AJL35 Bakal Berlangsung Tanpa Kehadiran Penonton
Selepas Anugerah Grammy memutuskan untuk menganjurkan acara tersebut tanpa kehadiran penonton, kini Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) mengambil tindakan yang sama.
Bakal mencatat sejarah, ini merupakan kali pertama AJL diadakan dalam norma baharu. AJL35 dijadualkan bakal berlangsung pada 7 Februari akan datang mengikut prosedur kerja selamat atau SOP dan langkah keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Bukan itu sahaja, lokasinya juga turut ditukar. “AJL pada tahun ini sangat berbeza. Pertama kali ia akan bersiaran tanpa penonton. Lokasinya juga bukan di Axiata Arena Bukit Jalil. Tapi akan dilangsungkan di Dewan MBSA Shah Alam, Selangor,” kata Penerbit Eksekutif AJL35, Nurul Huda dalam sidang media maya yang berlangsung kelmarin.
Menurutnya, lokasi tersebut cukup sesuai kerana bertepatan dengan kapasiti kru yang terlibat. Untuk acara tahun ini, jumlah tenaga kerja dikurangkan namun akan dijalankan mengikut prosedur yang sangat ketat. Walaupun begitu, acara dijanjikan akan tetap berlangsung dengan meriah.
Ditanya mengenai perkembangan situasi terkini yang mungkin berlaku, Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima/Primeworks Studios mengatakan tidak mahu membuat sebarang spekulasi.
“Sekiranya ada pengumuman terkini mengenai situasi sekarang (Covid-19), kita akan melancarkan pelan B atau C,” ujarnya. Namun dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri petang semalam, hal ini kini menjadi tanda tanya.
Nurul Huda turut menambah, pihak produksi cuba mengelak untuk mengadakan AJL35 secara atas talian sepenuhnya demi menjaga kredibiliti dan prestij penganjurkan anugerah.
AJL35 akan dihoskan oleh tiga pengacara hebat iaitu Shery AlHadad, Awal Ashaari dan Haziq Hussni. Tahun lalu, anugerah ini dimenangi oleh Naim Daniel untuk lagu Sumpah.
Foto: Buzzkini.com