Masa Yang Mekar
Menutup lembaran akhir tahun dengan penuh pesona, GLAM Disember meraikan keindahan masa bersama Zahirah Macwilson, wajah yang memancarkan kelembutan, keyakinan dan cita rasa yang halus. Dalam kolaborasi eksklusif bersama Cortina Watch Malaysia, Zahirah memperagakan seleksi jam tangan Franck Muller yang menjadi lambang keanggunan moden dan kecemerlangan seni pertukangan Swiss. Seperti dirinya, setiap rekaan jam ini menggambarkan keseimbangan antara keindahan dan kekuatan yang abadi.

Tahun ini, Cortina Watch Malaysia sekali lagi menyerlahkan kepakarannya dalam dunia horologi dengan memperkenalkan koleksi terbaharu Franck Muller yang memikat pandangan dan mempersonakan jiwa. Antara yang mencuri hati ialah Vanguard Rose Skeleton Black Diamonds, karya seni yang mendefinisikan semula keanggunan dalam bentuk yang paling memukau. Dihasilkan dengan rangka emas putih bersalut black PVD dan dihiasi 422 butir berlian hitam bersama 75 batu permata di dail, jam tangan ini bagaikan kuntuman mawar yang mekar di bawah cahaya malam. Setiap perincian enamel yang dicat tangan memancarkan keindahan semula jadi, menjadikan setiap gerakan jarumnya ibarat alunan masa yang hidup dan bernafas.

Mengiringinya, Grand Central Tourbillon Flash CX 36 tampil dengan aura masa hadapan; berani, tegas dan penuh tenaga. Reka bentuknya yang revolusioner meletakkan tourbillon di tengah dail, seolah-olah jantung masa yang berdenyut dengan irama tersendiri. Indeks neon yang terang menambah elemen dinamik, manakala kemasan titanium hitam memberi sentuhan sporty namun mewah. Di sebalik gayanya yang berani, tersembunyi kehebatan teknikal gerakan automatik dengan power reserve selama empat hari, dicipta untuk jiwa moden yang tidak pernah berhenti melangkah.

Dan bagi mereka yang mencari sesuatu yang benar-benar luar biasa, Round Triple Mystery membawakan pengalaman masa yang hampir mistik. Tiga cakera berputar merangkumi jam, minit dan saat bergerak tanpa jarum tradisional, menghasilkan ilusi seolah-olah masa menari di udara. Dihiasi berlian yang tersusun halus, ia adalah bukti kecerdikan dan ketelitian luar biasa jurutera Franck Muller, mengubah konsep waktu menjadi karya seni yang mempesonakan.

Melengkapkan himpunan, Cintrée Curvex Nuance melambangkan keanggunan klasik feminin dengan rangka melengkung ikonik, numeral tersusun rapi dan tali alligator sedondon dalam pilihan merah, biru, hijau dan hitam yang ringkas, halus dan tetap memikat.
Sebagai nama besar dalam dunia jam mewah, Cortina Watch Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama bagi para peminat horologi tempatan. Melalui kerjasama bersama GLAM, jenama ini bukan sekadar memperkenalkan rekaan eksklusif Franck Muller, tetapi turut meraikan nilai masa iaitu sesuatu yang halus, berharga dan peribadi. Kerana bagi Cortina Watch, setiap detik bukan sekadar berlalu, tetapi menjadi simbol keanggunan yang kekal terpahat.
Kunjungi butik Cortina Watch renovasi konsep terbaru di Starhill KL dan alami sendiri keanggunannya.
Artikel berkaitan: Lihat Gaya Santai Zahirah MacWilson Pilihan GLAM
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

