Datin X: Girlfriend Datuk Budak Kolej

Datin X, Datin X & Korner Mak Datin

Datin X: Girlfriend Datuk Budak Kolej

15

Semalaman Datin X berfikir. Apa nak jadi dengan generasi sekarang? Ramai betul perempuan-perempuan muda hari ini yang cukup tak malu kejar laki orang. Kalau dulu nak berskandal pun sorok-sorok. Bercinta dengan laki orang yang jauh lebih tua adalah satu kesalahan besar. Bukan sahaja keluarga tidak tahu skandal mereka malahan teman-teman rapat pun tidak tahu cerita. Sekarang ni anak gadis sekarang keluar secara terang-terangan dengan suami orang, siap upload lagi di Instagram. Mereka bangga bercerita dengan teman-teman mengenai percutian dengan boyfriend tua mereka berdua dan tunjuk hadiah yang diterima.

 

Ada pula yang berani bercerita dengan keluarga sendiri dan yang Datin X peliknya ada ibu yang menyokong malah memberi restu hubungan si anak dengan lelaki yang boleh dikatakan hampir sebaya dengan suaminya. Anak saudara Datin X beritahu ada teman-temannya yang memang sengaja mencari suami orang yang kaya. Mereka mahu jalan pintas, mahu senang. Setiap minggu makan di restoran mewah, bercuti ke luar negara dan dihujani pula dengan hadiah-hadiah mahal terutama tas-tas berjenama. Kata mereka lagi buat apa bercinta dengan lelaki sebaya sebab lelaki muda tidak mampu nak memewahkan mereka. Silap-silap kena belanja makan teman lelaki pula.

 

Cerita anak saudara Datin X lagi kalau dapat yang kaya dan handsome itu namanya bonus dan naik tocanglah lagi mereka. Mereka tambah mengada-ngada, berjalan pimpin tangan bangga tunjuk satu alam. Memang budak-budak sekarang sudah tak makan saman.

 

Datin X sejak dari dulu lagi memang ada soft spot pada Datin Nora. Dia memang baik hati and it’s so hard not to love her. Soft spoken, suka entertain orang dan tak pernah Datin X dengar dia bergosip mengenai orang lain. Dia pun bukan suka sangat keluar ke majlis-majlis rasmi melainkan resepsi perkahwinan dan kenduri-kendara sahaja. Memang sangat low profile orangnya. Datin Nora juga bukan jenis yang hadap dengan material. Bila semua kawan-kawan gilakan satu-satu beg berjenama, dia cuma tumpang seronok. Tapi diri sendiri tak pernah berkeinginan untuk turut memiliki. Walau Datin X tahu yang dia lebih dari mampu, Datin Nora lebih gemar berbelanja untuk orang lain.

 

Satu lagi mengenai Datin Nora yang Datin X betul-betul kagum adalah kesabarannya. Tahan betul dia dengan suaminya yang terkenal sebagai womaniser itu. Tukar perempuan seperti tukar baju. Walau pun tidak pernah dimadukan, Nora seakan isteri pertama. Bila suami mula jarang pulang, tahulah dia yang Datuk sedang bersama kekasihnya yang kami semua panggil flavor of the month. Kali ini girlfriend Datuk budak kolej. Datin X teramat geli melihat gambar-gambar mereka bercuti di Bali. Datuk dengan perut boroinya, yang girlfriend pula berbikini walau badan sekeping tak ubah macam budak sekolah. 

 

Banyak kali kami bertanya, mengapa masih mahu bertahan walhalnya Nora umur masih dalam lingkungan 30-an dan anak-anak pun semua sudah masuk sekolah menengah. Nora banyak berdiam diri acapkali disua soalan sebegitu. Paling tidak, dia akan menjawab yang dia redha jikalau ini takdirnya. Di situ, Datin X kurang mengerti. Mengapa sekadar redha apabila jelas sekali kita dianiaya? Melainkan tiada jalan keluar. Dan mengenangkan Nora turut memiliki aset dan perniagaan sendiri, sungguh sukar sekali untuk menghadam kenyataan yang Nora sanggup membiarkan suaminya makan luar tanpa membantah. “Dia tu dah kena hembus ke? Dah semacam bodoh pula. Suami main perempuan, dia masih boleh senyum? Banyak sangat ke Datuk kasi duit belanja bulanan sampaikan Nora tutup sebelah mata?” Itu antara kata-kata yang sering diperkatakan mengenai Nora. Pasti ada sebab mengapa dia begitu.

 

Baru-baru ini seseorang memberitahu Datin X mengenai suami Datin Nora. Datuk rupa-rupanya ada terjebak dengan money laundering lalu menggunakan isterinya untuk membuka beberapa restoran dan inap desa. Terpaksalah Nora berpura-pura menjadi usahawan padahal dia sudah lama selesa menjadi surirumah sepenuh masa. Patutlah bila diajak bersembang mengenai bisnesnya, dia selalu mengelak dan enggan sembang lebih. Nora sebenarnya separuh hati mahu mengaku dirinya empunya semua bisnes-bisnes ini. Lagipun dia sendiri bukanlah tahu selok-belok berniaga. Lebih-lebih lagi apabila perniagaan suaminya sedang mengalami banyak kerugian, Nora terpaksa juga gagahi dan membantu suaminya sekali pun terpaksa menipu orang disekelilingnya. 

 

Walau bisnes merudum, suami Nora masih ligat dengan tabiat buruknya sebagai kaki perempuan. Dalam pada Nora bersusah payah coverline untuk suami, suami sibuk bercinta dengan budak-budak lepasan sekolah. Habis segala beg Chanel dan Gucci diborong suami bagi menambat hati kekasih muda. “Itulah Nora… you patutnya dari dulu lagi dah penuhkan almari dengan beg. Tengoklah sekarang. Datuk mewahkan girlfriend. Syoklah budak tu… pergi kolej, sandang Chanel!” Sengaja Datin X perangat Datin Nora. Tapi seloroh itu dibalas dengan sekadar mengeluh tanpa jawapan. Rimas pula Datin X tengok si Nora ni. Awal-awal sudah mengalah, memang pantang!

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu November 2017

Your email address will not be published. Required fields are marked *