Penjagaan Rapi Barangan Kulit

Penjagaan Rapi Barangan Kulit

Celine13 Celine Fall/Winter 2015. Gambar: TPGVIP

 
Memiliki beg tangan mewah diperbuat daripada kulit bukanlah jaminan untuk beg tangan kekal lama. Dengan penjagaan yang betul ia boleh menghalang kulit daripada menjadi kering juga melindunginya daripada kulat.
 
1. Penyimpanan
Simpan beg tangan dengan betul apabila tidak digunakan. Beg tangan perlu dielakkan dari cahaya langsung matahari dan harus ditempatkan di dalam almari mahupun kawasan dengan aliran udara yang baik serta tahap kelembapan yang rendah. Cahaya matahari boleh memudarkan dan mengeringkan barangan kulit dan kelembapan yang tinggi boleh terdedah kepada kulat.
 
2. Semburan Kalis Air
Semburkan beg kulit dengan water-repellent spray sebelum menggunakannya ketika dalam hujan atau di tempat kelembapan yang tinggi. Sungguhpun banyak jenis beg kulit dirawat semasa proses pembuatan, perlindungan tambahan ini boleh menghalang air dan kesan kotoran dari mencemarkan material kulit. Jangan lupa untuk menyemburkan tali pemegangnya juga.
 
3. Jauhi Objek Tajam
Bungkuskan beg kulit dengan teliti, sebaiknya simpan beg tangan di dalam dust bag. Jauhi dari objek tajam kerana ia boleh mengoyakkan pelapik beg anda dan harus diingatkan simpan gincu dan barangan lain yang berpotensi untuk mengotorkan beg di dalam beg kecil yang lain ataupun di dalam pouch. Bagi menjaga tali pemegangnya, jangan meletakkan barang-barang berat melebihi beban beg tangan anda kerana ia boleh meyebabkan tali atau pemegang putus.
 
4. Pembersihan
Jaga kebersihan beg dengan mencuci kotoran, habuk atau serbuk makanan tidak lama selepas anda pulang ke rumah. Ini akan menghalang bahan-bahan daripada permukaan bawah beg masuk dalam pelapik beg anda. Jikalau anda rajin untuk mengisi kekosongan masa bersihkan koleksi beg tangan anda dengan syampu atau bahan pencuci barangan kulit dan perapi atau semburan water-repellent pada beg sekurang-kurangnya dua kali setahun, ataupun lebih kerap jika anda menggunakan beg anda setiap hari.
 
5. Penyahlembap
Jika anda tinggal di iklim dengan kelembapan yang tinggi, simpan beg kulit anda di dalam kotak dengan bahan pengering gel silika atau gunakan alat penyahlembap di kawasan penyimpanan untuk mengawal tahap kelembapan.
 
 

See also
Most GLAM 2017: Nora Khalid