Glam Profil: Yinn Ooi - Glam Malaysia
GLAM Profil, Yinn Ooi 01

Glam Profil: Yinn Ooi

Pengasas jenama Gung Jewellery, Yinn Ooi menukar pemahaman kita fasal industri barang kemas. ‘Emerging Brands’ ini membuktikan dunia barang kemas tidak lagi bercorak tradisional. Bahkan sudah mula meraih profil pelanggan baharu.

pengarang rencana & penata gaya ZUHAIRIE SAHROM arahan seni AMIIRUL ARIFIN penulis ARDI IDEWANI gambar ROBIN YONG/ONE3FOUR STUDIO solekan KF BONG dandanan JUNO KO

Sekembali ke Malaysia, dia tidak mahu bertagak-tagak mengejar impiannya. Sungguhpun ilmu yang dikutip di Melbourne berlainan dengan karier sekarang. Cuma barangkali persamaan di antara apa yang dipelajari sebelum ini dengan apa yang dibina olehnya kini adalah, kedua-duanya ada kaitan dengan kesenian. Daripada lapangan seni bina dalaman kepada dunia barang kemas. Sewaktu bekerja untuk firma seni bina dalaman, Yinn Ooi menajamkan azam untuk mewujudkan jenama barang kemas sendiri.

GLAM Profil, Yinn Ooi 02

YINN MENGAYAKAN KEMEJA POPLIN KAPAS BERLENGANKAN SULAMAN MOTIF GEOMETRI FLORA DIPADANKAN CELANA TAILORED SUEDE ILHAM BRUNELLO CUCINELLI. ANTING-ANTING SERTA BARISAN CINCIN DARI GUNG JEWELLERY.

Semuanya bermula daripada kecintaan Yinn pada barang kemas yang tidak berhujung, yang kemudiannya bersemi menjadi teras perniagaan. Jelasnya, “Saya mahu memiliki barang kemas yang bukan sahaja berkualiti, bahkan yang tahan lama dan tak makan dek zaman. Ia menjentik kotak fikir saya untuk memulakan jenama barang kemas, yakni Gung Jewellery.”

See also
BLACKPINK Sebagai Duta Glamor Label Dunia

Tanpa mengendahkan sama ada ia berhasil atau mengecewakan, tidak ada sesalan dalam diri Yinn sebaik saja hajatnya memunculkan jenama Gung Jewellery sampai. Biarpun rasa gentar itu dia telan sewaktu memulakan Gung Jewellery, namun Yinn berwaspada. Dia faham benar risiko yang harus ditanggung. Dia tahu yang menjalankan perniagaan tidak akan selalunya meneguhkan seribu janji yang membahagiakan. Pasti ada turun naiknya. “Orang memesani dan mengingatkan saya tentang risiko. Saya tahu hal itu. Apalagi menjual barang kemas. Saya fikir lebih baik bermula (bisnes barang kemas) sekarang. Tidak mahu berlengah-lengah. Jika bukan sekarang, bila lagi?” Tegasnya.

Mundar laju ke masa sekarang, sedar tak sedar, jenama Gung Jewellery sudah berusia lima tahun – baru sahaja menyambung ulang tahun kelima Gung Jewellery pada bulan Ogos lepas. Tahun 2017 merupakan tahun bernama buat Yinn. Dia berhenti bekerja di firma seni bina dalaman, menjangkah keluar dari dunia tersebut dan mencari kemanisan dalam dunia barang kemas. “Barang kemas mampu milik dan tidak memerlukan belanja sehingga 50,000 ringgit pun… itulah yang menjadi asas jenama Gung Jewellery. Rangkaian harganya pun bermula daripada RM 120 sehingga RM 300,” jelas Yinn.

SAYA MAHU MENJELMAKAN SIFAT ‘KERABAT DIRAJA’ DALAM JIWA SI PEMAKAI GUNG. MEMBERI KUASA PADA MERAKA. MAKA ITULAH SAYA MEMILIH SLOGAN ‘GUNG IS FOR EVERYONE’, YANG MENCADANGKAN BAHAWA SESIAPA PUN BISA MERASA DIRINYA BAK ‘KERABAT DIRAJA’ — YINN OOI

Gung Jewellery memfokuskan pada sebarisan demi-fine jewellery – menggunakan material keluli tahan karat yang ada di antaranya bersadur emas. Yinn menghidangkan konsep setiap rekaan Gung Jewellery itu cocok benar dengan apa-apa sahaja gaya. Dalam erti kata lain, rekaan-rekaannya versatil. Hanya dengan cara pemakaian yang betul. “It’s all about expressing yourself!” Jelas Yinn tentang aspek gaya Gung Jewellery.

GLAM Profil, Yinn Ooi 03

PENGASAS LABEL AKSESORI GUNG JEWELLERY, YINN OOI MEMAKAI BLAZER BRUNELLO CUCINELLI BERSAMA RANTAI MONOGRAM BAHARU DIGAYAKAN SECARA BERLAPIS.

Sewaktu membangunkan empayar jenamanya ini, Yinn punya sebab mengapa dia memilih nama ‘Gung’. Bila ditanya apakah makna di sebalik nama ‘Gung’, Yinn menerangkan bahawa, “Saya mencedok nama ‘Gung’ daripada bahasa Korea, yang bermaksud ‘istana’. Bila menyebut ‘istana’, gambaran ‘mewah’ akan mengunjungi minda kita. Jadi, saya mahu menerbitkan rasa ‘mewah’ tersebut, sungguhpun harga-harga barang kemas kami tidak terlalu menggunung tinggi.” Yinn mengaitkan lagi istilah ‘istana’ itu dengan aspek ‘royalty’ atau ‘kerabat diraja’. Sambungnya, “Saya mahu menjelmakan sifat ‘kerabat diraja’ dalam jiwa si pemakai Gung. Memberi kuasa pada meraka. Maka itulah saya memilih slogan ‘Gung Is For Everyone’, yang mencadangkan bahawa sesiapa pun bisa merasa dirinya bak ‘kerabat diraja’.”

See also
Azura Abas Sukses Di Usia Muda Menerusi Sains

Baca lanjut dalam GLAM Oktober 2022.

Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Rowan Ooi