Kediaman Persinggahan Datin Ezurin Yaacob di Nagasutra, Bali
Terbina di atas tebing tanah seluas setengah ekar, Nagasutra mengambil masa tiga tahun untuk disudahkan. Nagasutra berada di Ungasan, Jimbaran, Bali kira-kira 40 minit perjalanan dari Bandar Kuta. “Saya tidak berfikir dua kali apabila ditawarkan oleh ejen hartanah terkenal dari Australia, Richards Home. Jatuh cinta melihat budaya sejagat dan susur galur kehidupan mereka yang kekal berpaksikan warisan nenek moyang meski dilanda arus kemodenan, ternyata saya membuat keputusan tepat,” bicara Tunku Dato’ Yaacob Tunku Tan Sri Abdullah yang ditemani dan isteri tercinta, Datin Ezurin Yaacob.
Villa percutian peribadi serba mewah ini dilengkapi tujuh kamar penginapan yang mana setiap satu dilatari pemandangan kolam ikan peribadi. Seni bina berbentuk U, kolam renang di bina di tengah-tengah villa. Ruang makan dibina bersekali kamar tamu utama, mampu menjamu 14 tetamu pada satu-satu masa. Hiasan dalaman mendapat sentuhan sepenuhnya pereka terkenal Bali, Gill Wilson daripada Gill Wilson Interiors. Ezurin memberitahu, mereka sekeluarga akan terbang ke pulau nusantara ini sekurang-kurangnya empat kali setahun terutamanya menjelang musim cuti sekolah.
Gambar : Soo Phye