Moden Bersulam Islamik

Serambi Moden

Teks : Shahril Hadi Halim
Arahan Seni : Afiq Khairudin
Gambar : Patrick Chan
Video : Dennis Kho

 

 

Pereka hiasan dalaman yang dipertanggungjawabkan menyempurnakan wajah kediaman ini membawakan konsep Islamik Moden. “Elemen seni bina dan fungsi yang menjurus ke arah Islamik menjadi teras dalam saya menata keseluruhan ruang. Pemilik gemar mengadakan majlis juga menjamu tetamu. Untuk itu, mereka mahukan ruang yang terbuka selain perabot yang mudah alih dan praktikal. Untuk menyesuaikan dengan konsep yang dipilih, saya bermain dengan ton kelabu agar ruang terasa tenang dan mendamaikan. Mereka tidak gemar akan sesuatu yang terlalu loud dan keterlaluan. Justeru itu, suai padan monokromatik adalah yang paling ideal,” terang Azry Fazamy

 

Pembahagian ruang yang jelas sememangnya menyerlahkan lagi gaya hidup pemilik kediaman. Tambahan pula keluarganya yang besar, ini memberikan lebih ruang dan keselesaan tatkala berehat di kediaman. Selain dari itu, mereka turut membina tiga ruang makan berbeza untuk memudahkan penggunaan ruang. Secara tidak langsung, anak-anak masih boleh terus menikmati hidangan biarpun ibu bapa mereka sedang sibuk melayani tetamu yang datang berkunjung.

 

Selesa menjadi teras apabila melangkah naik ke tingkat atas kediaman. Ruang dibiarkan lebih terbuka untuk memudahkan anak bermain dan menonton. Bersebelahan ruang ini, dibina ruang membaca dan mengulang kaji untuk mereka. Sambil menghadap pemandangan kejiranan yang mendamaikan, terasa tenang saat bersantai sambil membaca di sini.