Kediaman – Gaya Segar Urban Kontemporari

Teks : Nadia Zolkifli
Arahan Seni & Penata Gaya : Afiq Khairudin
Gambar : Wan Izhar (One Digital Solution)

 

Banglo tiga tingkat di Bukit Jelutong ini bereksperimentasi gabungan pelbagai jenis material yakni kayu, besi, kaca dan kulit. Kediaman didiami oleh pasangan muda, Nur Fazlin Khalil bersama suami, Amirul Hijjas Ahmad Ridzwan bersama dua anak mereka. Mainan palet neutral segar hijau dan kelabu mendominasi segenap ruang kediaman. Mendapat sentuhan semula oleh pereka, Azry Fazamy, banglo ini mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya.

 

“Sebelum mengenali Azry, saya membuat penambahan pelan lantai dapur sebanyak 10 kaki. Malah, kami juga menggunakan khidmat pasukan pereka bentuk dalaman lain yang akhirnya meninggalkan projek separuh jalan. Pentingnya mengambil tahu serba sedikit latar belakang pereka sebelum memulakan projek,” cerita Fazlin membuka bicara.

 

Reka pelan lantai kediaman dimulakan dengan pembinaan ruang foyer yang dibina santai bergaya. Tempat duduk-duduk dibina melekap terus pada dinding beralaskan kusyen corak chevron dan aturan aksesori bekas lilin tembaga.

 

Ruang tamu dipelopori rona neutral kelabu, coklat dan krim. Mata terus tertumpu pada panel dinding setinggi 24 kaki.

 

“Cabaran reka bentuk kediaman ini tentunya daripada panel dinding tinggi ini. Bagi mencipta titik fokal yang mampu memberi impak terkesan, terinspirasi dari lobi hotel – hotel mewah, saya menyusun dan mengambil kira radius cahaya lampu - lampu yang disusun agar dapat membentuk efek cahaya bintang apabila dinyalakan. Sebanyak 14 lampu dinding kegunaan luar digunakan bagi menghasilkan efek cahaya ini,” beritahu Azry.

 

Ruang tamu dan ruang makan dibina dalam pelan lantai yang sama. Azry bertindak bijak memisahkan ruang makan dengan binaan gerbang dinding berpetak. Rekaan corak chevron dan aksesori cermin pada panel dinding memberi satu dimensi rekaan segar.

 

Jelas Azry, “Pemilik mahukan cermin di ruang ini tapi tidak mahu didominasi kesan refleksi yang akan terhasil jika menggunakan potongan cermin besar. Jadi, saya olah semula rekaan kegunaan cermin dalam binaan dinding fokal di ruang makan ini.”

 

 

Slide untuk lihat gambar. 

3 of 8
Use your ← → (arrow) keys to browse

Ruang tamu dipelopori rona neutral kelabu, coklat dan krim.