Nicol David, Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
Tahun 2021 ternyata mendatangkan tuah buat bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicole Ann David apabila dinobat sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman.
Berita itu diumumkan di Twitter rasmi The World Games. Mendapat undian sebanyak 318,943, Nicol mengetepikan lagenda tarik tali dari Ireland, James Kehoe yang mendapat sebanyak 113,120 undian. Atlet angkat berat dari Ukraine, Larysa Soloviova terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan 80,790 undian.
Menerusi undian yang dilakukan secara atas talian, Nicol bersaing dengan 23 calon lain yang mewakili bidang sukan masing-masing dari serata dunia. Namun, bintang kelahiran Pulau Pinang ini berjaya membuktikan dia berada di kelas tersendiri.
Anugerah ini dianjurkan oleh International World Games Association (IWGA) sempena ulang tahun sukan dunia ke-40. Tujuannya untuk memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.
Kejayaan Nicol mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melahirkan rasa gembira. Katanya, penghargaan itu adalah bukti kepada sumbangan dan pencapaiannya mengekalkan kedudukan nombor satu untuk 109 bulan berturut-turut yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Di samping komuniti sukan terutama peminat skuasy profesional di negara ini, saya berbangga dengan pencapaian bekas ratu skuasy negara kita, Datuk Nicol Ann David kerana dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Masa Sukan Dunia semalam.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada atlet-atlet negara untuk terus berusaha serta mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.
Selama sembilan tahun, Nicol telah mengharumkan nama negara dengan memegang takhta pemain nombor satu dunia sebanyak lapan kali. Dia memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.
Foto: Prestigeonline