6 Figura Pemuzik Yang Berakar Dari Pentas Realiti TV
Barisan figura pemuzik berakar dari pentas realiti TV bersatu dalam lembaran fesyen, memperagakan seleksi busana fresh-off-the-runway dari koleksi jenama lokal 2025 yang mendefinisikan semula gaya bintang pentas.
Dalam landskap muzik tempatan, bakat-bakat baharu sering kali lahir daripada pentas realiti televisyen. Dari situ, lahir bintang yang bukan sahaja mengukir nama di pentas hiburan, malah membina perjalanan seni yang membuktikan ketahanan, keaslian dan pesona tersendiri. GLAM kongsikan antara enam figura pemuzik yang berjaya menapak kukuh, bermula dari sorotan kamera TV dan kini mempunyai nama buat pentas arus perdana.
Barisan Bintang Pentas Realiti TV
1. Marsha Milan

Busana: Ashraff Zainal
Keanggunan vokal Marsha Milan mula diperkenalkan kepada khalayak menerusi Akademi Fantasia musim ketiga. Walaupun tidak meraih gelaran juara, perjalanan seni Marsha berkembang menjadi antara yang paling konsisten dan berwarna dalam industri hiburan tanah air. Penyanyi kelahiran Sabah ini terkenal akan suara merdu beremosi tinggi yang mampu menggetarkan jiwa, terutamanya menerusi persembahan gemilang di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL 39) dengan lagu Hening Rindu. Bukan sekadar penyanyi, Marsha juga pernah melebarkan sayapnya dalam dunia lakonan yang mana menempatkan diri sebagai figura versatil. Kejayaannya membuktikan bahawa platform realiti TV hanyalah permulaan bagi sebuah karier panjang yang penuh prestij dan keindahan seni.
2. Syameel Aqmal

Busana: Wei Hao Yong
Aura Syamel mula menyerlah di pentas Akademi Fantasia musim ke-10, di mana vokalnya yang bertenaga dan penuh jiwa segera memikat hati peminat. Keunikan suaranya yang berpaksikan teknik vokal mantap sering dipuji sebagai antara yang terbaik generasi kini. Tidak sekadar bergantung kepada bakat nyanyian, Syamel terus mengukuhkan nama menerusi lagu-lagu hits seperti ‘Hidup Dalam Mati’ dan kolaborasi romantis bersama pasangannya, Ernie Zakri. Pencapaiannya di pentas Anugerah Juara Lagu dan pelbagai festival muzik tempatan membuktikan bahawa Syamel bukan sekadar produk realiti TV, tetapi seorang bintang yang lahir daripada kerja keras, disiplin dan rasa cinta mendalam terhadap muzik.
3. Ara Johari

Busana: BEHATI
Turut sama bermula dari gelanggang Akademi Fantasia untuk musim ke-13, Ara Johari terus menawan hati peminat dengan vokal lantang penuh jiwa. Walau sekadar menamatkan perjalanan sebagai finalis tempat keempat, bintang kelahiran Johor ini pantas mencipta momentum tersendiri melalui single seperti Warkah Untukku, Bunga dan Paku. Ara bukan sekadar penyanyi yang menyampaikan lagu, malah turut menulis bait-bait liriknya sendiri, menjadikan setiap karya sarat dengan sentuhan peribadi. Momen paling menyerlah hadir saat Bunga berjaya meraih gelaran naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-33, sekaligus menegaskan kedudukannya sebagai antara suara paling berpengaruh dalam generasi baharu.
4. Shiha Zikir

Wei Hao Yong
Shiha Zikir pula menampilkan perjalanan seni yang panjang sejak kemunculannya dalam rancangan realiti TV Mentor musim kelima. Berbekalkan suara lantang dan karakter pentas yang penuh keyakinan, Shiha berjaya menempatkan dirinya sebagai penyanyi versatil yang mampu bergerak di pelbagai genre. Dari balada, pop hingga dangdut, kelenturan vokalnya memberi warna tersendiri dalam industri muzik. Kejayaan Shiha tidak hanya terhenti pada pentas nyanyian, Shiha turut mengukir nama sebagai pelakon dan pengacara, menjadikan dirinya antara alumni realiti TV nyata serba boleh. Dengan keteguhan dan daya tahan, Shiha Zikir menjadi simbol bagaimana bakat yang diasah dari sebuah pertandingan boleh berkembang menjadi karier yang mapan.
5. Rizal Rasid

Dari kabin pesawat ke pentas hiburan, perjalanan Rizal Rasid penuh keberanian. Rizal Rasid meninggalkan kerjaya sebagai pramugara demi mengejar impian sebagai seorang bintang. Usaha dan langkahnya terbukti berbaloi apabila video nyanyiannya mula tular di media sosial. Bermodalkan suara merdu, rupa paras menawan serta kebolehan bermain gitar dan piano, Rizal cepat menambat hati pendengar. Single sulungnya, ‘Cukup’ bukan sahaja dipilih sebagai lagu tema drama tempatan, malah muzik videonya berjaya meraih jutaan tontonan. Namun tidak cukup dengan itu, Rizal menyertai rancangan realiti TV ‘Big Stage Alpha 2025′ lantas menunjukkan dedikasinya terhadap bidang nyanyian. Kini, Rizal menjadi salah seorang anggota buat kumpulan yang tertubuh bernama ‘Alpha’.
6. Jeryl Lee

Lahir dengan bakat semula jadi yang mengagumkan, Jeryl Lee mula mencuri perhatian umum selepas menyertai Sing! China pada tahun 2016, sekaligus membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu berdiri megah di pentas antarabangsa. Kehalusan vokalnya yang berlapis emosi menjadikan setiap persembahan terasa intim dan penuh jiwa. Kejayaannya berterusan apabila dinobatkan sebagai juara dalam rancangan realiti TV, ‘The Next 2023’ di China yang menjadikan ia sebuah kemenangan bersejarah dan menegaskan kedudukannya sebagai bintang era kini. Dengan gaya persembahan yang segar, profesionalisme yang matang serta membawa sentuhan nafas baharu, Jeryl Lee menggunakan bakatnya dengan menjadikan pentas realiti TV sebagai batu loncatan ke arah kegemilangan sebenar.
Artikel Berkaitan: Evolusi Fesyen Ikonik Ratu Tv Malaysia
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

