Retorik: Hipokrasi Antara Peminat & Selebriti

Retorik: Hipokrasi Antara Peminat & Selebriti

Rihanna Dior_Gambar: TPGVIP

 
Oleh: Faizal Harun Nasution
 
Lebih sedekad menuai dalam bidang penulisan khasnya hiburan, manakala secara am untuk gaya hidup dan fesyen, saya akui, masih belum sepenuhnya menjejak, apatah lagi memburu kepuasan. Selagi bumi ini masih berputar pada paksinya, selagi itulah tidak terhenti cerita. Ada saja peristiwa, pengalaman atau pengajaran yang ditimba.
 
Ya, industri seni juga tidak sunyi dengan kisah dan teladannya. Malah lebih rancak selari dengan pembangunan arus teknologi media terkini. Rahsia amat sukar disembunyikan. Semua kini boleh bergelar ‘mata-mata’ dan tidak kurang juga ada yang ghairah bermedia sosial, akhirnya menelanjang khilaf sendiri tanpa sedar.
 
Sama ada cerita baik, atau cerita buruk… dalam gelanggang seni lakon atau muzik, ia masih punya nilai publisiti. Gelanggang seni negara Barat misalnya merancang permainan politik publisiti demi kelangsungan masa depan industri khasnya memastikan nama-nama bintang mereka terus menjadi sebutan.
 
Hmm… gelanggang seni tempatan juga tidak ketinggalan melaksanakan perkara yang sama cuma ada kalanya nampak kurang bijak, atau mungkin tidak sesuai dengan budaya masyarakat kita yang baru terkial-kial mahu menerima makna sifat terbuka.
 
Alangkah bertuahnya jika bintang itu tersedia dengan pakej lengkap. Berbakat, bijak dan ada rupa. Kita punya semua itu tetapi boleh dibilang dengan jari. Dan ada masa-masanya kita kehausan, ketandusan wira dan wirawati seni untuk terus berjuang dalam gelanggang seni. Jauh sekali untuk menyambung warisan kegemilangannya.
 
Jika ada pun, hanya separuh jalan. Fasa pertama lengkap dengan semangat padu, jiwa perkasa oleh mantera keinginan menuntut ilmu yang tinggi. Terbit saja pujian laksana seteru… yang akhirnya leka lagi menghanyutkan. Enggan dianggap tidak lagi relevan, cara paling mudah lagi efisyen ialah dengan permainan kontroversi.
 
Formula gosip, telagah, fitnah, kisah cinta, skandal atau apa saja punya harga di mata masyarakat. Hanya ini satu-satunya senjata ampuh memburu atau meraih perhatian ramai. Hanya berbekalkan satu kontroversi, nama segelintir selebriti yang hampir terlupakan serta-merta segar kembali. Malah, boleh sebaris popular atau glamor dengan selebriti-selebriti baru yang sedang mula mencipta nama.
 
Pendapat selebriti idola masyarakat masih tepat walau tidak sepenuhnya. Formula kejayaan, usaha gigih atau aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh mereka selayaknya dicontohi. Tetapi tidak sesekali ragam peribadi yang hanya menghancurkan diri. Soal peribadi hanyalah sekadar rencah dalam memberi rasa atau warna pada gelanggang seni. Tetapi, soal enteng inilah yang pantas menacap minda masyarakat kita tanpa sedar, ia juga menjadi amalan biasa umum.
 
Jadi, usah mengomel kalau gelanggang dunia seni kita lebih gah kisah remeh berbanding riwayat pencapaian. Agak aneh jika kita yang mendorong, maka kita pula yang meradang. Umum tidak sedar bahawa senario yang terjadi ini adalah angkara tabiat anda sendiri. Kita kecanduan kisah-kisah kontroversi, sensasi dan secara logiknya, tiada yang positif tentang kedua-dua kategori tersebut. Kisah panas selalunya berkaitan hal-hal negatif. Dan hal-hal inilah yang membuatkan kita menjadi masyarakat peka luar biasa. Lebih menakutkan lagi, bila masyarakat sudah mula berperanan seperti Tuhan, sibuk menyukat pahala atau dosa sesama insan.
 
Kita yang kecoh nampak kelibat selebriti dalam kelab malam, sibuk bercerita, ambil foto dan upload dalam Facebook atau Instagram sambil mempertikaikan moral mereka, mengapa tidak cermin diri sendiri? Sedangkan, yang kecoh dan bercerita itu juga ada di tempat yang sama. Jadi, siapa pula kita layak dan mahu mempertikai moral orang lain? Lucu bukan?
 
Soal menjaga moral adalah soal masing-masing. Cuma bezanya selebriti itu hanya kedudukannya dalam masyarakat. Glamor dan popular. Maka, semua orang kenal dan apa jua yang dilakukan mendapat perhatian masyarakat. Selebriti dianggap tidak boleh berdosa. Mesti baik belaka demi menjaga hati perminat dan masyarakat. Ada selebriti yang akur sepenuhnya dengan kehendak peminat atau masyarakat demi mempertahankan periuk nasi dan reputasi. Sedangkan lumrah hidup manusia biasa, tersilap atau terlepas laku itu memang fitrah kita. Terkawal oleh mata masyarakat, sifat hipokrit pula bermaharajalela. Kita hanya tahu bercerita, mengulas kisahnya tanpa tahu pincangnya nilai seni angkara kerenah sendiri. Jadi, bila terbuka pekung, yang dipuja-puja jadi bahan cerca. Akhirnya siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka.
 
Faizal Harun Nasution berpengalaman bekerja dalam bidang penulisan selama 13 tahun. Pernah berkhidmat sebagai penulis kanan majalah EH! dan menjadi Ketua Pengarang bagi majalah online ENF, kini Faizal mula berjinak dalam bidang reka gaya secara sambilan.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Disember 2013
 
 

See also
Datin X: Pura-Pura Mesra Rakyat