Orientasi Oriental Abd Razak Ahmad

Teks : Nadia Zolkifli
Penyelaras & Arahan Seni : Afiq Khairudin
Gambar : Patricik Chan

 

IMG_1576

Di ruang tamu Abd Razak mengaturkan sepasang kerusi baroque berlengan diperoleh di kedai antik di Ampang. Cermin bersepuh emas menggantikan fungsi dulang menghiasi meja otomen empat segi.

 

Lapan tahun dahulu kami mengabadikan kediaman jenis banglo milik pengasas jenama Flora Etcetera iimenghiasi naskhah sulung GLAM Deko.  Meraikan ulang tahun ke-8, sekali lagi Abd Razak Ahmad sudi berkongsi sarang kehidupannya, istimewa buat pembaca setia GLAM Deko.

 

Aroma bunga segar enak berapungan menyelubungi seluruh rongga ruang udara kediaman jenis kondominium ini. Perlambangan kerjaya yang digalas, jambangan bunga hydrangea, mawar dan orkid mekar mewangi menyeri hampir di setiap pojok.

 

IMG_1612

Diselubungi rona kelabu perak, perhiasan kristal dan porselin memenuhi seluruh rongga kediaman termasuk kamar tamu utama.

 

IMG_1594

Kabinet rak terbuka putih rekaan Abd Razak sendiri, dibina memenuhi panel dinding mencipta titik fokal di ruang makan utama.

 

Aliran Oriental Klasik

 

Tegar mengalirkan konsep oriental kalsik, Abd Razak mempertaruhkan susur galur warisan darahnya bersemi perabot dan aksesori bermacam ragam. “Saya tidak boleh berkiblatkan hanya pada satu paksi seperti moden tanpa suntikkan elemen yang lain. Ini menjadikan rumah seolah-olah mati, tanpa jiwa. Intipati oriental dan klasik disatukan secara semula jadi mungkin kerana saya sendiri mempunyai darah Cina,” jelas Abd Razak sambil menghidangkan nasi lemak daripada dapur Flora Kafe di dapur kering.

 

Serakan nuansa kelabu di seluruh ruang kediaman diseimbangi menerusi pemilihan perabot putih , kelabu dan hitam. Ruang tamu utama dalam pelan konvensional gemilang memperagakan sofa dua tempat duduk berperincian pepaku, sofa satu tempat duduk serba putih, kedua-duanya daripada rumah perabot Janine. Katil siang custom made dihimpit merapati dinding dibaluti fabrik linen kapas dalam corak jejalur biru firus dan coklat gelap kelihatan membawa sedikit nadi maghribi.

 

IMG_1603

Abd Razak menyatukan dua meja cermin kaca yang ditempah khas bagi membentuk meja makan untuk 4 hingga 6 tetamu pada satu-satu masa.

 

IMG_1656

Ruang makan semi-formal yang berada di bahagian dapur kering.

 

IMG_1640

Kamar tetamu masih kekal dalam paksi kelabu perak dan hiasan kristal

 

Memori Kembara

 

Biarpun reka pelan kondominium seluas 2,500 kaki persegi ini kelihatan sarat dengan mata kasar, langsung tidak membuatkan penghuni lemas dalam lautan perabot dan aksesori. “Pasu porselin biru dan putih adalah kesukaan saya. Boleh dikatakan it is my signature style. Sebahagian koleksi diperolehi lewat kembara untuk saya menggamit semula memori indah kala berpergian,” kata Abd Razak yang gemar merencana percutian solo, malah baru sahaja pulang dari Koh Nah Yuan, Thailand.

 

Panel-panel dinding sarat memperlihatkan  perhiasan lampu, bingkai cermin dan sebahagian koleksi karya lukisan. Paling menarik perhatian, kelompok bingkai mempamerkan koleksi emas, perak dan tembaga yang ditempa indah oleh  orang Thai berlatar belakangkan fabrik linen merah menyala.

 

Tidak banyak mengubah reka pelan asal kediaman, kondominium berlokasi di pusat bandaraya ini memiliki dua kamar beradu, dua kamar kecil, dapur kering, dapur basah dan utiliti. Abd Razak mengambil masa enam purnama untuk menyempurnakan seluruh sentuhannya di unit kediaman ini.

 

Empayar Flora

 

Memayungi syarikat Flora Etcetera, Flora Kafe, Flora Terrace termasuklah perniagaan bot di Mesir, Red Sea Flora, sememangnya tiada noktah buat Abd Razak. “Perniagaan berasaskan perkahwinan dan acara tidak boleh menjamin sepenuhnya. Saya perlu luaskan  takhlukkan. Kebetulan, hobi kembara membawa saya menemui hidden gem di Hurghada, Mesir. Bagaikan jatuh cinta pandang pertama, sebaik tiba, Hurghada menerbangkan segala resah lantas menggantikan dengan satu semangat kehidupan baru. Tanpa berfikir dua kali, saya membeli sebuah rumah persinggahan dan kapal layar sebagai langkah permulaan,” ujar Abd Razak. Seorang pencinta kedamaian bayu laut, Abd Razak mengatakan rumah persinggahan di Hurghada menghadap laut merah, masih dalam proses pembikinan dan mengangkat ritma Morocco- dikuasai warna merah mendalam diselangi perhiasan dan aksesori buatan tembaga juga emas. Sambung Abd Razak, “Mungkin kehidupan saya berlabuh sepenuhnya di Hurghada, tapi hanya masa yang menentukan. We’ll see.”

 

KONGSI DI Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on Google+Email this to someone