Sarah Burton Menghidupkan Kembali Aura Ikonik Givenchy - Glam Malaysia

Sarah Burton Menghidupkan Kembali Aura Ikonik Givenchy

Sarah Burton membangkitkan semula esen elegan buat Givenchy dengan koleksi debutnya, menyatukan elemen warisan couture dan tenaga feminin moden yang menandakan era baharu.

Kini bawah naungan kreatif Sarah Burton, label Givenchy menjejakkan langkah ke babak baharu yang penuh makna di mana satu era yang meraikan wanita dalam segala bentuk keindahan dan keperibadian mereka. Terkenal dengan sentuhan halus yang menggabungkan seni pertukangan tinggi dan kepekaan emosi, Burton membawa esen couture kembali ke akarnya. Penemuan semula pola asal daripada koleksi debut Hubert de Givenchy tahun 1952 menjadi titik simbolik kepada kesinambungan tradisi dan transformasi. Dari atelier klasik di Avenue George V, Burton menghidupkan semula semangat asal jenama ini yang mendefinisikan bentuk tubuh wanita, lantas mencipta potongan strong silhouette namun lembut. Koleksi debutnya di Givenchy nyata memancar tenaga feminin yang membawa semula struktur maskulin yang selama ini menjadi nadi rumah fesyen Paris ini.

Sarah Burton Menghidupkan Semula Semangat Givenchy

Koleksi sulungnya mempersembahkan siluet yang tegas namun sensual seperti butiran bahu tegak, pinggang berpotongan jam pasir dan eksperimen bebas terhadap bentuk yang berlaku secara organik di studio. Setiap helaian bagaikan dialog antara kekangan dan kebebasan. Gaun renda Chantilly dipotong mikro, kemeja putih klasik menjadi gaun moden, manakala skirt bermaterial kulit dan potongan belakang terdedah mengundang sensualiti dari pandangan wanita sendiri. Ia bukan sebagai objek, tetapi sebagai subjek yang memiliki kuasa terhadap citranya. Di sini, couture bukan lagi sekadar nostalgia, tetapi satu bahasa baharu yang diterjemahkan dengan bahasa Burton sendiri.

See also
Halloween 2017 Disambut Dengan Lebih Meriah Oleh Adele, Nicki Minaj & Ramai Lagi

Arah estetik ini diperluas melalui kempen Givenchy Musim Luruh 2025, di mana Sarah Burton menampilkan hubungan kolaboratif antara pengarah filem Halina Reijn dan model Kaia Gerber yang membintangi sebagai wajah kempen. Dengan lensa fotografer Collier Schorr, imejan yang terhasil bukan sekadar visual fesyen, tetapi pernyataan tentang persahabatan dan kekuatan dalam pandangan wanita. Momen realistik seperti tawa, perbualan serta gerak spontan lantas mencerminkan tenaga kreatif yang bernafas di sebalik setiap helaian. Kempen Givenchy ini merayakan solidariti dan inspirasi yang lahir daripada kerjasama antara wanita.

Dalam pada itu, bagi mengukuhkan semangat ini, Givenchy turut mengumumkan pelakon Zhang Ruonan sebagai duta jenama di China. Dikenali dengan keanggunan semula jadi dan gaya yang tulus, Ruonan mencerminkan visi Burton tentang wanita yang moden, bebas, yakin dan berani dalam menzahirkan dirinya tanpa kepura-puraan. “Saya sangat mengagumi visi Sarah Burton dan tidak sabar meneroka karya yang meraikan semangat wanita bebas dan yakin,” ujarnya. Setiap butiran menandakan fasa baharu Givenchy di bawah kepimpinan Sarah Burton, rumah fesyen legenda yang tidak sekadar meneruskan warisan Hubert de Givenchy, tetapi menulis semula perjalanannya ke dalam bahasa yang lebih indah dan tersendiri.

See also
Marc Jacobs Beauty Menampilkan Kecantikan Anak Cindy Crawford

Artikel berkaitan: Voyou Givenchy Musim Luruh-Sejuk 2024 Serlah Gaya ‘Bad Boy’ & Feminin

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.