Segalanya Tentang Pentas Pertunjukan Prada SS26 - Glam Malaysia

Segalanya Tentang Pentas Pertunjukan Prada SS26

Miucci Prada dan Raf Simons mempersembahkan koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2026 Prada yang mengangkat tema ‘Body of Composition’, menyuntik keseimbangan antara sofistikasi dan kebebasan gaya.

Tiada yang mampu menandingi keterujaan apabila tirai pertunjukan Prada dibuka. Bukan sekadar antara jenama utama yang dinantikan dalam kalendar Minggu Fesyen Milan, Prada turut dikenali sebagai salah satu label mewah paling berpengaruh, berjaya serta cukup berkuasa di persada dunia. Namun, di sebalik kemewahan itu, label ini tetap menjadi rujukan wanita bergaya yang kini tampil dengan koleksi seragam harian penuh sofistikasi. Setiap koleksi baharu tampil sebagai ramalan gaya yang bakal mendominasi musim mendatang, dan koleksi Musim Bunga Panas 2026 tidak terkecuali.

Prada SS26: ‘Body of Composition’ Yang Dihidupkan Oleh Miucci Prada & Raf Simons

Mengambil inspirasi daripada tema ‘Body of Composition’, Miuccia Prada dan Raf Simons menyulam naratif tentang penyebaran dan penyatuan semula elemen berbeza yang dipadankan di atas tubuh. Ia hadir sebagai tindak balas terhadap ledakan budaya kontemporari, ditapis menjadi himpunan busana yang praktikal namun tetap anggun, ringan dan penuh kebebasan. Di pentas berlantai jingga di pinggir Milan, para tetamu termasuk duta global KARINA, kumpulan ENHYPEN, Toey Jarinporn, Khunpol dan Phutatchai dari kumpulan popular, BUS serta Sadie Sink menyaksikan sendiri momen magis himpunan koleksi terkini Prada dipersembahkan.

See also
Sea Beyond

Musim ini, antara elemen sorotan pada busana koleksi menyatukan utilitarian dengan sentuhan glamor elegan. Mini dress sutera dilapisi skirt gelembung kontras, jumpsut utiliti diangkat dengan fabrik mewah serta butiran sarung tangan opera, jaket kulit tampil feminin dalam rona hijau dan merah jambu. Manakala, overshirt maskulin dipadankan dengan seluar satin cerah yang tampak kontras namun masuk akal. Blazer dalam rona kelabu turut digayakan dengan bra lembut senada, mewujudkan keseimbangan antara tegas dan sensual. Dalam pada itu, skirt bermaterial taffeta berstruktur mengembang dengan suntikan warna terang hingga ke rekaan busana ringkas, setiap helaian menyerlahkan kepelbagaian tekstur dan tona. Eksperimen ini menghasilkan tafsiran segar dan mewah ala Prada buat koleksi yang ditampilkan.

Dari sudut aksesori pula, ia melengkapkan keseluruhan naratif dengan keunggulan tersendiri. Tas kulit berstruktur dalam rona hitam diramal bakal menjadi beg ikonik baharu dan kaca mata dengan butiran perhiasan lantas memberi percikan elemen zoom in untuk orang mendekati. Kasut tumit dihias tassel berkilau tampil dengan kejutan, sementara kantung sutera menyerupai dust bag hadir sebagai pelaburan tahap permulaan yang menarik perhatian. Prada SS26 pada akhirnya adalah simfoni keseimbangan, sebuah persembahan tindak balas terhadap beban budaya kontemporari seolah proses penyulingan, penapisan melalui pakaian. 

See also
Fesyen Selebriti Di Karpet Kuning Tayangan Argylle

Artikel berkaitan: Beg Prada Dada Bentuk Gaya Sofistikated Wanita Moden Musim Kini

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.