Raja Charles III Disahkan Menghidap Kanser - Glam Malaysia
Raja Charles III Disahkan Menghidap Kanser

Raja Charles III Disahkan Menghidap Kanser

Baru 18 bulan menaiki takhta, Raja Charles III diumumkan menghidap barah kelima penyebab kematian lelaki, kanser prostat.

Diagnosis itu didedahkan kepada umum seminggu selepas Raja Charles keluar dari hospital susulan pembedahan prostatnya yang semakin membesar. Bagaimanapun tiada butiran lanjut didedahkan mengenai tahap kansernya.

Disebabkan itu baginda terpaksa menangguhkan segala urusan rasmi untuk menjalani rawatan sewajarnya. Rawatan pertama sebagai pesakit luar telah pun dimulakan di bawah pengawasan pasukan doktor pakar.

Menurut kenyataan Istana Buckingham, baginda kekal positif dan tidak sabar mahu kembali melaksanakan tugas Diraja seperti biasa secepat mungkin.

Raja Charles III kanser prostat

Foto: Getty Images

Raja Charles III Beri Kesedaran Tentang Kanser Prostat

Walaupun kebanyakan kerabat Diraja memilih untuk mengunci mulut tentang masalah kesihatan kerana mahu menjaga privasi, Raja Charles bertindak sebaliknya.

Baginda terbuka bercakap mengenainya untuk menyebarkan kesedaran tentang kanser berbahaya ini kepada orang awam.

“Baginda memilih untuk berkongsi diagnosis bagi mengelakkan spekulasi orang ramai.

“Juga dengan harapan ia membantu pemahaman umum tentang mereka di seluruh pelosok dunia yang terjejas dek kanser,” menurut kenyataan Istana Buckingham.

See also
5 Petua Kecantikan & Kesihatan Kerabat Diraja

Berita duka ini mendapat perhatian daripada pemimpin dunia yang menyatakan harapan mereka untuk melihat Raja Charles kembali pulih seperti sedia kala. Putera Harry yang kini menetap di Amerika Syarikat juga dilaporkan telah pulang ke United Kingdom untuk berada di sisi bapanya.

Ini bukanlah diagnos kanser pertama di kalangan kerabat Diraja Britain. Dilaporkan ibu baginda, Ratu Elizabeth II bukanlah mangkat akibat sakit tua seperti dalam rekod rasmi. Ratu disahkan menghidap sejenis kanser tulang sumsum, multiple myeloma pada tahun-tahun terakhir hidupnya, yang membawa kepada kemangkatannya.

 

Foto: Getty Images

Baca: Jalani Dua Biopsi, Kanser Hugh Jackman Menyerang Kembali?