Retorik: Tekanan Media Sosial Membawa Kepada Kemurungan? - Glam Malaysia

Retorik: Tekanan Media Sosial Membawa Kepada Kemurungan?

Saya tahu ramai di antara kita dibelenggu masalah ini, kehidupan kita seperti tidak lengkap tanpa telefon pintar. Ya benar, saya akui kewujudan telefon pintar ini banyak memudahkan kerja kita seharian. Bayangkan semua maklumat kini hanya di hujung jari. Apa saja yang kita mahu tahu kita hanya perlu menekan enjin carian dan tidak sampai beberapa minit semuanya tertera di atas skrin. Hatta, jika ingin memasak kita boleh mencari resipi dan melihat tutorial masak kala di dapur. Mudah bukan?

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana orang dahulu terpaksa membuat janji untuk bertemu di sekian tempat dan jika orang yang dinanti tiada di tempat yang dijanjikan mereka terpaksa mencari telefon awam untuk menghubungi teman di pejabat atau di rumah. Tetapi bagaimana pula kalau si dia juga tidak sudah keluar dan sedang mencari-cari kita? Tetapi kita di abad yang berbeza, segala-galanya ada di genggaman. Maaf kalau saya kata ini, dan saya berasa perkara ini benar, orang sekarang mahu ke bilik air pun ditemani telefon pintar lebih-lebih lagi kala sedang membuat ‘pelaburan’. Begitu dahsyat sehingga kita nampaknya tidak dapat berpisah dengan telefon pintar.

See also
5 Hotel Suites Paling Mewah Di Dunia

Gambar: Deposit Photos

Semenjak aplikasi Instagram wujud masyarakat pula seakan disihir untuk mempamerkan kehidupan masing-masing di platform ini. Mungkin bagi mereka gambar-gambar yang dipaparkan di Instagram adalah benchmark taraf kehidupan atau gaya hidup mereka. Tetapi apa yang sedihnya, ada yang begitu taksub dengan Instagram dan berasa tertekan apabila melihat kehidupan orang lain jauh lebih baik daripada mereka. Harus saya akui, media sosial sedikit sebanyak mewujudkan sifat saling bersaing antara satu sama lain, siapa lebih kaya? Siapa lebih bahagia dan sebagainya. Tetapi jujurnya, saya tidak melihat perkara itu daripada sudut negatif, kerana jika si polan mempunyai kehidupan yang berjaya saya ambil itu sebagai motivasi untuk bekerja lebih keras dan berjaya seperti si polan itu satu hari nanti.

Pun begitu, picture is just a picture, adakala kita nampak pasangan itu sangatlah bahagia. Setiap hari dia memuat naik gambar bersama suami dan anak-anaknya dan menceritakan keseronokan mereka tetapi tanpa angin tanpa ribut tiba-tiba bercerai. Kalau saya sedang melalui hari yang muram sudah tentu saya tidak upload gambar saya berduka, nanti kata kita meraih simpati pula. Dan yang pastinya kita akan muat naik gambar-gambar yang happy sahaja. Jadi masyarakat tidak perlu taksub dengan Instagram, kerana tidak semua yang berlaku dalam hidup dipamerkan dalam Instagram.

See also
Datin X: Belanja Bulanan Isteri Kedua Cecah Suku Juta

Akan tetapi saya agak terkejut kerana memang ada yang menilai hidup anda melalui gambar-gambar anda di Instagram. Pernah sewaktu bercuti di New York, saya bergambar di hadapan restoran eksklusif di sana. Tidak sangka ada yang buat cerita pada teman-teman saya yang saya hanya mampu bergambar di depan restoran sahaja dan tidak mampu untuk makan di restoran itu. Walhalnya saya memang makan di restoran itu. Dan ada juga yang meroyan mahukan kehidupan seperti selebriti ‘itu’ yang dilihat sempurna seperti yang diungkapnya. Dia membandingkan kehidupannya dengan selebriti itu dan berasa dirinya kecil sekali. Almaklum selebriti itu cantik, bergaya dan kaya raya. Nah itu semua bukan pengukur kesempurnaan hidup seseorang itu. Saya percaya setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan masing masing. Allah itu Maha Adil.

Didie Nasir, pengasas bersama DIDA.

Bercerita soal depression ini saya pernah menderita kemurungan selama tujuh bulan. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan nasihat saya jika anda rasa anda mengalami kemurungan segera dapatkan bantuan sebelum melarat. Sistem sokongan daripada ahli keluarga adalah amat penting. Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberi kata-kata semangat kepada saya. Dan ibu-bapa saya akan menjaga anak-anak di kala emosi saya tidak stabil. Bayangkan saya ini orangnya outgoing, bubbly, suka ketawa, tiba-tiba saya bertukar menjadi pendiam, berkurung di rumah, menangis secara tiba-tiba dan asyik tidur sahaja. Kalau keluar dengan teman-teman saya seperti biasa saya boleh ketawa dan sebagainya. Tetapi saat saya pulang ke rumah, saya akan secara tiba-tiba mengalirkan air mata.

See also
Say Yes To Second Round Sex - Bahagian 1

Suami yang cukup tahu saya amat cintakan kota New York telah membawa saya ke negara Big Apple dan mahu saya cari diri saya kembali dan mencari inspirasi apa yang mahu saya lakukan dalam hidup. Ya, benar kata orang kalau kita mengalami kemurungan pergilah ke tempat yang kita mahu pergi dan tenangkan fikiran di sana. New York memberi inspirasi untuk saya tubuhkan Dida. Alhamdulillah dengan berbekalkan modal RM10,000 Dida hari ini sudah mencecah tujuh angka!

Pesan saya di sini adalah jangan tertekan dengan kehidupan orang lain sebaliknya tukarkan ia kepada motivasi untuk kita membaiki kehidupan kita. Tiada apa yang mustahil dalam hidup ini.

*Didie Nasir pengasas bersama DIDA berkongsi kisah bagaimana menangani kemurungan dan saingan di media sosial.

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu April 2018