Eva Woon, Figura Di Sebalik Barang Kemas Lokal 'Inari Jewellery' - Glam Malaysia

Eva Woon, Figura Di Sebalik Barang Kemas Lokal ‘Inari Jewellery’

Kenali Eva Woon, figura di sebalik Inari Jewellery yang menggabungkan warisan pertukangan emas, visi minimalis dan ketelitian moden hingga menjadikan jenamanya signifikan terbaharu dalam landskap perhiasan tempatan.

Dalam dunia perhiasan yang sering berlumba memancarkan kilauan, hadir seorang pereka yang memilih jalan lebih senyap namun jauh lebih bermakna. Eva Woon membina identiti kreatifnya melalui kehalusan kerja tangan dan falsafah minimalis yang lembut tetapi tegas. Walaupun latar belakangnya bermula jauh daripada dunia rekaan, perjalanan Eva sudah lama diwarnai disiplin, intelektual dan ketelitian. Berbekalkan ijazah Pengurusan dari London School of Economics (LSE), dia meneroka kerjaya dalam bidang Management Consulting selama lapan tahun, menjelajahi London, Singapura dan Bangkok dalam dunia strategi digital serta inovasi kewangan. Pengalamannya bersama firma global lantas memberi asas kukuh kepada kepekaan estetika dan kemampuan dalam pengurusan yang akhirnya membentuk DNA kreatifnya hari ini.

Titik perubahan terbesar dalam hidup berubah apabila pada tahun 2022, Eva membuat keputusan meninggalkan kerjaya korporat dengan enam angka untuk kembali kepada warisan keluarganya dalam pertukangan emas. Keputusan itu bukan sekadar langkah berani, tetapi sebuah pemulangan kepada sejarah peribadi yang telah lama memanggilnya. Daripada perjalanan itu, lahirlah Inari Jewellery, jenama demi-fine tempatan yang memberi tumpuan pada ketukangan halus, rekaan timeless dan penghasilan dalam kelompok kecil yang penuh estetika. Tidak seperti jenama yang disokong pelaburan besar atau dana keluarga, Inari Jewellery berkembang melalui reinvestment, komuniti dan ketekunan, di mana aura yang menjadikan setiap produknya terasa jujur, dekat dan bernyawa. Dalam masa yang singkat, Inari mula memasuki radar serantau dan secara global, yang mana menjadi bukti bahawa karya yang dibuat dengan hati mampu melangkah jauh.

See also
8 trend Pengantin Cool-Girl 2025

Inari Jewellery Kini Lancar Butik Flagship Pertama Di KLGCC Mall

Setelah sekian lama membina empayar ini dengan penuh ketekunan sejak tahun 2022, kini Inari Jewellery melangkah ke fasa yang lebih matang dengan pelancaran butik flagship pertamanya di KLGCC Mall. Pembukaan ini bukan sekadar pencapaian jenama, tetapi turut menjadi penanda perjalanan Eva sebagai pengasas yang membina segalanya dari titik kosong. Selepas kejayaan pada tahun 2023 melalui kolaborasi serantau dan pameran di Jepun, diikuti penampilan di Minggu Fesyen New York serta pelbagai liputan antarabangsa pada tahun 2024 dan kemasukan ke pasaran di Singapura serta Los Angeles pada 2025, butik ini hadir sebagai simbol legitimasi. Terbukti bahawa jenama Malaysia mampu berdiri setanding dengan kuasa global. Butik flagship ini menjadi ruang kurasi di mana seni pertukangan dan pengalaman pelanggan bersatu dalam satu destinasi yang eksklusif.

Sebagaimana perjalanan Eva, aksesori Inari memancarkan keindahan yang tidak memerlukan keterlaluan untuk menonjol. Setiap rekaan dihasilkan dalam batch kecil, dengan pendekatan artisanal yang mementingkan bentuk organik, tekstur halus dan keanggunan minimalis. Ia tidak hanya mencipta aksesori, tetapi menghadirkan kepingan yang mengiringi pemiliknya dalam tampil memikat. Dengan falsafah reka bentuk yang berakar pada ketulenan, Inari Jewellery berdiri sebagai jenama tempatan yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi kaya dengan cerita tentang keberanian, ketekunan dan keindahan yang berkekalan. Melalui visi Eva Woon, Inari Jewellery menjadi platform yang merayakan ketukangan halus dan identiti moden, sekali gus mengukuhkan tempatnya dalam landskap perhiasan kontemporari terkini untuk diterokai.

See also
Charms, Trend Aksesori Fesyen Sebagai Perhiasan

Artikel berkaitan: Ekslusif GLAM Bersama DeGem Chief Jewellery Designer Vivien Koh

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.