaja. Dia juga memiliki chef peribadi dan disediakan pemandu untuk membawanya ke sana-sini berserta sebilangan pembantu untuk menguruskan keperluannya setiap hari. Apa lagi yang tidak cukup lagi? Hidup kelihatan cukup sempurna. At least, di mata orang yang melihatnya.
 
Tapi percayalah, tiada apa yang sempurna dalam dunia ini. So here’s the catch. Suami Lisa agak berusia. Pernah dua kali berkahwin. Tiada anak. Bila Lisa bertanya mengapa rumahtangga tidak mampu bertahan, jawapan yang diterima, tiada jodoh full stop. Lisa tidak berani nak bertanya lebih-lebih kerana takut melukakan hati bakal suaminya itu. Di malam persandingan, pasangan mempelai tidur bersama. Nothing happened. Lisa berasakan, mungkin suaminya keletihan. Bulan madu sampai sebulan, tapi sedikit pun Lisa tidak disentuhnya. Lisa cuba memahami keadaan suaminya kerana itinerary percutian mereka penuh dengan pelbagai aktiviti yang diminta sendiri oleh Lisa. Faham-fahamlah sebab terlalu excited memandangkan ini kali pertama dia bercuti jauh di tanah asing.
 
Dua bulan selepas bernikah, keadaan masih sama. Sekarang Lisa mula dapat meneka mengapa dua perkahwinan suaminya yang terdahulu gagal. Lisa mula memberanikan diri bertanya. “You ada problem yang perlu I tahu ke? I’m your wife. I need to know. Kalau ada masalah, kita boleh selesaikan bersama,” Lisa memujuk lembut. Seperti biasa, suaminya asyik berdalih-dalih lalu terus melelapkan diri meninggalkan Lisa yang masih terpinga-pinga. Begitulah kejadiannya dari satu malam ke satu malam lain. Lisa pernah cuba memulakan langkah pertama tetapi suami masih dingin. Setiap malam, terngiang-ngiang di telinga Lisa kenyataan suaminya pada salah satu malam di mana dia beria-ria meminta penjelasan. “Darling, sex is not everything. Kasih sayang sudah cukup untuk kita bahagia.” Apakah maksud suaminya itu? Lisa mula membuat pelbagai andaian.
 
“Apakah suami ku ini mati pucuk?” Bisikan yang cukup menakutkan buat isteri semuda Lisa. Oleh kerana suami bersikap acuh tak acuh, lalu dia mula mencari jalan penyelesaian bersendirian. Antara cubaan Lisa untuk ‘memulihkan’ suaminya adalah dengan menghidangkannya kopi yang memiliki ubat perangsang seksual. Tidak cukup dengan itu, dia mengarahkan tukang masak menjamu menu yang dipenuhi dengan ramuan afrodisiak yang diharapkan akan membantu suaminya. Tidak ada satu pun cubaannya berjaya. Suami Lisa masih dalam keadaan sama. Dingin dan tidak bernafsu. Pernah terlintas dalam hatinya, mahu mengambil khidmat bomoh. Tapi perasaan itu cepat-cepat ditepisnya.
 
Ya, Lisa nampak sahaja bahagia tapi hakikatnya tidak. Dia sedih bila kehendak batinnya tidak dipenuhi. Buat pertama kali dalam hidupnya, wang ringgit tidak lagi membahagiakan. Lisa juga sunyi tidak berkawan. Mahu melepak dengan teman lama, dunia mereka jauh berbeza. Al maklumlah, Lisa sekarang bergelar Datin. Kawan-kawan dari zaman terkinja-kinja dulu agak kekok bila bertemu Lisa yang tiba-tiba berubah terus penampilannya. Mahu keluar dengan isteri kawan-kawan suaminya, bual bicara mereka tidak setara. Lisa naik segan sendiri kerana dia selalu terdiam apabila perbualan bertambah rancak. Dunia baru ini membuatkan Lisa tidak begitu selesa. Makin bertambahlah sedih Lisa dibuatnya apabila dia tidak punya tempat untuk mengadu domba segala kesulitan yang sedang bersarang dalam hatinya.
 
Selepas dua tahun bergelar isteri, situasi hubungan di ranjang masih sama. Dingin dan membosankan. Lisa mulai murung, jiwanya mati. Suatu hari, seperti biasa, Lisa keluar bersiar-siar sendirian di kompleks membeli-belah. Shopping membuatkan dia lupa seketika kekecewaannya. Dalam pada dia ralit menilik aksesori baru di sebuah butik mewah, dia berasakan seperti seseorang melambainya dari luar tingkap butik. Oh, itu Haris, kawan lama. Lelaki itu pernah cuba mengoratnya suatu masa dulu dan Lisa pula jual mahal walau hati sebenarnya suka. Bila sudah bertahun tak berjumpa, perbualan singkat di luar butik membawa kepada sesi makan tengahari yang kemudiannya beransur ke minum petang. Banyak betul yang mahu disembangkan antara keduanya.
 
Sewaktu mereka mula saling mengenali, Haris baru sahaja habis belajar dan sedang mencari kerja. Gayanya selekeh, cuma berseluar jeans dan baju-T lusuh melitupi tubuhnya yang kurus melengking itu. Tetapi kini penampilan Haris lain sekali. Tubuhnya sasa membuatkan dia tampak segak dan kemas berkemeja, selari dengan jawatannya sebagai pengurus di sebuah syarikat kewangan. Lisa seakan lupa seketika akan masalah rumahtangganya apabila duduk berbual dengan Haris. Separuh hari bersembang dirasakan seperti baru sejam. Lisa jelas tak puas lalu Haris berjanji akan menelefonnya jika ada kelapangan.
 
Malam itu, Lisa masuk ke kamar tidurnya dengan senyuman. Tentu sekali suaminya sudah awal-awal lagi berdengkur. Tapi Lisa tidak kisah. Dalam fikirannya cuma ada Haris. Dia mula bermimpi indah dan berangan bagaimanalah agaknya jika Haris itu miliknya. Bangun pagi, wajah Haris yang dia bayangkan terlebih dahulu. Sepanjang hari matanya asyik tertumpu pada skrin telefon bimbitnya, mana tahu Haris menelefon. Lewat petang, telefon Lisa akhirnya berdering dengan nombor Haris tertera di atasnya. Hati Lisa menyanyi girang. Perbualan telefon kasual yang asalnya singkat, bertukar menjadi berjam-jam. Tiga malam Lisa bergayut di telefon hingga membuatkan suaminya mula tertanya-tanya. Bila disoal, Lisa buat endah tak endah dan meneruskan perbualan telefonnya.
 
Dalam minggu-minggu seterusnya, Lisa cari peluang untuk menemani Haris makan tengahari. Dia membuat booking di pelbagai restoran mahal yang tertutup supaya tidak berjumpa dengan sesiapa yang mereka kenal. Lisa dapat merasakan yang Haris masih ada hati padanya. Lalu dia mula berterus-terang tentang perasaan sebenarnya pada Haris. Kata Lisa, tiada apa yang perlu dia segankan. Sebab malu, dia terpaksa menderita di dalam sebuah perkahwinan yang kosong. Seperti yang dijangka, Haris juga menyimpan perasaan yang sama. Namun akibat status Lisa sebagai isteri orang, hajatnya terbatas. “Tak apa. I pun memang merancang nak minta cerai. No point berkahwin kalau kami tak bahagia.” Haris tidak menjanjikan Lisa perkahwinan, tetapi Lisa sendiri memang mencari alasan untuk melepaskan diri dari ikatan yang menyeksakan itu.
 
Dari restoran ke kafe, pertemuan sebegitu mula menjemukan. Lisa yang sudah lama menahan nafsunya, memberanikan diri mengajak Haris bertemunya di apartment milik suaminya yang memang dibiarkan tidak berpenghuni. Haris sudah cukup matang untuk memahami niat sebenar teman wanitanya itu. Malam itu keduanya memadu asmara, menolak ke tepi dosa dan pahala. Keesokan harinya, cerita sama. Maka apartment itu menjadi saksi kepada kecurangan Lisa yang terus menerus melakukan zina walau hakikatnya dia milik lelaki lain.
 
Hampir enam bulan, Lisa dan Haris melakukan hubungan terlarang. Lisa berasakan sudah tiba masanya dia meminta cerai dari suaminya dan memulakan hidup baru. Dia sendiri tidak sanggup lagi hidup dalam penuh kepura-puraan dan bergelumang dosa. Kepulangan Datuk petang itu disambut dengan secangkir kopi di halaman rumah. Datuk hanya menuruti dan tampak bersedia untuk mendengar apa yang mahu diluahkan oleh isteri mudanya. “I’m not happy. You tak boleh bagi apa yang I nak… so, I nak minta cerai. I harap kita boleh selesaikannya secara baik.” Pengakuan Lisa disambut dengan pandangan kosong. Lisa mula rasa tak sedap hati.
 
“You ingat I tak tahu you punya rendevous dengan budak lelaki tu? I hidup dah cukup lama, dah rasa asam garam segalanya. I tak akan ceraikan you. Sebab I tahu, affair you ni sekadar temporary sahaja. After everything is over, you will come back crawling to me. You’ll see. Enjoy it while it last. Hmm… ada apa-apa lagi?” Rupa-rupanya selama ini, Datuk menerima ‘laporan’ daripada pengurus apartment itu sendiri. Lisa mula menjerit memaki hamun suami tuanya itu. Datuk berjalan masuk ke dalam rumah seperti tiada perasaan.
 
Kemarahan Lisa meluap-luap. Malam itu dia tidur di bilik tetamu. Keesokan harinya selepas Datuk keluar ke pejabat, Lisa mulai sibuk berkemas. Kalau Datuk tak mahu menceraikannya, dia nekad mahu lari. Dalam senyap-senyap tanpa pengetahuan pembantu rumah, Lisa mengumpul semua pakaian, beg dan kasut berjenama kesayangannya untuk dimasukkan ke dalam bagasi dan kotak. Dia kutip semua emas berlian serta jam tangan mewah pemberian Datuk untuk dibawa bersama. Segalanya disorokkan dalam walk-in wardrobenya.
 
Selama seminggu Lisa ‘berkemas’. Ini termasuklah memindahkan sejumlah wang dalam akaun peribadinya. Sampai hari yang dinantikan apabila Datuk terpaksa ke luar negara atas urusan kerja, Lisa memanggil lori untuk mengangkut barangannya untuk dipindahkan ke kediaman Haris. Lisa lega dapat keluar dari rumah agam yang kosong itu. Walau apa pun keputusan atau tindakan Datuk selepas ini, Lisa nekad akan mempertahankan haknya. Walau Haris tidak pernah menjanjikannya sebuah perkahwinan, Lisa tetap puas hati apabila dapat melepaskan diri. Sesungguhnya angan-angan Cinderella harapan Lisa mempunyai pengakhiran yang tidak bahagia. Mungkin bahagianya di tempat lain. Tetapi pastinya bukan di sini.
 
Sambil menekan minyak kereta sportnya, meninggalkan kediaman lama, Lisa menaip SMS kepada Datuk memberitahu yang dia baru sahaja keluar dari rumah membawa barang-barangnya dan dia sanggup bertarung di mahkamah syariah agar dia dapat dilepaskan. Semalaman Lisa menanti jawapan balas, namun hampa.
 
Keesokan harinya, cepat-cepat dia mencari peguam untuk membantunya menyelesaikan penceraiannya. Beberapa minggu selepas itu, barulah maklum balas diterima dari pihak suaminya. Datuk memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap Lisa. Ya, permainan sudah bermula. Lisa dengan yakinnya mengugut Datuk yang dia akan memberitahu satu dunia yang Datuk sebenarnya ada masalah mati pucuk. Tapi percaturan Lisa tersasar kerana Datuk orangnya bijak sekali. Dia membuat laporan polis terhadap Lisa yang dituduhnya ‘mencuri’ harta miliknya, dari jam tangan hingga ke kereta sport yang kini sedang dipandu Lisa ke sana-sini. Datuk mengungut Lisa yang dia hanya akan tarik balik dakwaan itu jikalau dia pulang ke rumah and pretend anything ever happened. Tambah Datuk lagi, dia tahu di mana Lisa tinggal dan jangan sampai dia terpaksa membuat laporan kepada pihak yang berkenaan memandangkan Lisa sekarang bersekedudukan dengan teman lelakinya.
 
Pada waktu dan ketika ini, Lisa tiba-tiba menghilangkan diri dan tidak dapat ditemui oleh sesiapa. Akal pendek membuatkan dia cari jalan mudah dan lari. Tapi sampai bila? Lambat-laun masalah ini akan terus menghambatnya. Inilah bayarannya kepada kebahagiaan yang berteraskan kebendaan.

Your email address will not be published. Required fields are marked *