Himpunan Tas Tangan Untuk Dimiliki Pilihan GLAM - Glam Malaysia

Himpunan Tas Tangan Untuk Dimiliki Pilihan GLAM

GLAM kongsikan deretan pilihan tas tangan untuk diterokai, tas tangan yang bukan sekadar gaya tetapi manifestasi personaliti yang kekal relevan sepanjang zaman.

Dalam dunia fesyen, tas tangan bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi simbol status, cita rasa dan personaliti buat pemiliknya. Ia menjadi teman baik buat penata gaya tambahan buat sesuatu penampilan. Dalam dunia moden yang penuh pilihan, deretan tas tangan ini wajar berada dalam radar setiap wanita GLAM. Dari ikon yang dilahirkan semula hingga ciptaan baharu yang memancar pesona stylish, berikut adalah senarai pilihan tas tangan terkini dan mengapa ia penting untuk dimiliki.

GLAM Pilih 5 Tas Tangan Musim Kini Untuk Diterokai

1. Chanel 25

Chanel 25 adalah item fesyen mesti miliki buat penggemar setia label mewah Chanel. Diperkenalkan sempena tahun 2025, rekaannya menggabungkan elemen bucket dan tote, memberi ruang luas yang praktikal tetapi tetap chic. Rantai chunky menambah sisi kontemporari, manakala pilihan variasi material seperti kulit calfskin berkilat, matte dan juga canvas, menjadi tas tangan yang versatil mengikut cita rasa yang tersendiri. Ia adalah tas tangan musim terkini buat wanita moden yang mahukan pratikaliti tanpa mengorbankan nuansa elegan.

See also
Bottega Veneta Perkenalkan Material Baharu Silky Calf Leather

2. Fendi Spy Bag

Para IT-Girls pastinya akan menggilakan Fendi Spy Bag, sebuah beg tangan klasik yang kembali dalam nafas baharu. Pertama kali dilancarkan pada 2005, beg bahu ini kini hadir dengan kemasan kulit mewah, poket tersembunyi dan pemegang berpintal yang ikonik. Spy Bag membawa elemen nostalgia era tahun 2000, namun memancarkan aura glamor yang tidak pernah pudar.

3. Louis Vuitton Express Bag

Item fesyen seterusnya untuk diterokai adalah beg tangan Louis Vuitton Express dari koleksi Musim Luruh 2025. Sinonim dengan semangat pengembaraan, beg Express ini meneruskan warisan ikonik Louis Vuitton yang lahir daripada dunia kembara. Direka oleh Nicolas Ghesquière, ia menghidupkan kembali beg Speedy era 1930-an yang kini direimaginasi dengan penuh gaya. Lebih daripada sekadar aksesori, beg Express adalah beg tangan wanita yang nyata sofistikated, feminin dan cukup kontemporari.

4. Dior Toujours Bag

Tidak dapat dinafikan bahawa Dior Toujours adalah tas tangan yang melambangkan keabadian gaya. Versi menegak terbaharunya tampil dengan charm ‘CD’ yang ikonik, menjadikannya aksesori yang segar tetapi tetap berakar pada warisan Dior. Bagi mereka yang mahu keseimbangan antara tradisi dan kontemporari, Dior Toujours adalah lambang cita rasa halus yang tidak lapuk dek zaman.

See also
Ini 7 Tas Tangan Lokal Pilihan 'Fashion Lover' Hari Ini!

5. Bottega Veneta Campana Bag

GLAM turut memilih Bottega Veneta Campana sebagai tas tangan musim terkini yang mesti miliki dalam gerobok penggemar fesyen. Bottega Veneta Campana adalah beg bahu untuk mereka yang menyukai minimalism dan kemewahan yang bersahaja. Reka anyaman intrecciato nappa lembut yang memadu ketukangan tinggi, digandingkan dengan siluet besar dan ruang dalaman yang luas. Campana adalah pilihan ideal bagi wanita yang mengutamakan kualiti kraf tangan dengan gaya timeless yang menyuntik esen minimalis.

6.Fauré Le Page Daily Battle 35 Zip

Tas ikonik Daily Battle dari Fauré Le Page memadukan kraf tangan halus dengan sentuhan warisan Maison. Untuk edisi Cloud 7 musim luruh ini, motif sisik diolah semula pada kanvas kelabu dan merah jambu, membangkitkan langit Paris saat fajar. Dihiasi kulit anak lembu berbutir halus, Daily Battle Zip 35 hadir dengan ruang dalaman luas, lengkap poket berzip dan tampalan berkembar. Pemegang dwitone yang boleh dilaras memberi pilihan gaya tangan atau bahu. Disempurnakan dengan cartridge-holder ikonik, tas ini menjadi simbol yang nyata praktikaliti, penuh elegan serta romantis.

See also
Trending: Aksesori Terhangat Minggu Fesyen Seoul

7. Gucci Vanity

Gucci Vanity tampil sebagai tas tangan pilihan GLAM yang menyuntik nada keanggunan klasik dengan sentuhan moden, lantas menterjemah estetika beauty case tradisional ke dalam siluet padat dan berstruktur lembut. Dilengkapi pemegang pendek yang cukup chic, rekaannya menggemakan semula warisan travel awal rumah fesyen Gucci. Ia menjadikannya aksesori yang sempurna untuk gaya sofistikated yang ringan namun memikat.

Artikel berkaitan: Spotted! Tas Tangan Mewah Pilihan Wanita Berpengaruh

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.