‘Rebirth’ RR By Rizman Ruzaini Menyapa Dunia Di Pentas KLFW 2025
RR by Rizman Ruzaini mementaskan koleksi ‘Rebirth: Vol.1 – Gratitude’ di pertunjukan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 sebagai permulaan langkah memperluaskan horizon labelnya.
KL Fashion Week 2025 menjadi pentas bermakna buat RR by Rizman Ruzaini apabila jenama ini mempersembahkan koleksi ‘Rebirth: Vol.1 – Gratitude’ sebagai simbol yang meraikan ulang tahun ke-20 mereka. Terinspirasi daripada bunga teratai yang menjadi lambang ketenangan, ketabahan serta keanggunan menjejaki di dalam industri fesyen, koleksi ini tidak sekadar memaparkan helaian Musim Luruh/Sejuk, tetapi menjadi manifestasi penghargaan terhadap perjalanan dua dekad mereka dalam dunia fesyen. Ia menggabungkan kenangan lampau dengan semangat baharu, lantas menandakan langkah berani label ini menuju ke era affordable luxury.

#KLFW 2025: Koleksi Rebirth RR By Rizman Ruzaini Membawa Aura GLAM Fesyen Tempatan Ke Pentas Serantau
Siluet koleksi hadir dengan potongan bersih dan rekaan berstruktur namun tetap disuntik sisi lembut, mencerminkan nada anggun yang praktikal untuk kehidupan moden. Menariknya, material denim diperkenalkan lalu diolah dalam rona deep navy yang tampak mewah dengan tambahan tekstur yang memancar karakter pada helaian. Warna asas hitam, putih dan rona krim juga diserikan dengan sentuhan metalik perak serta emas, mewujudkan kilauan halus yang menangkap pergerakan. Monogram RR disisipkan secara bijak, sama ada sebagai motif halus atau elemen grafik, nyata memberi perincian yang penuh gaya yang menginjek identiti Rizman Ruzaini.

Lebih daripada sekadar koleksi, ‘Rebirth: Vol.1 – Gratitude’ melambangkan reposisi jenama ini setanding dengan barisan jenama antarabangsa. Ia ditujukan kepada generasi baharu pengguna fesyen di Asia Tenggara yang mendambakan rekaan bermakna, mewah serta anggun dari segi estetika dan kualitinya namun tetap mudah diakses. Pentas peragaan di KL Fashion Week 2025 menjadi tempat yang meraikan sejarah, malah mengisyaratkan masa depan yang aspiratif, cerdas dan relevan. Terbukti, Rizman Ruzaini juga bijak dalam bidang perniagaan fesyen, sebagai label tempatan yang hebat dalam mengembangkan sayapnya ke peringkat lebih tinggi.

Pentas peragaannya di KLFW 2025 turut dihadiri oleh ramai tetamu A-listed seperti penyanyi popular Ziana Zain, Anuar Zain, Dato Syafinaz Selamat, Sarimah Ibrahim, Hael Husaini serta para pelanggan ternama yang hadir memberi sokongan. Koleksi ini hanyalah permulaan kerana ‘Rebirth’ akan terus berkembang dengan koleksi ‘Vol.2 – A New Home’ yang bakal dijadualkan membuat debut di Jakarta Fashion Week November akan datang. Ia menandakan babak seterusnya perjalanan RR dalam mengukuhkan identiti fesyen tanah air ke persada dunia yang cukup membanggakan.

Artikel berkaitan: Butik Pertama RR By Rizman Ruzaini Kini Di Pavilion KL
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

