Sembang Fesyen: Yasmin Ramli

Sembang Fesyen: Yasmin Ramli

Yasmin Ramli1 Gambar: Yasmin Ramli

 
Namanya terkenal dek terbinanya jenama PU3 bersama saudara kembar, Puteri Azalea. Setelah sekian lama menabur idea kreatif buat PU3, terus Yasmin mahu mencuba nasib melancarkan jenama baru di bawah telunjuk kreatifnya sendiri. Maka lahirlah When Our Eyes Met yang menyaksikan Yasmin mendapat inspirasi selera punk, cita rasa fesyen sewaktu dia belajar di kota London. Jauh beza DNA When Our Eyes Met dengan PU3. Mungkin itu yang membezakan selera fesyen Yasmin dengan Azalea.
 
Kisah debut jenama terbaru?
Cinta dan romantik menjadi gabungan utama di sebalik terlahirnya jenama When Our Eyes Met. Semua yang saya temui sepanjang bernafas di muka bumi ini memberi inspirasi buat saya. Baik keluarga, sahabat atau hubungan cinta lepas dan sekarang. Jenama ini turut diinspirasikan daripada idea yang hadir dalam minda dan setiap koleksi bermain dengan bentuk piramid dan rekaan geometri. Potongan siluet itu saya praktikkan pada himpunan musim bunga luruh 2013 yang bertajuk Darkened dan diteruskan pada himpunan pramusim luruh 2013. Koleksi Darkened ini lahir kerana kembalinya nenek saya ke rahmatullah. Setiap helaian yang dihimpunkan berona hitam.
 
Kisah fesyen ibu…
Ibu banyak memberi inspirasi untuk sentiasa bersiap cantik biarpun di mana berada. Dia bagaikan ikon fesyen dalam hidup saya. Gerobok fesyennya juga menjadi tempat tuju utama untuk mendapatkan aksesori dan ceraian terbaik. Setiap kasut, beg hingga ke barang kemas kepunyaan ibu sudah saya gayakan. Selain itu jika diberi peluang, saya mahu dapatkan apa yang ada dalam gerobok fesyen kepunyaan kembar Olsen dan Kate Moss. Mereka punya semua ceraian, beg, kasut dan aksesori yang kita mungkin tidak dapat.
 
Idea tentang gaya individu?
Gaya peribadi adalah cara untuk membiaskan rasa dalam diri melalui fabrik yang disarungkan. Setiap individu perlu punya gaya individu yang tersendiri agar terbias karakter dan sifat individu. Saya lebih memberikan fokus pada apa yang saya sarungkan terutama sekali apabila hadir ke acara pertunjukan fesyen. Tapi tidak apabila saya hendak tidur dan sibuk di kilang!
 
Cita rasa fesyen anda?
Saya sebenarnya orang yang lebih relaks. Selera saya suka pada gaya classy punk! Namun, apa yang saya tidak boleh tinggalkan ketika keluar dari rumah adalah beg silang kerana ia amat mudah untuk digayakan. Jika berbicara tentang pereka fesyen pula, saya meminati idea kreatif Vivienne Westwood, Helmut Lang, All Saints dan Rick Owens. Mereka semua bijak dalam berkarya menggunakan potongan geometri dan perincian berlisu.
 
 

See also
Selebriti Yang Disahkan Negatif Covid-19