Amanda Nell Eu: The Future is Female
amanda nell eu

Amanda Nell Eu: The Future Is Female

KEMENANGAN DI CANNES ADALAH NYALAAN SEMANGATNYA. KINI, AMANDA NELL EU MENJANGKAH LUAS LANGKAH, MEMPERJUANGKAN APA YANG DICINTAINYA DAN MENGURAI SENTIMEN BAHAWA SUTRADARA WANITA MAMPU BERMAHARAJALELA DALAM DUNIA SINEMA SERAM.

pengarah kreatif AIZAT AIDID pengarang fesyen JOHAN KASIM pengarah seni AMIRUL ARIFIN dibantu oleh HILMAN HISHAM gambar CHUAN LOOI/YIPEYAYA STUDIO solekan SAHIR SABRI dandanan JUNO KO teks ARDI IDEWANI busana & aksesori CHANEL

Bak kata pepatah, hempas tulang berisi perut. Memakan tempoh lima ke enam tahun, ‘menelan’ segala perih dan meredah kegalauan, yang akhirnya membawa berita gembira. Syukur, kerana apa yang dilalui sebelum ini bukanlah satu titik penghabisan. Sebaliknya ia adalah permulaan. Mungkin selepas ini ada lagi satu permulaan baharu?

“Sebelum ini, demi kelangsungan hidup, saya bekerja sebagai pensyarah separuh masa dan pada masa yang sama saya juga menghasilkan cereka-cereka pendek bebas. Jadi, bila muncul peluang untuk menghasilkan karya filem cetera sendiri, saya rembat,” jelas pengarah filem ‘Tiger Stripes’ yakni Amanda Nell Eu, membuka bicaranya. Mendepani gandalan yang merintangi perjalanan sepanjang menghasilkan projek filem cetera –terutamanya pada tiga tahun yang lalu – adalah cabaran terbesar Amanda. Amanda tidak membiarkan ia menunda impiannya. Ketetapan hati ‘menolak’ dirinya untuk teruskan sahaja.

Turun naik, ke hulu ke hilir untuk menawan pelabur, mencari sebarisan pelakon yang cocok dengan filem, mengolah skrip dan penggambaran tertangguh seketika dek sekatan pergerakan (kerana pandemik). Namun, semua itu dia tidak anggap sebagai enigma yang menyeret ke lurah penyesalan. Rasa sabarnya menggunung tinggi dan dia memperkasakan minda. “Kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam fasal menghasilkan filem cetera pada awalnya. Saya dengan rakan niaga fikir, cara terbaik adalah untuk tidak terlalah dalam mengerjakan projek ini,” jelas Amanda.

Lalu terhasillah sebuah filem cetera pertamanya. Berjudul ‘Tiger Stripes’. Filem cetera genre seram yang memusatkan audiens pada jalan cerita tentang transformasi seorang kanak- kanak perempuan. “Saya menggambarkan ‘Tiger Stripes’ sebagai coming of age-body horror meets feminism,” ucap Amanda padu. Menjadi satu kebanggaan apabila filem cetera pertamanya diiktiraf di Festival Filem Cannes, sekaligus dia membawa pulang hadiah utama!

Baca Lanjut dalam GLAM September 2023

Artikel Berkaitan: Most GLAM 2023: The Fashion Superstars!