Kediaman - Ilham Serambi Moden - Glam Malaysia

Kediaman – Ilham Serambi Moden

Pagi itu team GLAM Deko tiba sedikit awal ke lokasi kediaman di Bukit Jelutong untuk memotretkan wajah ruang yang mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman Azry Fazamy. Perjalanan yang dilalui kami nikmati kerana kawasan persekitaran yang jelas damai dan menenangkan. Kawasan kejiranan eksklusif yang  menjadi pilihan pemilik kediaman ini membawakan rasa bagai di sebuah resort mewah sejurus melepasi kawalan berpagar ini. Ketibaan saya berselisih pemilik kediaman yang sedang menyelesaikan urusan hariannya. Oleh kerana dia perlu cepat untuk urusan itu, saya memilih untuk menantikan kehadiran Azry untuk bercerita mengenai projeknya ini.   

Proses hiasan dalaman

Biarpun kediaman ini baharu sahaja dilengkapi yakni sebelum tibanya Ramadhan lalu, ia hanya memakan masa dua bulan untuk disempurnakan. Lebih mudah lagi apabila pemilik kediaman ini sememangnya klien tetap buat Azry. Jadi ia secara tidak langsung memudahkan proses pemilihan kemasan dan perabot yang ingin diterjemahkan untuk menghiasi ruang kediaman. Projek ini merupakan projek keenam yang dihasilkan oleh Azry bersama pasangan ini.

See also
GLAM Deko Trend - Cetakan Ikonik Dolce & Gabbana buat SMEG

Melangkah masuk ke ruang halaman kediaman, saya tertanya mengapa terdapatnya paip air yang diatur sederet di sebelah kiri. Ruang hadapan ini dibiarkan luas namun dilengkapi sedikit pepohon tropika di sebelah kanan bersama sistem pancuran air. Menanti pembantu rumah membuka pintu gelangsar, kami seronok bermain dengan kucing yang dipelihara dengan banyaknya di sini.

 

Konsep pilihan

Menurut Azmy, penggayaan ruang kediaman ini berkonsepkan Islamik moden. “Elemen seni bina dan fungsi yang menjurus ke arah Islamik menjadi teras dalam penataan keseluruhan ruang. Pemilik gemar mengadakan majlis juga menjamu tetamu. Untuk itu, mereka mahukan ruang yang terbuka selain perabot mudah alih dan praktikal. Untuk menyesuaikan dengan konsep yang dipilih, saya bermain dengan ton kelabu agar ruang kediaman tampil tenang dan mendamaikan. Mereka tidak gemar akan sesuatu yang terlalu menonjol dan keterlaluan. Justeru itu, suai padan monokromatik adalah yang paling ideal.”

Sambil berjalan menyaksikan gaya keseluruhan kediaman, kami menyedari kediaman ini memiliki beberapa ruang makan berbeza. Ada tiga keseluruhannya termasuk kaunter sarapan yang terletak bersekali kabinet berpulau. “Keluarga pemilik kediaman merupakan keluarga yang besar jadi untuk keselesaan lebih mudah jika mereka memiliki beberapa ruang makan berbeza. Tambahan pula ketika menerima kunjungan tetamu, tidak perlulah pemilik mencari lokasi lain untuk menikmati hidangan.”

See also
7 Selebriti Yang Juga Pereka dan Penghias Dalaman

Ruang keluarga

Berjalan ke tingkat atas kediaman, ruang keluarga dikhususkan untuk ahli keluarga menonton televisyen. Selain kamar beradu utama, terdapat tiga lagi kamar beradu untuk putera dan puteri pemilik kediaman. Kamar beradu utama masih mengekalkan elemen damai dengan mainan rona bumi berselang biasan. Kamar beradu si putera tampil lebih meriah dengan hiasan karya lukisan mural watak komik terkenal Naruto dan watak-watak lain memberikan karakter pada dinding. Biarpun ruang yang terhad, suntikan elemen sebegini memberikan idea untuk meminimakan gaya penataan.

Menurut Azry lagi kediaman ini turut melalui proses ubah suai untuk memperluaskan lagi ruangnya. “Seperti di tingkat atas ini, saya menambahakan ruang mengulang kaji pelajaran dengan bertemankan pemandangan persekitran kawasan kejiranan ini. Di tingkat bawah pula, ruang makan berserta ruang menonton merupakan bahagian yang ditambah. Dengan itu ia menjadikan ruang dapur lebih selesa dan mampu menambah fungsi bukan hanya sekadar untuk ruang masak.”

Sebelum pulang kami sempat berehat-rehat sebentar di ruang tamu sementara menantikan krew menyudahkan fotografi sambil mengemas kembali ruang kediaman. Memilih untuk merehatkan diri di ruang santai bersebelahan ruang tamu. “Ruang ini dikhususkan oleh pemilik kediaman sebagai ruang solat dan menelaah ilmu agama. Lantas untuk memudahkan proses berwudhu, mereka memilih untuk membina tempat berwudhu di hadapan sebelum memasuki kediaman tadi. Bukan sahaja mudah untuk mereka bahkan untuk tetamu yang hadir ketika kenduri juga lebih praktikal tanpa perlu berebut ke tandas.” Tidak hairanlah mengapa terdapat paip yang diatur indah yang menjadi persoalan di minda ketika bersiar-siar di halaman tadi.

See also
6 Istana Kerabat Yang Termewah Di Dunia

TEKS : SHAHRIL HADI HALIM PENYELARAS : SUHANA DESA  GAMBAR : PATRICK CHAN  VIDEO : DENNIS KHO  ARAHAN SENI : AFIQ KHAIRUDIN