Sembang Fesyen: Xema Su
Perasaan untuk menceburi bidang fesyen sudah bercambah sejak dia masih berumur sembilan tahun. Pengalaman bekerja di bawah pereka terkenal, seperti Jovian Mandagie, Rizalman Ibrahim dan Yadotsa membuatkan dia yakin untuk tampil solo dalam menghasilkan sebuah himpunan yang eksklusif serta penuh dengan siluet feminin.
Bagaimana anda memulakan koleksi pertama?
Pada permulaannya, hanyalah menghasilkan rekaan baju kurung yang ditempah oleh teman rapat serta beberapa orang yang saya kenali. Hinggalah, saya diberi tanggungjawab untuk membuat adi busana lengkap khas untuk selebriti seperti Izara Aishah dan Jen Syukri.
Sumber inspirasi?
Saya tidak seperti sesetengan pereka yang menghamparkan seberapa banyak moodboard sebelum mereka menghasilkan sesebuah koleksi. Cara saya mendapat sumber inspirasi atau ilham iaitu ketika bersama klien dan saat itulah saya akan berinteraksi bersama mereka dan tidak langsung memahami apa yang mereka hendakkan.
Disebalik maksud ‘Xema Su’?
Xema diambil sempena nama saya dan Su pula adalah singkatan kepada nama bapa saya iaitu Suhaimi. Bunyinya memang sedikit pelik dan unik kerana ia amat berhubung kait rapat dengan setiap rekaan yang saya hasilkan.
Gaya signature?
Moden chic, sleek dan tidak mempunyai sebarang perincian yang rumit dan sarat. Bagi saya, sudah cukup memandai apabila melihat seseorang wanita itu tampil dengan persalinan ringkas kerana aura dalaman mereka jelas kelihatan serta akan sentiasa tampak sempurna dan cantik.
Pereka kegemaran?
Zac Posen. Sentuhan magisnya di setiap pentas peragaan membuatkan saya begitu kagum dan terkesima dek rekaannya yang begitu indah dan luar biasa. Dari pemilihan fabrik, teknik potongan hingga penggunaan palet warna ternyata menjadi kegemaran saya.
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Mac 2015