Khabar Angin Tersebar, Dua Lipa Hamil Anak Pertama - Glam Malaysia

Khabar Angin Tersebar, Dua Lipa Hamil Anak Pertama

Penyanyi berdarah Albania, Dua Lipa mencetuskan spekulasi minggu lalu apabila memuat naik hantaran di media sosial berserta emoji hati, botol susu, anak patung dan beberapa emoji comel lain.

Dengan pantas dia menukar kapsyen, namun peminat yang sempat membaca mula tertanya adakah Dua Lipa sedang membuat pengumuman kehamilan anak pertamanya.

Dijemput menjadi tetamu di rancangan Jimmy Kimmel Live!, Dua Lipa menghentikan segala spekulasi yang tersebar dengan tawa. “Ini tidak masuk akal. Anda boleh lihat semua emoji di atas. Saya suka gunakan emoji secara rawak, saya letakkan emoji botol susu, malaikat, kilauan. Semuanya rawak. Saya tidak terfikir mengenainya.”

Dia menambah, “Saya muat naik hantaran tersebut kemudian membaca semua komen dan terlihat seseorang menulis, ‘Adakah dia hamil?’. Saya melihat foto, melihat komen, melihat foto dan kembali melihat komen, dan tertanya, ‘Adakah saya kelihatan seperti sedang hamil?’”.

Jelasnya, dia kemudian terbaca sebuah artikel yang mengatakan bahawa dia memuat naik mesej samar mengenai kehamilannya. Waktu itu, barulah dia sedar telah terjerat dengan kapsyen sendiri.

dua-lipa-twitter

“Saya terus padam kapsyen di Instagram, namun tidak cukup bijak untuk padam hantaran di Twitter. Sekadar untuk menjelaskan, saya tidak hamil,” ujarnya.

See also
Kecurangan Adam Levine Terus Terbongkar

Dua Lipa menjalin hubungan cinta dengan model Anwar Hadid, adik kepada Bella dan Gigi Hadid sejak Jun 2019, namun bijak menyembunyikan percintaan mereka daripada pengetahuan umum.

Ketika wawancara bersama Vogue, Dua Lipa berkongsi, “Kita semua mempunyai pengalaman dan kenangan luar biasa. Jika ia sesuatu yang mahu dikongsikan bersama orang lain, tiada masalah.

“Namun pada masa sama, kami juga mahukan privasi – kami hanya tunjukkan apa yang kami mahu anda lihat. Ia ibarat memberi dan menerima, cuba mencari keseimbangan yang tepat dalam keterujaan dan cinta, dan mahu berkongsi dengan orang-orang di sekeliling saya namun dalam masa sama tidak mahu terlalu berkongsi. Saya hanya mahu berasa bahagia dalam perhubungan ini tanpa perlu memikirkan pendapat orang lain.”

Foto: Handout

Baca: Jennifer Lopez Bidas Netizen, “Ini Wajah Sebenar Saya!”