Gaun Perkahwinan Selebriti Paling Diingati Pada 2023 - Glam Malaysia
Gaun Perkahwinan Selebriti Paling Diingati Pada 2023

Gaun Perkahwinan Selebriti Paling Diingati Pada 2023

Gaun perkahwinan artis tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat dari seluruh dunia.

Tahun 2023 menyaksikan barisan bintang popular Hollywood menjejakkan kaki di pelamin dan bergelar ‘ratu sehari’. Sekali gus, kita disajikan dengan pelbagai gaun pengantin menarik daripada jenama terkenal dunia.

Glam senaraikan gaun selebriti paling memukau sepanjang 2023

 

Sofia Richie

Salah satu perkahwinan yang paling menjadi bualan tahun lalu adalah antara Sofia Richie dan Elliot Grainge. Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri di Antibes pada bulan April. Sofia Richie menyarung tiga gaun menawan rekaan Chanel yang ditempah khas. Busana utamanya iaitu gaun renda berperincian dengan potongan leher bersilang diinspirasikan daripada koleksi Musim Bunga/Panas 2023.

 

Barbara Palvin

Model Hungary ini mengahwini aktor Dylan Sprouse di kampung halamannya dalam persalinan timeless Vivienne Westwood yang dipadankan dengan coker berlian Tiffany & Co dan sarung tangan opera putih. Mengikut tradisi Hungary, pengantin perempuan perlu memakai busana merah pada tengah malam. Gaun mini daripada Philosophy di Lorenzo Serafini menjadi pilihannya.

 

Michelle Yeoh

Selepas membawa pulang trofi Oscar, aktres kelahiran Ipoh, Perak ini meneruskan tahun keraiannya dengan mengahwini tunangnya selama 19 tahun, Jean Todt. Michelle Yeoh menyarung busana ‘Face of Happiness’ rona emas rekaan Schiaparelli. Ia menampilkan gaun renda bersama korset berperincian wajah lengkap dengan mata, hidung dan mulut.

 

Naomi Watts

Aktres ini berkahwin dengan aktor Billy Crudup dalam satu majis tertutup di dewan acara. Naomi Watts menyarung gaun ‘Sweetheart Water Lilly Guipure’ daripada Oscar de la Renta yang menampilkan siluet timeless, korset dan skirt renda.

 

Vanessa Hudgens

Bintang kacukan Inggeris-Filipina ini dan pemain besbol Cole Tucker menutup tirai 2023 dengan majlis perkahwinan di hutan Mexico. Vanessa Hudgens tampil anggun dalam slip dress dengan potongan leher kaul dan vel tulle dramatik rekaan Vera Wang.

 

Baca: 10 Gaun Perkahwinan Diraja Unik Dari Seluruh Dunia