Laris Kerana Unik - Raja Ilya Fasih Bahasa Tamil Dan Hindi

Laris Kerana Unik – Raja Ilya Fasih Bahasa Tamil Dan Hindi

Raja Ilya
 
Mungkin ramai yang beranggapan populariti yang diraih oleh Raja Ilya adalah menerusi filem dan drama berbahasa Tamil. Darah yang pekat mengalir dalam dirinya adalah daripada keturunan Diraja Kesultanan Melayu Perak di sebelah ayahanda dan berdarah Malayalam atau Malbari di sebelah ibu. “Saya fasih bertutur dalam empat bahasa iaitu Tamil, Hindi, Melayu dan Inggeris. Saya juga merupakan satu-satunya pelakon Melayu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Tamil dan Hindi. Saya mula menjinakkan diri dalam industri lakonan kala masih bekerja sebagai krew penerbangan Malaysia. Mungkin ramai yang mengenali saya menerusi lakonan dalam industri hiburan Tamil tempatan. Tetapi, sebenarnya saya punya lebih banyak dan kerap memerankan watak di dalam drama dan telefilem Melayu. Antaranya Dahlia dan Love You Mr. Arrogant.”
 
Bukan sahaja miliki paras rupa menawan, Raja Ilya juga membuktikan dengan lakonannya yang punya kebolehan dalam menggalas pelbagai watak juga kerana boleh bertutur fasih dalam bahasa Tamil dan Hindi. Namanya mula dikenali dan terus diangkat setelah membawa watak Shruti dalam filem Tamil, Appalam arahan Afdlin Shauki. “Mungkin saya punya kelebihan tetapi itu tidak menjamin apa-apa jikalau tidak berusaha. Tidak dinafikan populariti dan nama saya melonjak naik menerusi filem Appalam dan berjaya merangkul Anugerah Filem Malaysia Tamil di Chennai. Apa yang saya idamkan adalah mahu melebarkan sayap ke tahap perfileman Bollywood melalui industri Kollywood. Datuk Michelle Yeoh adalah kenapa saya menjadi lebih optimis dalam berkarya lantas punya cita-cita dan hala tuju karier yang jelas. Dia inspirasi saya dalam mengorak langkah untuk pergi lebih jauh.”
 
“Masih banyak yang perlu diperbaiki, saya belajar melalui pengalaman dan lebih banyak pendedahan maka lebih bagus. Bukannya tamak untuk menerima seberapa banyak tawaran yang mungkin. Ini adalah cara saya memotivasikan diri supaya menjadi lebih positif. Segalanya mengenai saya sekarang adalah kerana karier. Tiada yang lain. Apa yang saya harapkan untuk perencanaan masa hadapan industri lakonan tempatan, pengarah di Malaysia seharusnya memberikan lebih banyak peluang kepada pelakon yang punya bakat untuk ke arus perdana. Juga memberi peluang dan ruang kepada pendatang baru. Penampilan fizikal dan rupa paras itu perlu, namun pada masa yang sama, bakat juga kena seiring. Bukan hanya sekadar rupa paras yang menjadi ukuran. Saya sendiri pernah mengalaminya hanya kerana warna kulit saya berlainan daripada apa yang mereka inginkan. Saya percaya, ramai pelakon di luar sana yang punya bakat tetapi ditutup pintunya kerana tidak memenuhi cita rasa yang diinginkan. Ramai di antara mereka yang bagus tetapi masih tidak dikenali,” Raja Ilya menutup bicara.
 
Penata Gaya: Suzie Adnan
Penyelaras: Zuhairie Sahrom
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric/Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Januari 2015
 
 

See also
10 Soalan Bersama Low Ngai Yuen