Datin X: Pura-Pura Mesra Rakyat

Datin X, Datin X & Korner Mak Datin

Datin X: Pura-Pura Mesra Rakyat

287

Lain macam benar pilihan raya kali ini. Rakyat sudah bersuara dan angin perubahan mulai dirasai. Suasana politik negara berubah, malah kawan-kawan Datin X sendiri pun ramai yang turut ‘berubah’. Lebih-lebih lagi yang berstatus isteri-isteri ahli politik, sewaktu berkempen bukan main lagi mesej Whatsapp masuk tidak berhenti. Macam-macam jenis lawak jenaka, kenyataan-kenyataan provokasi dan meme semata-mata untuk troll pihak opponent suami. Biasalah adat bersaing. Tapi kini semuanya sunyi sepi. Walau sudah hampir dua minggu pilihan raya berlalu, kawan-kawan yang banyak sembang politik hari itu sudah mulai perlahan-lahan hilang dari radar. Ajak berjumpa, dia tidak mahu. Mesej sudah tidak lagi berjawab. Ingin Datin X beritahunya di sini, tidak kisahlah jika suami awak kalah sekali pun. Itu bukan bermaksud kita sudah tidak boleh lagi berkawan. Apakah persahabatan kita selama ini hanya demi kepentingan semata-mata?

 

Sebab Datin X bukan macam sesetengah orang tu… sebelum pilihan raya bukan main lagi kawan baik dengan geng isteri-isteri orang penting. Bercuti ke sana-sini. Kalau di majlis-majlis penting, memang meja geng itulah yang paling berangan sekali. Konon elit. Bila suami BFF kalah, terus tidak dipedulikan lagi kawan baiknya itu. Amboi, cepat betul ya. Tiada lagi bertepuk tampar mesra di media sosial, malah tiba-tiba banyak pula posting mengangkat pihak ‘sebelah sana’ yang dahulunya dipandang low class. Oh ya, lupa pula Datin X. Kawan di sini sudah tiada kuasa lagi. Sekarang terpaksalah pergi kipas kawan baru ya?

 

Bila musim pilihan raya tiba, Datin X cukup biasa sangat dengan gelagat isteri-isteri orang kenamaan yang ada kepentingan politik ni. Kerenah masing-masing cukup melucukan. Ada yang tidak mahu nampak ‘kaya’ jadi tiba-tiba tukar watak jadi marhaen, keluar rumah pakai baju dan tudung ‘biasa’. Ada yang tidak mahu bergambar, tidak mahu ajak orang datang rumah, takut-takut persepsi yang diberi salah. Semua mula membeli-belah barangan berjenama dengan membayar secara tunai, atau paling tidak pun sesi shopping dilakukan di luar negara. Paling kelakar ada yang enggan pakai beg mahal depan khalayak ramai, takut dilabel tidak mesra rakyat atau lagi hina, beli beg jenama guna duit rakyat. Paranoia isteri-isteri ini memang boleh buat satu lagi cerita.

 

Tetapi apakah isteri-isteri orang penting ini lebih transparent di masa depan? Memandangkan tiada lagi yang bersangkut-paut dengan dirty money, jadi tidak perlulah coverline lagi. Kalau anda yakin yang sumber pendapatan anda bersih, Datin X tidak rasa ada salahnya jikalau anda memilih untuk menjalani gaya hidup serba mewah. Paling teruk hukuman yang anda dapat cuma rasa dengki dan iri daripada pemerhati-pemerhati yang berhati busuk. If you have a Birkin, flaunt it. Why not? Sebab kalau betul anda mampu dan hasil kekayaan datang dari hasil halal, tidak perlulah lagi main sorok-sorok lagi, betul tak?

 

Suami Datin Fiza bukanlah seorang calon pilihan raya. Tapi sewaktu kempen sebelum pengundian tempoh hari, Datin Fiza dan suami turut turun padang untuk menyokong salah satu calon yang turut bergelar pemegang saham dalam syarikat keluarganya. Dari tidak pernah pijak tanah, Datin Fiza terus hilangkan gelinya apabila terpaksa masuk kampung yang bertanah becak dan penuh tahi ayam. Habis selipar Hermes kulitnya. Kalau selalu baju-bajunya mahal-mahal belaka, Datin Fiza gantikan baju kurung Rizalmannya kepada jubah hitam berselendang bawal. Selalu mukanya disolek mekap artist, tapi minggu pilihan raya Datin Fiza muncul au naturale.

 

Dalam pada menahan mukanya agar terus nampak manis dihadapan rakyat jelata, Datin Fiza sebenarnya merengus tak sudah, komplenkan panas apabila terpaksa mengikut suami menjengah ke rumah-rumah asnaf sekitar kampung. “I tak tahan lah, pergi rumah orang tu… tak ada aircon! Tak sabar I nak masuk kereta balik untuk aircon. Sudahlah rumah tu berbau. Makcik tu entah mandi atau tidak… busuk, kuat bau badannya!” Sesekali, ada juga terdengar Datin Fiza mengomel, “Apalagi yang mahu disembangkan tu? Cepatlah balik!” Anak-anak perempuan Datin Fiza lagilah spoil brat. Bercakap macam seumur hidup duduk Amerika, berlagak depan orang kampung macam level dia tinggi sangat. Dengan cermin mata besar dan beg Chanel masing-masing, budak-budak itu keluar masuk kereta besar macam dia seorang sahaja mampu.

 

Kadang-kala orang yang perasan ‘bandar’ ni kena diajar sikit. Kalau tiada orang dibawah menyokong, bagaimana mereka mampu duduk di atas. Teringat Datin X kepada seorang kawan yang tinggal di KL. Kerja besar, pakai kereta besar dan barangan berjenama sahaja. Tetapi siapa sangka, hutang keliling pinggang. Akhirnya saudara-mara di kampung yang mengusahakan tanah ladang juga yang meminjamkan duit untuk dia membayar hutang. Siapa kata orang duduk luar bandar tu sengkek? Sebenarnya mereka lebih berduit daripada yang tinggal di bandar. Tak perlu berhabis duit untuk petrol, tol dan lain-lain keperluan yang tidak penting. Sesungguhnya basic living itu sahaja lebih menenangkan. That is the ultimate luxury.

 

Dipetik daripada GLAM Isu Jun 2018.

Your email address will not be published. Required fields are marked *