Simptom Kemurungan Selepas Bersalin

GLAM Junior

Simptom Kemurungan Selepas Bersalin

123

Frustrated Mother Suffering From Post Natal Depression

Gambar: INGimage

 
Masalah kemurungan selepas bersalin mempengaruhi satu ada dua wanita dalam setiap 1000 kelahiran. Ia tidak berlaku kepada setiap wanita namun ia boleh berlaku kepada seseorang ibu yang bersalin kali kedua atau seterusnya walaupun tidak mengalaminya sebelum ini. Risiko menghadapi kondisi ini bergantung kepada daya ketahanan mental seseorang dan emosinya selepas melahirkan anak.
 
Apakah kemurungan selepas bersalin?
Kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression adalah perasaan sedih yang melampau, mudah penat secara mental mahupun fizikal atau cepat marah atas perkara kecil. Ini sering terjadi pada ibu yang baru melahirkan anak. Disebabkan kemurungan yang melampau ini, anda mungkin mengalami kesukaran dari segi emosi untuk menjaga dan mengasihi anak dengan baik. Ia boleh berlaku beberapa hari selepas melahirkan anak dan berlanjutan sehingga dua minggu atau lebih.
 
Kemurungan postpartum ini boleh disebabkan beberapa perkara. Antaranya termasuk perubahan hormon yang mendadak dalam badan selepas melahirkan serta tekanan dalam kehidupan seharian, terutamanya jika anda tidak mendapat sokongan atau pertolongan dalam menjaga bayi daripada suami atau kaum keluarga. Malahan, faktor sokongan dari keluarga berkait rapat dengan kehadiran kondisi ini kerana ia bergantung kepada tahap kekuatan mental si ibu. Bagi mereka yang redha dengan apa jua masalah yang mungkin timbul selepas kelahiran bayi, contohnya masalah bayi tidak tidur malam atau masalah sukar menyusu, lebih mudah mengelak daripada rasa kemurungan kerana menganggap ia perkara biasa yang dilalui semua ibu.
 
Tanda-tanda Kemurungan Postpartum
Perhatikan jika ada ahli keluarga yang baru bersalin atau anda sendiri mengalami simptom-simptom kemurungan selepas bersalin seperti berikut:

  • Perasaan sedih atau putus asa yang melampau dan tidak berasas
  • Badan berasa terlalu penat atau lesu
  • Sama ada kurang selera makan, atau asyik lapar dan selera makan tidak terkawal
  • Tidak boleh menumpukan perhatian dalam melakukan kerja
  • Menangis tanpa sebab
  • Insomnia
  • Rasa benci atau marah terhadap suami atau ahli keluarga walau atas perkara remeh
  • Berasa benci atau menyampah kepada anak, mungkin sehingga tidak dapat menyusukan anak
  • Merasa negatif terhadap diri sendiri atau anak.
  • Bagi yang mempunyai simptom lebih serius, wanita tersebut mungkin mengalami kondisi psikosis.
  • postpartum, di mana mungkin pernah terlintas perasaan mahu membunuh diri atau anak, mendengar suara ghaib atau mengalami halusinasi atau delusi. Untuk kes sebegini, si ibu perlu dapatkan rawatan doktor pakar secepat mungkin sebelum dia membahayakan diri sendiri atau anaknya.

 
Menangani Masalah Kemurungan
Bagi menangani masalah kemurungan selepas bersalin dan membantu perasaan anda pulih agar dapat terus menjaga anak dengan baik, kerjasama daripada suami dan ahli keluarga sangat penting. Mereka perlu faham bahawa anda masih belum sihat sepenuhnya dari segi zahir dan batin selepas bertarung di wad bersalin melahirkan seorang manusia ke dunia dan memerlukan bantuan dalam pelbagai perkara.
 
Di samping itu, anda sendiri perlu akui yang diri ini belum mampu kembali melakukan segala macam kerja seperti sebelum bersalin atau mengandung. Untuk mengembalikan tenaga, penting untuk makan makanan berkhasiat dan minum air dengan banyak. Perlu juga berehat dengan cukup dan apabila sudah kembali bertenaga, luangkan masa untuk bersenam setiap hari untuk meningkatkan stamina badan sambil manghasilkan hormon endorfin dan serotonin yang mampu membuatkan anda rasa lebih ceria.
 
Bagi sesetengah ibu, mereka melepaskan perkara-perkara lain semata-mata untuk menjaga anak. Namun, jika anda berasa kecewa atau tertekan kerana tidak dapat melakukan aktiviti kegemaran anda dengan hadirnya bayi kecil ini, lebih baik anda cuba mencari jalan untuk melakukannya agar tidak memendam rasa kepada anak kelak. Minta pertolongan ahli keluarga untuk menjaga si kecil jika perlu kerana ini baik untuk anak anda juga jika ibunya gembira.
 
Bagi masalah yang lebih serius pula, disyorkan berjumpa sendiri dengan doktor pakar untuk sesi kaunseling atau pengambilan ubat, jika perlu. Paling penting, jangan sesekali terbitnya rasa bersalah akibat kemurungan ini. Ia tidak bermaksud anda bukan ibu yang baik, malah mencari penyelesaian untuk masalah ini merupakan perkara terbaik untuk anak-anak anda sendiri.
 
Peranan Suami Dalam Mengatasi Kemurungan Postpartum
Sokongan suami penting dalam menangani masalah postpartum depression kerana di mata isteri anak-anak merupakan tanggungjawab bersama. Antara perkara yang boleh dilakukan suami untuk mengurangkan tekanan ke atas isteri:

  • Tolong menjaga isteri ketika pantang terutamanya jika ibu atau ibu mertua tidak dapat membantu atau menemani.
  • Tolong isteri jaga anak, contohnya memandikan anak dan menukarkan lampin, serta melayan anak-anak yang lain agar tidak mengganggu ibu mereka.
  • Membantu menguruskan hal rumah tangga.
  • Tidak mendesak isteri segera mengandung selepas kelahiran anak. Tunggu sekurang-kurangnya dua tahun untuk beri masa isteri kembali sihat dari segi fizikal dan cukup rehat dari segi mental.

 

Your email address will not be published. Required fields are marked *