Datin Sri Zahida Yusof Hamil Anak Kembar

Datin Sri Zahida Yusof Hamil Anak Kembar

Datin Sri Zahida Yusof
 
Ditemani secangkir teh hangat, rintik hujan dan melodi yang mengalun lembut, saya mula mengarang catatan Wajah GLAM isu Oktober ini. Pada hari penggambaran yang lalu, saya tidak dapat hadir ke studio kerana urusan kerja di luar kota. Justeru, saya tidak dapat bersua muka untuk menembual personaliti jelita ini. Bicara kami hanya lewat e-mel sahaja. Pertama kali dipertemukan dengan wanita ini adalah pada awal tahun yang lalu. Datin Sri Zahida Yusof antara wanita yang dipilih untuk menghiasi laman personaliti buat edisi Mac 2015. When people ask me to describe her in a word? My answer is simple! Jawab saya, “I would say she is glamorous!”
 
Tatkala terserempak di acara-acara fesyen sekitar ibu kota, kami saling menyapa bertanyakan khabar. Namun, pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur yang lalu, langsung tidak nampak akan kelibatnya waima untuk satu acara sekalipun. Hmmm… hairan. Barangkali dia tidak dijemput ataupun Datin Sri Zahida lebih selesa berlibur ke luar negara di samping keluarga tercinta. Kerana sifat ingin tahu yang menebal, soalan terus diajukan pada empunya diri. “Morning sickness!” jawabnya. “I locked myself away in the house. Saya banyakkan berehat demi menjaga kesihatan kandungan. Sekarang Alhamdulillah semuanya baik-baik saja. Oh ya, about KLFW 2015… I update myself by stalking the collections on social media! Haha!” tambahnya lagi.
 
FASHION MUSE Garapan isu yang lalu, mungkin tidak banyak yang dicoretkan. Mengenali dirinya yang begitu merendah diri dan fun, Datin Sri Zahida Yusof atau nama timangan yang juga initialnya Z.Y. (Z disebut Zee) kini sudah menoktahi kerjayanya sebagai pramugari penerbangan MAS. “Setelah hampir 12 tahun bertugas di awan, saya mengambil kata putus untuk berhenti tanggal 31 Ogos yang lalu. Berat hati untuk mengundurkan diri dan sejujurnya tidak pernah terdetik di hati untuk berhenti. Tetapi memandangkan masa yang diluangkan bersama keluarga sungguh terhad, mungkin sudah tiba masanya untuk saya tinggalkan dunia krew kabin ini. Sekarang bergelar suri rumah sepenuh masa, boleh dikatakan peruntukan masa lebih teratur untuk suami dan anak-anak. Insha-Allah jika ada rezeki, saya akan merencana masa hadapan di dalam bidang perniagaan bersama suami.
 
Mungkin usaha sama dalam membuka gimnasium mahupun studio pilates. Itu sudah pasti.”
Dilahirkan di selatan tanah air, Segamat, Johor dia juga membesar di sana. Mengimbas masa kecilnya kata Zahida sebahagian besar hidupnya diluangkan dengan sukan. Melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Sukan Bandar Penawar, di Kota Tinggi Johor, ternyata sukan adalah minatnya tatkala muda remaja. “Saya memang aktif bersukan sehingga ke hari ini. Ia seperti memberi saya kebebasan. Sejak di sekolah rendah lagi saya bergiat dalam acara sukan gimnastik. Saya mewakili sekolah dan bertanding sehingga ke peringkat negeri. Selain itu saya juga menjadi salah seorang pelapis Majlis Sukan Negara. Kini, selain rutin senaman di gim bersama pelatih peribadi, saya juga penyelam skuba yang diiktiraf.”
 
“Tamat belajar saya berkeras untuk tidak menyambung pelajaran ke tahap seterusnya kerana minat yang mendalam untuk menjadi seorang pramugari. Mungkin sudah rezeki saya dan berkat doa ibu bapa saya berjaya melepasi ujian temu duga langsung menjadi krew kabin seawal usia 19 tahun. Tidak semudah yang disangkakan, setiap krew kabin perlu menjalani kursus yang berterusan selama tiga bulan lama. Maka, hampir setiap minggu juga saya akan menduduki peperiksaan. Sepanjang kursus di akademi, saya bersyukur kerana berjaya menempuhi segala macam rintangan juga cabaran. Akhirnya, saya berjaya memperoleh sijil tamat latihan setelah menjalani berbagai-bagai ujian amali mahupun fizikal.”
 
“Proses pembelajaran yang dicedok daripada senior-senior yang banyak membantu saya dalam usaha merealisasikan impian saya. Banyak memori dan kenangan indah terukir selama menyarungkan kebaya hijau sepanjang 12 tahun.
 

See also
Neelofa Tampil Glam Dengan Sentuhan Patrick Ta

[soliloquy id="40942"]

 
Pengalaman dan terbang ke negara asing banyak mengajar lantas membentuk kehidupan saya. Berjumpa dengan berbagai-bagai orang daripada pelbagai bangsa mahupun etnik membuka minda saya. Jangan cerita tentang ragam dan kerenah orang. Apa pun perangai mereka inilah yang membuatkan saya lebih matang. Mungkin ada sesetengah orang menganggap kerjaya ini hanya untuk mereka yang mendambakan pekerjaan glamor. Tidak sama sekali! Pekerjaan ini sudah tentunya mencabar, berkhidmat di langit biru itu sangat mencabar. Keselamatan penumpang adalah keutamaan kami. Tragedi kehilangan pesawat MH370 memberi kesan yang amat dalam kepada kami semua. Kesedihan menyelubungi kami bila memperingati ulang tahun pertama kehilangannya,” tutur Zahida bersungguh-sungguh.
 
“Suami saya YM Lt. Kol Tengku Datuk Sri Kamarulzaman Ibni Al- Marhum Sultan Sir Abu Bakar Al-Haj adalah adinda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah Ibni Al- Marhum Sultan Sir Abu Bakar Al- Haj. Suami merupakan seorang Pegawai Memerintah atau Commanding Officer buat Batalion Pertama Rejimen 505 AW juga chairman di beberapa buah syarikat perniagaan sendiri. Dikurniakan tiga cahaya mata daripada perkahwinannya yang lalu. Pertama kali berjumpa dengan suami adalah ketika di dalam pesawat MAS menuju ke London dari Kuala Lumpur. Waktu itu saya bertugas di kabin kelas pertama dan kebetulan dia juga berada di dalam penerbangan yang sama. Dari situ kami bertukar nombor telefon dan berkawan selama dua tahun. Lamaran menjadi permaisuri hidupnya dilafazkan pada pertengahan tahun lalu di mana kami mengikat janji dan tali pernikahan.”
 
TWINS! “Alhamdulillah dengan adanya team GLAM yang sangat profesional, semuanya berjalan dengan lancar. Biarpun saya mengalami alahan diawal kehamilan, saya percaya ia adalah tanda positif kerana bayi membesar dengan sihat. Pada hari penggambaran usia kandungan saya empat bulan.” Menurut Zahida dia tidak tahu dirinya hamil. “Saya sebenarnya tidak tahu saya hamil sehinggalah usia kandungan mencecah empat minggu.
 
Pada mulanya saya rasa pening dan loya tekak. Suami menyarankan untuk saya berjumpa ginekologi. Memandangkan haid saya sudah lewat, saya bersetuju untuk membuat janji temu. Setelah menjalani ujian darah dan air kencing, doktor mengesahkan kandungan saya sudah empat minggu. Berita baik tidak terhenti di situ sahaja. Apabila kandungan mencapai lapan minggu saya pergi untuk pemeriksaan kali kedua dan macam tidak percaya saya dimaklumkan oleh doktor saya mengandungkan anak kembar. Pada mulanya perasaan bercampur baur dan sudah tentunya syukur kehadrat Ilahi atas limpah rezeki oleh Nya. I suffered from morning sickness for about 13 weeks. It’s all good now and we’re super excited!” ujarnya.
 
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun/Clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam Mokhtar
Penyelaras: Aizat Aidid
Teks: Zuhairie Sahrom
 
*Dipetik dari GLAM edisi Oktober 2015
 
 

See also
4 Bintang Ternama Menyaksikan Pelancaran Constellation Terbaru Omega, Manhattan