GLAM Deko Acara – Wajah Seni Asia
Teks : Shahril Hadi Halim
Gambar : Art Stage Singapore
Pameran Art Stage Singapura bakal dipentaskan awal Januari ini untuk kali ketujuh di lokasi terkemuka, Marina Bay Sands Expo and Convention Centre. Bermula 12 hinggalah 15 Januari 2017, ia turut menampilkan Forum Seni Asia Tenggara dan gabungan pelbagai galeri seni sekitar benua yang bukan sahaja mempamerkan karya seni Asia malahan bertaraf dunia. Pameran ini bercita-cita untuk menjadi peneraju pasaran karya seni yang inovatif, menarik dan memaparkan keindahan dunia seni kontemporari hari ini.
"Art Stage Singapore memegang tugas sebagai pemain utama dalam pasaran seni kontemporari di rantau ini secara serius. Sambil menyahut cabaran situasi ekonomi dan sosio-politik dunia hari ini yang semakin mencabar, kami mahu terus komited dalam mengukuhkan kitaran kehidupan dunia seni di Asia Tenggara dengan mewakilkan kandungan yang relevan dan inovatif untuk lebih menyemarakkan dunia seni rantau ini. Ini merupakan sebab mengapa Forum Asia Tenggara kedua yang akan di langsungkan, menerusi pameran dan siri kuliah, menjadi lebih penting menuju ke arah meletakkan kita sebagai art fair yang melihat lebih jauh dari hanya sekadar pasaran," kongsi Lorenzo Rudolf, Pengasas dan Presiden, Art Stage Singapore.
Lebih menarik kali ini, untuk pertama kalinya, acara ini bakal menampilkan The Collector's Show, projek yang menampilkan kolaborasi di antara Art Stage Singapore bersama The Artling. Acara ini bakal menyaksikan karya seni daripaa enam orang pengumpul seni utama berasal dari Singapura. Ini adalah bersempena kejayaan Collectors' Show yang menampilkan koleksi milik enam pengumpul berasal daripada kota Jakarta yang berlangsung sekitar Ogos tahu lalu. Ini merupakan acara yang julung kali diadakan.
Selain daripada itu, menambahkan lagi kemeriahan acara ini, Art Stage Singapore bersama Kedutaan Amerika Syarikat di sini, bakal menyampaikan anugerah Joseph Balastier Award for the Freedom Art bersempena Art Fair ini. Anugerah ini merupakan penghargaan kepada artis atau kurator dari Asia Tenggara yang secara aktif komited kepada idea kebebasan dalam menghasilkan karya dan projek seni mereka.