10 Bintang Popular Dari Bollywood Ke Hollywood - Glam Malaysia
10 Bintang Popular Dari Bollywood Ke Hollywood

10 Bintang Popular Dari Bollywood Ke Hollywood

Kejayaan filem berbahasa Telugu, RRR pada musim anugerah Hollywood 2022-2023 meletakkan fokus dunia kepada industri perfileman India atau Bollywood.

Selama beberapa dekad, bintang Bollywood telah menempa nama di Barat dan memecah stereotaip, sekali gus mengembangkan pengaruh India ke pawagam global. Pengaruh mereka juga tidak terhad dalam filem sahaja. Kini ia semakin meluas ke rancangan televisyen, projek penstriman dan pelbagai usaha kreatif.

Kenali 10 artis Bollywood yang berjaya menempa nama di Hollywood

 

1. Alia Bhatt

artis bollywood ke hollywood

Dalam masa 11 tahun sahaja, Alia Bhatt telah menjadi salah seorang aktres tersohor di India, memikat penonton dengan versatiliti dan mutu lakonannya. Dia terkenal menerusi peranan penuh emosi dalam filem seperti Highway (2014), Udta Punjab (2016), Dear Zindagi (2016), Gully Boy (2019), Darlings (2022) dan Gangubai Kathiawadi (2022).

Pada 2021, ibu kepada seorang cahaya mata ini menandatangani kontrak dengan agensi bakat antarabangsa WME. Dua tahun kemudian, dia membuat kemunculan sulung di Hollywood menerusi filem Heart of Stone (2023) di samping Jamie Dornan.

 

2. Irrfan Khan

artis bollywood ke hollywood

Masyhur kerana penghayatan, versatiliti dan pembawakan dirinya di skrin, Irrfan Khan membuat kemunculan sulung antarabangsa menerusi filem The Warrior pada 2001. Dia mendapat pengiktirafan global dalam filem The Namesake (2006) dan mencapai kemasyhuran menerusi filem terkenal Slumdog Millionaire (2008).

Penglibatannya dalam projek berbahasa Inggeris berterusan dengan peranannya dalam filem A Mighty Heart (2007), New York, I Love You (2008) dan Life of Pi (2012). Irrfan mengembangkan kerjaya antarabangsanya dengan penampilan dalam filem Jurassic World (2015), The Amazing Spider-Man (2012) dan The Inferno (2016) di samping Tom Hanks.

See also
Era Solo BlackPink: Ketahui Projek Solo Jennie, Lisa, Rosé dan Jisoo

 

3. Deepika Padukone

artis bollywood ke hollywood

Ratu Bollywood ini menceburi industri lakonan pada 2008 menerusi filem Om Shanti Om di samping Shah Rukh Khan. Pada 2017, dia melangkah ke Hollywood dengan menggalas watak utama dalam XXX: Return of Xander Cage. Filem ini turut dibintangi oleh Vin Diesel, Donnie Yen, Ruby Rose, Tony Jaa, Nina Dobrev, Toni Collette dan Samuel L Jackson.

Walaupun tidak mengumumkan sebarang projek Hollywood terbaru, Deepika kekal sebagai figura terkemuka di acara karpet merah antarabangsa dan menjadi kegemaran jenama global.

 

4. Aishwarya Rai

artis bollywood ke hollywood

Selepas memenangi gelaran Miss World 1994, Aishwarya Rai menjadi aktres kegilaan dalam industri filem India dan terus kekal sebagai bintang tersohor. Menampilkan daya tarikan global, transisinya dari Bollywood ke Hollywood berjalan mudah dan lancar.

Selepas muncul dalam Bride and Prejudice pada 2004, Aishwarya terus mempamerkan versatiliti menerusi wataknya dalam The Mistress of Spices (2005), Provoked (2006), The Last Legion (2007) dan The Pink Panther 2 (2009).

 

5. Anil Kapoor

artis bollywood ke hollywood

Menjadi ikon dalam industri filem Bollywood selama lebih 40 tahun, Anil Kapoor membuat penampilan sulung di Hollywood menerusi Slumdog Millionaire (2008).

Dia kemudiannya ditawarkan peranan dalam musim terakhir siri 24 (2001-2010) dan membintangi Mission: Impossible – Ghost Protocol (2011) di samping Tom Cruise. Meneruskan kerjaya antarabangsanya, Anil muncul dalam episod terakhir siri Rennervations (2023) baru-baru ini.

See also
Punca Aishwarya Rai Menyepi Dari Dunia Perfileman

 

6. Priyanka Chopra

artis bollywood ke hollywood

Terkenal dengan gelaran ‘desi girl’, Priyanka Chopra merupakan antara pelakon Bollywood paling berjaya di Hollywood. Dipuji kerana persembahan luar biasa dalam filem India, dia meneruskan kerjaya di Barat melalui muzik sebelum meraih kemasyhuran untuk peranannya sebagai Alex Parrish dalam siri Quantico (2015-2018).

Di Hollywood, Priyanka membawakan watak antagonis dalam filem Baywatch (2017) seterusnya membintangi A Kid Like Jake (2018) di samping Claire Danes dan Jim Parsons. Setahun kemudian, dia terlibat dalam filem komedi Isnt’t It Romantic dan menyertai barisan pelakon The Matrix Resurrections pada 2021. Projek terbarunya termasuk memainkan watak utama dalam siri Citadel (2023) dan filem Love Again (2023).

 

7. Freida Pinto

Aktres berusia 40 tahun ini mencapai populariti menerusi penampilan sulung dalam Slumdog Millionaire, yang meraihnya pencalonan Bafta. Namanya dengan pantas menjadi sebutan dan dia ditawarkan banyak peluang lakonan antarabangsa. Ini termasuk Immortals (2011), Rise of the Planet of the Apes (2011) dan Desert Dancer (2014).

Kerjaya Freida Pinto meluas ke drama televisyen dengan peranan dalam siri Guerilla (2017) dan The Path (2016-2018). Dia juga membintangi Hillbilly Elegy (2020), Mr Malcolm’s List (2022) dan terbaru, North Star (2023) yang turut dibintangi Scarlett Johansson dan Sienna Miller.

 

8. Amitabh Bachchan

Bintang tersohor Bollywood ini membuat kemunculan sulung di Hollywood menerusi watak usahawan berbangsa Yahudi dalam The Great Gatsby (2013). Lakonannya meraih pujian ramai termasuk pelakon watak utama, Leonardo DiCaprio.

See also
Kenali Davina Karamoy Pelakon Kontroversi Dalam Ipar Adalah Maut

“Dia sangat berbudi bahasa dan mudah untuk bekerjasama. Juga amat berbakat. Dia seorang aktor yang hebat dan saya berbesar hati dapat berlakon bersamanya,” katanya kepada NDTV.

 

9. Shabana Azmi

Dengan aura dan bakat yang tidak boleh dipertikai, Shabana Azmi terus memecah sempadan dan mencipta nama di peringkat global. Penglibatannya dalam projek antarabangsa termasuk Madame Sousatzka (1988), City of Joy (1992), Son of the Pink Panther (1993) dan Fire (1996).

Shabana juga pernah muncul dalam filem It’s a Wonderful Afterlife (2010), Midnight’s Children (2012) dan The Black Prince (2017). Terbaharu dia mempamerkan bakatnya dalam siri Halo (2022) dan What’s Love Got to Do With It? (2022).

 

10. Anupam Kher

Sepanjang 40 tahun penglibatannya sebagai pelakon, veteran terkemuka India ini telah muncul dalam lebih 540 filem. Dia mencipta kejayaan di Hollywood menerusi Bend it Like Beckham (2002) seterusnya Bride and Prejudice (2004).

Anupam Kher terus membintangi pelbagai filem termasuk Silver Linings Playbook (2012), The Big Sick (2017) dan Hotel Mumbai (2018). Dia juga muncul dalam drama bersiri seperti Sense8 (2015-2018) dan New Amsterdam (2018-2023).

 

Baca: Diva Bollywood Yang Mengenakan Bayaran Lebih Tinggi Daripada Pelakon Lelaki