Iqbal Ameer & Rengeeta Rendava - Glam Malaysia

Iqbal Ameer & Rengeeta Rendava

Pasangan ini mengenali antara satu sama lain ketika berusia tujuh tahun lagi. Selepas tamat zaman persekolahan kedua mereka menjadi teman rapat dan kemudian menjadi serius sekitar tahun 2010 sebelum memutuskan untuk berkahwin. Keramahan dan kemesraan jelas terpancar ketika sesi pengambaran lagi kerana mereka berdua langsung tidak janggal beraksi di hadapan kamera biarpun ini merupakan kali pertama mereka menjalani penggambaran secara professional. Iqbal merupakan Ketua Pegawai Eksekutif buat Livescape Group, perniagaan yang berasaskan hiburan dan penganjuran acara yang telah banyak menganjurkan acara terkini bukan sahaja di Malaysia malahan sudah melebarkan sayap ke beberapa negara lain di sekitar Asia. Perniagaan yang berbenih daripada pengalaman ketika menetap di Australia menjadikan Iqbal mahu membawakan seleksi gaya acara yang seakan serupa ke tanah air. Baginya melihat pesaing perniagaan yang sedia ada ketika itu, dia mahu meningkatkan lagi gaya persembahan buat acara-acara muzik di tanah air. Manakala Rengeeta memiliki agensi perhubungan awam, Mad Hat yang membawakan konsep butik terhadap perkhidmatan yang disediakan. Dengan sentuhan idea lebih segar dan gaya terkini mereka sememangnya antara ikon usahawan untuk anak muda generasi kini. Dia memulakan kerjaya di dalam bidang korporat dengan beberapa nama besar juga agensi pengiklanan. Apabila membuat kerja bebas dan untuk membuka laman sesawang yang bertindak sebagai platform digital, dia menyedari tidak banyak agensi perhubungan
awam yang memberi fokus kepada sektor gaya hidup selain agensi-agensi korporat berskala besar yang sedia ada. Daripada sinilah dia menawarkan khidmat perhubungan awam yang diberikan sentuhan peribadi pada pelanggannya.

See also
Beg Praktikal Ilham Jason Wu

Memandangkan kedua mereka bergelanggang di dalam industri yang sama, saya terfikir pastinya mereka lebih gemar untuk berkolaborasi dalam menyempurnakan sesuatu tugasan acara mahupun berkongsi klien untuk memudahkan urusan perniagaan. Namun telahan saya meleset kerana mereka memilih aliran yang sedikit berbeza. “Secara jujurnya saya tidak percaya untuk tidak mempunyai hubungan pekerjaan bersama. Biarpun syarikat milik kami pernah bekerja sama menyelesaikan sesuatu kerja itu, tetapi kami memilih untuk membiarkan pekerja yang menyempurnakan tugasan tanpa perlu campur tangan dari kami berdua. Kami lebih menyokong antara satu sama lain dalam urusan peribadi apabila menyentuh tentang perniagaan. Saya banyak merujuk kepada Iqbal dan dia akan memberikan tunjuk ajar dan nasihat,” ujar Rengee membuka bicara saat temu bual ini disertai Iqbal yang masuk sedikit lewat. “Oleh kerana saya terlebih dahulu bergelut di dalam gelanggang perniagaan ini dan terlebih dahulu melakukan kesilapan, kami gunakan segala kesilapan itu sebagai panduan apabila Rengee menghadapi situasi yang seakan sama. Dalam masa sama, perspektif berlainan dari pandangan mata Rengee menyuntik idea berbeza tatkala berbicara mengenai isu yang sama. Justeru, kami memilih untuk lebih saling melengkapi apabila menyentuh mengenai perniagaan. Kami juga pernah bekerjasama dengan syarikat lain yang merupakan pesaing kepada perniagaan pasangan kami kerana kami percaya perkara utama yang perlu dipenuhi adalah keperluan klien itu sendiri. Sama ada bekerja bersama antara Mad Hat dan Livescape mahupun bersama penganjur acara dan agensi perhubungan awam lain memberikan kami lebih pengalaman dan gaya yang berbeza dalam melaksanakan sesuatu tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Tambahan apabila berbicara mengenai penganjuran acara, Livescape mempunyai kriteria tertentu pada acara di bawah kelolaan mereka, Mad Hat memilih untuk bekerjasama dengan penganjur acara dari syarikat berbeza,” kata Iqbal diselangi bicara Rengee.

See also
Gaya Helena Bordon

“Pencapaian terbesar bagi kami setakat ini adalah ketika kami mengembara ke Amerika Syarikat dan Jepun hampir sebulan pada 2017 dan itu adalah tempoh paling lama kami tinggalkan pekerjaan dan syarikat. Oleh kerana pernigaan ini merupakan milik peribadi, secara amnya kami sentiasa mengambil tahu setiap pergerakan syarikat dan sebagainya. Tambahan pula antara itinerari perjalanan kami adalah festival muzik yang berlangsung di tengah padang pasir tanpa sebarang penerimaan gelombang telekomunikasi untuk tempoh 10 hari. Kami terputus hubungan dengan kerja dan pekerja kami tetapi kami syukur segalanya berjalan seperti biasa, perniagaan dan keluarga tidak terkesan. Bagi kami ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana kami berjaya melahirkan modal insan yang mampu meneruskan kerja biarpun tanpa pemantauan kami. Livescape kini memiliki tiga pejabat yang beroperasi di negara berbeza, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Jumlah pekerja bertambah dan ruang lingkup acara dan skala berbeza di bawah kendalian kami juga semakin bertambah. Dengan perjalanan masa yang semakin pantas, kami perlu bergerak seiring tanpa keciciran. Saya tidak lagi boleh semberono dalam menjalankan urusan pekerjaan berbanding ketika pernigaan di bawah kendalian saya secara sepenuhnya. Bahkan saya juga perlu melakukannya untuk tiga pejabat berbeza di Negara berlainan,” kongsi Iqbal. Sementara Rengee pula sentiasa melihat syarikatnya sebagai sebuah unit keluarga dengan budaya kerja tersendiri yang kukuh. Dengan moto Architecting Lifestyle yang menjadi nadi perniagaan ini, tatkala kumpulan ini menjadi semakin besar, konsep kepimpinan mula diterapkan bagaimana untuk memastikan ia masih seiring dengan ideologi yang telah diterapkan pada awal perniagaan. “Saya mahukan ia berjalan secara organik yang mana semua yang berada bersama menikmati perjalanan ini bukan kerana mereka perlu berada tetapi kerana mereka gembira bersama-sama dengan kami. Ia merupakan cabaran utama namun ia juga merupakan suatu ganjaran yang terbaik buat saya dengan situasi dimana kami juga mengembangkan sayap operasi ke dua negara berbeza tahun ini, saya mahukan budaya ini dibawa bersama ke mana sahaja Mad Hat pergi.”

See also
Lea Seydoux Bintangi Kempen Wangian Pertama Louis Vuitton